ROBERT KUOK
ROBERT KUOK

Hakikatnya agenda untuk menggantikan pemerintahan Melayu dengan kaum lain bukanlah asing dalam pendirian atau prinsip beliau.

Ia sebenarnya telah cuba dipasak oleh Kuok sebelum jawatan Perdana Menteri ketiga diisi oleh Allahyarham Tun Hussein Onn lagi.

Dalam buku Robert Kuok: A Memoir, yang petikannya disiarkan di portal berita South China Morning Post pada 2017, Kuok mengakui beliau ada mengingatkan Hussein tentang pentingnya Malaysia dibangunkan oleh pe­mimpin yang berbakat dan layak tanpa mengira kaum.

Malah, beliau menasihati ba­kal perdana menteri itu tentang ciri-ciri pemimpin yang diperlukan oleh negara.

Namun mujurlah Hussein yang menyedari orang Melayu masih belum mampu lagi bersaing de­ngan kaum Cina menyedari ‘muslihat’ itu yang ditulis oleh Kuok dalam memoirnya - “Hussein selepas mendengar pandangan itu berkata orang Melayu belum bersedia dan menjelaskan ia akan ditentukan oleh orang Melayu.”

Kuok, 94, kini mengawal empayar Kumpulan Kuok yang me­rangkumi sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

Senarai Orang Kaya Forbes Malaysia 2017 meletakkan Kuok masih mengungguli kedudukan teratas orang terkaya di negara ini buat tahun ke-12 berturut-turut, dengan nilai kekayaan bersih AS$11.4 bilion (RM50.74 bilion), meningkat daripada AS$10 bilion sebelumnya.

Dan benar kata Kuok dalam memoirnya itu bahawa kronisme atau puak yang dilabel sebagai kroni itu ‘anjing peliharaan’ yang menjilat ego seseorang pe­mimpin. Sebagai ganti, pe­mimpin itu menyerahkan kepentingan negara kepada mereka.

Namun, Kuok harus akur pada realiti bahawa beliau tidak menjadi seorang bilionair sekarang semata-mata kerana nasib atau kebetulan. Sebaliknya kerana hubungannya dengan orang yang berkuasa kerana bapanya mementingkan urusan membina ‘jaringan’.

Ayah Kuok iaitu Kuok Keng Kang berhijrah untuk cari makan ke sini (Tanah Melayu) pada hujung abad ke-19. Dia bermula dari bawah, kerja kuat, berjimat cermat sehingga berjaya membuka sebuah kedai kopi (itu yang Tumpang lalu respek sangat).

Ketika Kuok masih bersekolah, bapa saudara beliau yang menjalankan perniagaan beras, kacang soya dan gula memberikan hak perniagaannya pada ayah­nya. Di situ bermulanya empayar perniagaan bijirin dan gula Kuok.

Keluarga Kuok memang rapat dengan golongan aristokrat dan bangsawan Melayu di Johor. Bapa Kuok kerap bermain mahjung dengan Dato Onn Jaafar, presiden pertama UMNO.

Kuok yang dilahirkan di Johor Bahru pada 6 Oktober 1923, membesar dan bersekolah bersama-sama dengan anak Onn Jaafar, Hussien.

Semasa di Raffles College atau Raffles Institution, Kuok mengenali Tun Razak yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia kedua. Di Raffles College, Kuok juga rapat dengan bakal Perdana Menteri Singapura, Harry Lee Kuan Yew.

Kuok kenal orang yang ber­kuasa dan lebih me­ngetahui latar belakang mereka dan lebih mema­hami politik Ma­laysia dan Si­ngapura.

Sebagai seorang yang bijak, Kuok tidak pernah menjadi alat orang politik. Sebaliknya dia adalah master kepada orang politik. Walaupun seketika terdapat konflik antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kuan Yew, tidak pernah Kuok memihak sehingga menjejaskan kepentingan pelaburannya di Singapura dan kedudukan perniagaan monopoli komodi­tinya di Malaysia.

Di era pentadbiran Dr. Mahathir, perdana menteri keempat itu antaranya menganugerahkan projek kepada sekalian kroni dan proksinya sehingga kekayaan negara berpusing dalam kalangan Kuok dan beberapa orang lagi.

Hakikatnya, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan pada 1970 akibat peris­tiwa 13 Mei 1969 dibenci Kuok, beliau yang pernah digelar ‘Raja Gula’ harus melihat dari skop yang makro, bukan sahaja pada masa ini tetapi pada waktu me­ngutarakan pandangannya kepada Hussein supaya pemimpin Malaysia atau Perdana Mente­rinya dipilih mengikut merit tanpa di­dominasi orang Melayu.

Yakni, adakah DEB telah meletakkan orang Cina sebagai warganegara kelas kedua atau lebih teruk kelas ketiga?

Adakah benar orang Cina selama ini didiskriminasikan oleh kerajaan Melayu Malaysia melalui dasar itu?

Benarkah orang Cina Malaysia diperlakukan seperti sebilangan etnik Islam di China atau seteruk umat Islam Rohingya di bawah pemerintahan kerajaan Buddha Myanmar?

Atau senasib orang kulit putih di Zimbabwe yang pernah ditindas oleh Mugabe atau orang kulit hitam di Afrika Selatan dipinggirkan dalam kemunduran dan kehampaan semasa zaman Aparteid dahulu?

Apakah orang Cina Malaysia kebuluran akibat DEB? Adakah mereka ketinggalan dalam bidang pendidikan akibat dasar itu? Apakah mereka dinafikan hak untuk mendirikan sekolah ibunda sendiri? Apakah semua perniagaan dikuasai oleh orang Melayu akibat dasar itu?

Adakah mereka dinafikan bertutur bahasa ibunda mereka sebagaimana di Indonesia atau Thailand atau juga di Amerika Syarikat? Atau nama mereka dipaksa tukar mengikut nama Melayu seperti di Indonesia atau Thailand?

Apakah gedung-gedung perniagaan di ibu negara yang hebat Kuala Lumpur dimiliki oleh Ali, Abu dan Awang? Atau mereka dinafikan tinggal di kawasan-kawasan mewah di Mont Kiara atau Bukit Damansara?

Atau apa? Adakah orang Me­layu menguasai senarai 10 teratas orang terkaya di Malaysia?

Atau, atau dan atau apa lagi ni Kuok?