Dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) minggu lepas, lima buah universiti kerajaan telah mendapat kedudukan dalam kalangan 300 universiti terbaik dunia. Universiti Malaya (UM) menduduki tangga ke-114. Sewaktu saya menjadi Naib Canselor UM pada 2005, kedudukannya ialah 169. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar supaya membawa UM ke kedudukan ke-50 menjelang 2020. Saya menyahut cabaran Perdana Menteri dan telah bersama kakitangan bekerja keras untuk merealisasikannya. Pada tahun berikutnya saya telah meninggalkan jawatan naib canselor dan tidaklah lagi dapat menyumbang ke arah cabaran itu. Dalam tempoh tiga tahun sebagai naib canselor saya telah berkhidmat di bawah tiga orang Menteri Pengajian Tinggi iaitu Tan Sri Musa Mohamad, Tan Sri Dr. Shafie Salleh dan Datuk Seri Mustapa Mohamed. Saya bertuah berkhidmat pimpinan ketiga-tiganya.

Daripada kedudukan Universiti Malaya di tahap 169 pada 2005 kepada kedudukan 114 pada tahun ini, tentulah universiti ini telah Soar Upwards dengan sangat pantas sekali. Ini bermakna peningkatan sebanyak 55 kedudukan bagi UM dalam tempoh masa 12 tahun(2005-2017). Cuma tinggal lagi tiga tahun menjelang 2020 untuk memenuhi cabaran Perdana Menteri supaya UM menduduki tangga 50 ke atas. Bolehkah ini dicapai?

Kalau pun tidak boleh dicapai, tidak mengapa. Pokoknya ialah UM telah mencapai tahap yang gemilang pada tahun ini. Saya juga masih ingat bahawa Lim Kit Siang pernah tidak senang dengan saya kerana kedudukan UM sewaktu saya menjadi naib canselor. Sekarang ini UM telah mencapai kedudukan yang tersangat baik di tangga ke-114, menjadikannya dalam lingkungan 1% universiti terbaik di dunia. Saya akan berasa amat sukacita kalau dapat mendengar Kit Siang me­ngucapkan tahniah kepada Idris dan UM yang telah sangat berjaya itu.

Empat buah universiti kerajaan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM - 229), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM - 230), Universiti Teknologi Malaysia (UTM - 253) dan Universiti Sains Malaysia (USM - 264) telah juga berjaya meningkatkan kedudukan masing-masing sehingga tersenarai dalam 300 universiti terbaik dunia. Tahniah saya ucapkan kepada kesemua naib canselor yang memimpin universiti kerajaan serta kakitangan mereka. Sesungguh­nya Idris telah mengotakan janjinya untuk membawa universiti kerajaan ke tahap yang gemilang. Sekalung tahniah kepadanya dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Kita cukup berasa gembira dan megah dengan kejayaan universiti-universiti ini, yang dipimpin keseluruhannya oleh anak bangsa kita sendiri. Kebolehan anak bangsa memang sentiasa ada untuk meningkat terus atau untuk Soaring Upwards. Yang menentukannya adalah sikap. Kalau kita sentiasa memupuk sikap bekerja keras dengan ikhlas demi untuk negara, disulami pula dengan rasa syukur dan berterima kasih pada apa yang kita miliki, pasti kejayaan akan menjadi milik kita.

Sayugia diketahui bahawa ke­dudukan dalam penarafan QS yang telah diperoleh itu bukanlah sesuatu yang boleh menjamin kejayaan yang berterusan. Antara sebabnya ialah kerana enam kriteria yang digunakan oleh QS untuk menggredkan setiap universiti itu sendiri, yang mungkin sukar diperoleh tahun demi tahun. Misalnya, pertama kerana kriteria yang digunakan iaitu sitasi (citation) ke atas penerbitan yang dihasilkan oleh pensyarah-pensyarah universiti akan terpulang kepada kemam­puan dan kewibawaan kakitangan sesuatu universiti untuk menjalankan penyelidikan dan penerbitan yang bermutu tinggi.

Saya kira banyak daripada sitasi pada tahun ini adalah hasil kerja profesor-profesor kanan yang pada waktu ini sudah ramai tidak berkhidmat di universiti lagi disebabkan oleh usia, dan juga kekangan ekonomi semasa untuk menanggung kos perkhidmatan mereka. Penyelidikan dan penerbitan juga berkait rapat dengan keberadaan dana untuk tujuan itu.

Ben Sowter, Ketua Penyelidik QS menyatakan bahawa banyak universiti di United Kingdom telah merudum kedudukan ke­rana tidak mempunyai dana yang secukupnya. Sehubungan ini sukacita saya mendengar bahawa Menteri Pengajian Tinggi akan mempertimbangkan cadang­an pemberian insentif kepada universiti sebagai galakan untuk mengembangkan penyelidikan.

Kriteria kedua iaitu reputasi kakitangan akademik (Peer Review) dan kriteria ketiga iaitu kepercayaan majikan kepada universiti (Recruiters’s Review) adalah sama pentingnya dengan kriteria yang pertama tadi, iaitu mengenai reputasi kakitangan akademik sesebuah universiti. Sekiranya kakitangan akademik yang berwibawa dan disegani sudah meninggalkan perkhidmatan universiti, maka markah bagi kriteria-kriteria ini akan menurun.

Pengambilan kakitangan dan juga pelajar dari luar negara adalah dua kriteria lain yang digunakan yang setiap satunya membawa markah sebanyak lima peratus. Kriteria ini hendaklah sentiasa diawasi oleh pihak yang berwajib supaya dalam usahanya untuk mendapatkan markah yang banyak, tidak akan menjejaskan kemasukan warganegara sendiri. Kriteria nisbah pensyarah kepada pelajar pula tidak rumit untuk dilaksanakan supaya mencapai tahap yang diingini.

Walau apa pun pendapat masyarakat mengenai penarafan QS ini, hendaklah dianggap sebagai satu penanda untuk kita semua memperbaiki keadaan.

UM telah jauh meninggalkan universiti-universiti lain. Ini adalah satu petunjuk yang meyakinkan bahawa bakal Naib Canselor UM hendaklah dipilih daripada kakitangan universiti itu sendiri.

PROF. EMERITUS DATUK HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor UM.