Itulah peringatan yang diberikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Tazak ketika menyampaikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2012 iaitu beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Walaupun dalam pilihan raya tersebut Barisan Nasional (BN) sekali lagi gagal mengembalikan majoriti dua pertiga di Parlimen, namun UMNO terus mendapat sokongan rakyat khususnya orang Melayu apabila menambah kerusi Parlimennya daripada 79 kepada 88 kerusi.

Dan pada 5 Disember ini, parti keramat orang Melayu itu akan kembali berhimpun dan seperti juga perhimpunan tahun 2012, perhimpunan kali ini dianggap perhimpunan terakhir sebelum PRU-14 diadakan. Maknanya peringatan Najib yang juga Perdana Menteri masih relevan untuk diguna pakai bagi menghadapi pilihan raya yang dianggap penentu kepada survival politik BN dan UMNO.

Oleh itu, pemimpin dan ahli UMNO tidak boleh menganggap perhimpunan yang akan diadakan sebagai acara tahunan apatah lagi mahu menjadikan ia sebagai medan untuk mempersiapkan diri menghadapi pemilihan parti. Soal pemilihan perlu diketepikan terlebih dahulu, yang harus diutamakan ialah PRU-14.

Apa gunanya, jika pemimpin-pemimpin UMNO dan penyokong mereka beria-ia mempromosikan diri untuk menang dalam pemilihan kalau PRU-14, UMNO tidak lagi berkuasa dan BN hanya menjadi pembangkang. Sememang­nya penulis yakin seluruh ahli UMNO tidak mahu perkara itu berlaku.

Oleh itu perhimpunan kali ini perlu dijadikan platform untuk memberikan keyakinan kepada rakyat khususnya orang Melayu bahawa UMNO adalah parti harapan mereka dan hanya UMNO mampu membela nasib mereka. Namun begitu UMNO tidak boleh bernostalgia dengan sejarah silam.

Sebaliknya UMNO perlu membuktikan kenapakah orang Me­layu perlu terus menyokong parti itu. Atas sebab itulah sementara sedikit sebanyak UMNO yang berada dalam BN memerlukan sokongan pengundi-pengundi kaum lain tetapi perlu diingat UMNO ‘terus hidup’ dan menjadi tonggak pemerintahan negara adalah hasil sokongan orang Melayu.

Berbanding PRU-13, cabaran UMNO untuk mengekalkan atau memperkukuhkan sokongan orang Melayu pada PRU-14 jauh lebih hebat memandangkan terwujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Walaupun PPBM dilihat tidak akan menjadi dominan dalam Pakatan Harapan sebaliknya sekadar ‘pak turut’ tetapi perjuangan UMNO bukan berkisar kepada soal itu.

Perjuangan UMNO adalah untuk memastikan kuasa politik Melayu tidak tersungkur di bumi sendiri akibat kejahilan sesetengan pemimpin Melayu berpolitik.

Kelompok ini sanggup bersekongkol dan ‘mengemis’ kerjasama dengan DAP walaupun mengetahui bagaimana corak politik parti tersebut.

Tetapi pemimpin-pemimpin berkenaan tidak peduli. Sebab itulah mereka sanggup mengkhianati UMNO dan menggadaikan apa sahaja asalkan impian mereka untuk menamatkan kekuasaan UMNO dan menjatuhkan Perdana Menteri tercapai.

Namun persoalannya, apa akan terjadi kepada orang Melayu selepas itu jika Pakatan Harapan yang DAP menjadi parti dominannya berjaya menawan Putrajaya?

Justeru itulah, UMNO perlu berusaha memperkukuhkan so­kongan orang Melayu terhadap parti itu. Pelbagai usaha perlu dipertingkatkan untuk meyakinkan orang Melayu bahawa jika UMNO kehilangan kuasa dan BN tidak lagi memerintah, perca­yalah kemungkinan orang Melayu akan dilayan bagaikan ‘pela­rian di tanah air’ sendiri bukan lagi satu amaran.

Namun sama ada orang Melayu akan menyebelahi UMNO atau tidak, ia bergantung kepada pemimpin dan ahli parti itu sendiri khususnya di peringkat akar umbi. Merekalah penentu hidup mati UMNO dalam PRU-14 nanti. Mahu tidak mahu sebahagian besar orang Melayu amat memahami perjuangan UMNO untuk mereka.

Bagaimanapun ia gagal diterjemahkan dalam bentuk sokongan bukan kerana orang Melayu tidak suka UMNO tetapi percaturan politik dalaman parti tersebut memungkinkan ia berlaku. Oleh itu pemimpin dan ahli UMNO perlu mempunyai keinsafan dan kesedaran tinggi.

PRU-14 bukanlah pertarungan untuk mempertahankan kekuasaan semata-mata tetapi satu perjuangan bagi memastikan orang Melayu tidak ditimpa sebarang petaka jika UMNO kehilangan kuasa. Apa yang penulis katakan bukanlah mahu menakut-nakutkan orang Melayu tetapi itulah realiti politik negara kita sekarang.

Oleh itu adalah wajar jika UMNO meningkatkan usaha membantu orang Melayu dan memenangi hati mereka, bukannya terus terhengeh-hengeh untuk meraih sokongan kaum lain yang ada antara mereka kita ketahui sehingga kini masih ‘berjiwa pembangkang’, biarpun membuat tuntutan macam-macam kepada kerajaan BN.

Hati dan perasaan orang Melayu perlu dijaga kerana merekalah yang penentu kepada survival politik UMNO. Janganlah sampai orang Melayu melihat setiap kali menjelang pilihan raya mereka dipinggirkan kerana ada dalam kalangan pemimpin UMNO masih mengharapkan kaum ter­tentu kembali menyokong BN.

Penulis sentiasa percaya orang Melayu adalah bangsa yang tahu mengenang budi dan amat mengerti kepentingan UMNO kepada masa depan mereka. Oleh itu UMNO perlu menumpukan perhatian yang lebih kepada mereka dan bukannya terus melakukan tindakan yang dianggap ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ bagi meraih sokongan pihak lain.