Akhbar Strait Times bertarikh 22 Oktober 1955 pernah melaporkan bahawa Panglima Awang Hitam sebagai manusia pertama mengelilingi dunia, selepas Ferdinand Magellan terbunuh di Mactan, Filipina.

Dalam catatan Duarte Barbosa pula, orang Melayu disifatkan sebagai kuat berpegang pada ajaran Nabi Muhammad SAW dan memiliki gedung perniagaan yang di­usahakan sendiri.

“Orang Melayu dicatatkan sebagai mempunyai rumah yang berasingan untuk perniagaan mereka di dalam kota. Mereka memiliki ramai hamba, isteri dan anak-anak yang hidup ber­asingan dan mematuhi semua arahan mereka. Mereka hidup lemah lembut, sopan santun, dan dikurniakan sifat mencintai.”

Semua catatan tersebut menggambarkan bangsa Melayu sebagai bangsa yang berdikari dan berani berusaha.

Namun, Kongres Masa Depan Bumiputera yang diadakan baru-baru ini banyak menyingkap dan membongkar sikap orang Melayu yang ketinggalan dalam banyak aspek berbanding golongan bukan bumiputera meskipun pelbagai usaha untuk membantu orang Melayu telah dilakukan.

Kegagalan tersebut berkait rapat dengan sikap orang Melayu yang malas berusaha dan mahukan kesenangan secara segera dan mudah.

Meskipun sudah banyak bantuan dan peluang dikhususkan kepada orang Melayu, mereka masih belum berjaya bangun melepaskan diri dari kemiskinan dan kesempitan hidup. Malah, ada juga golongan yang mendapat peluang tetapi tidak menggunakan peluang tersebut dengan amanah, kerana ingin mendapat habuan dan keuntungan segera.

Persoalannya, mengapakah rata-rata orang Melayu bersikap sedemikian? Apakah puncanya? Bagaimana untuk membangkitkan semula daya usaha orang Melayu sehingga tidak lagi digelar sebagai ‘bangsa subsidi’ atau ‘bangsa bertongkat?’ Bagaimanakah gene­rasi Melayu hari mendapatkan kekuatan bangsanya semula?

Hang Tuah dikatakan pernah mengeluarkan kata-kata keramat, “Takkan Melayu hilang di dunia”. Namun, jika sikap tidak mahu berusaha dan terlalu bergantung kepada bantuan orang lain, dikhuatiri Melayu akan hilang jati dirinya yang asal dan tanah airnya.

Pendeta Zaaba yang menulis “Perangai bergantung pada diri sendiri” sangat relevan untuk diha­dam buat pedoman generasi hari ini untuk bangkit dan gigih berusaha. Nilai hidup berani berusaha keras terhasil dari kepercayaan dalam diri seseorang.

Kepercayaan dalam diri seseorang pula terbentuk hasil didikan ibu bapa, pergaulan, pem­belajaran, renungan dan refleksi terhadap pengalaman hidup.

Kepercayaan yang tepat terhadap Tuhan, konsep insan dan kehidupan dunia mendorong pembentukan sikap yang dikehendaki oleh agama.

Pengaruh nilai budaya yang negatif dapat dihindari dengan menguatkan kefahaman dan penghayatan terhadap sifat dan nama Allah SWT, hakikat insan dan tujuan penciptaan insan di dunia. Dengan demikian, segala usaha dapat disepadukan dengan matlamat untuk mentauhidkan Allah SWT serta memakmurkan bumi dengan kebaikan dan kerahmatan.

Selain itu, keimanan kepada Allah SWT dan hari kiamat sewajarnya menjadikan umat Islam bersungguh-sungguh bekerja di dunia ini kerana dunia adalah ladang akhirat. Segala amal perbuatan yang diusahakan di dunia berada dalam penilaian Allah SWT dan catatan para malaikat untuk dihitung pada hari kiamat kelak.

Justeru, orang Melayu tidak wajar bersikap lepas tangan, berserah pada takdir tanpa usaha atau berasa mencukupi dengan apa yang ada meskipun kehidupan mereka berada di tahap rendah dan memalukan. Sikap bergantung pada orang lain, ingin cepat kaya tanpa berusaha de­ngan cara yang benar dan berserah kepada takdir semata-mata adalah jelmaan pegangan ajaran Islam yang longgar dalam kala­ngan orang Melayu.

Menuju ke tahun yang baharu iaitu 1440 Hijrah, orang Me­layu perlu bangkit kembali de­ngan memperteguhkan semula nilai keyakinan pada Allah SWT. Keyakinan kepada Allah SWT dengan sifat dan nama-Nya yang tinggi dan mulia membentuk cara fikir yang tepat mengenai usaha.

Sesuatu usaha pasti mendapat bantuan dan petunjuk daripada Allah SWT apabila disertakan dengan niat yang benar, cara yang mengikut syariat serta sangka baik kepada Allah SWT meskipun didatangi ujian dan cabaran.

Dugaan yang datang dalam pelbagai bentuk sama ada berupa kehilangan nyawa atau kerugian harta benda dalam mencapai kejayaan bertujuan memperteguhkan kebergantungan diri kepada Allah SWT, agar tidak berharap kepada yang lain selain-Nya.

Selaku umat yang membawa imej Rasulullah SAW di Malaysia, orang Melayu perlu bangkit ber­usaha dengan kekuatan keyakinan kepada Allah SWT yang bersifat As-Syakur iaitu yang sangat menghargai setiap usaha hamba-Nya.

Semakin kuat sangka baik kepada Allah SWT, maka semakin kuat juga usaha dan kerja yang ditunjukkan. Sikap bergantung harap kepada orang lain, malas ber­usaha dan sentiasa memberi alasan untuk tidak berbuat sesuatu yang boleh diusahakan sendiri hendak dibunuh dengan sepenuh hati.

Semoga orang Melayu dapat meluruskan kembali pandangan hidup yang berteraskan tauhid agar diri mereka berani berusaha dan tidak mudah lemah atau putus asa meskipun tanpa bantuan!

DR. MAHFUZAH MOHAMMED ZABIDI ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.