Walaupun penduduk bandar telah membuat bising, sama ada dalam perbincangan peribadi atau daripada banyak komen ‘berang’ dalam media sosial, ia akan bergantung kepada orang luar bandar yang senyap untuk membuat keputusan muktamad.

Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 117 kerusi di kawasan Melayu luar bandar di Semenanjung Malaysia, berikutan pelaksanaan persempadanan semula kawasan pilihan raya - lebih banyak berbanding 114 kerusi di kawasan majoriti Melayu ketika pilihan raya umum (PRU) lepas. Terdapat 19 kerusi masing-masing di Sabah dan Sarawak yang mempunyai lebih banyak pengundi bumiputera.

Daripada 117 kerusi ini termasuk 52 di kawasan Felda yang dianggap sebagai kawasan heartland (teras) orang Melayu, dengan tumpuan utama penduduk di situ adalah isu-isu bersifat perkauman dan keagamaan.

Sebelum persempadanan semula kawasan pilihan raya, satu lagi kumpulan pemantau pilihan raya, Tindak Malaysia, juga telah menganggarkan kerusi majoriti Melayu adalah sebanyak 115 - satu kerusi lebih banyak berbanding 114 sebelum ini.

Untuk membentuk kerajaan, apa yang diperlukan adalah majoriti mudah sebanyak 112 kerusi. Sebelum pembubaran Parlimen, Barisan Nasional (BN) mempunyai 130 ahli Parlimen.

Donald Trump memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) adalah berikutan sokongan kuat pengundi di kawasan luar bandar dan bukannya dari New York, Los Angeles atau Washington DC. Malah, beliau kehilangan undi popular dengan margin yang lebih besar berbanding mana-mana presiden AS sepanjang sejarah, tetapi beliau menang, melalui sistem undi elektoral negara itu, yang melihat ditetapkan setiap negeri beberapa undi untuk calon yang menang undi umum di negeri itu.

Parti Republikan yang diwakili Trump menang dalam apa yang dianggap sebagai swing states seperti North Carolina dan Ohio, dengan undi luar bandar yang besar. Malah, beliau memenangi 67 peratus undi luar bandar AS.

Di Malaysia, sistem pengundian kita lebih mudah dengan format first past the post (berasaskan jumlah kerusi yang dimenangi), berdasarkan sistem pilihan raya British. Sekali lagi, undi popular tidak dikira. Tetapi seperti di AS, penduduk luar bandar yang akan menjadi penentu. Di Malaysia, penentuan itu tidak akan terletak di tangan pengundi Cina di bandar-bandar yang secara tradisional bersikap anti pihak berkuasa.

Pada PRU 2013, terdapat 30 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen, menurut laporan berita baru-baru ini yang memetik firma yang menganalisis media sosial, Politweet.

“Peratusan pengundi etnik Cina di kerusi-kerusi berkenaan adalah antara 52.27 peratus (Beruas) hingga setinggi 90.94 peratus di Bandar Kuching.

“Kerusi-kerusi ini terdapat di Pulau Pinang (tujuh), Perak (lima), Kuala Lumpur (lima), Selangor (satu), Melaka (satu), Johor (tiga), Sarawak (enam) dan Sabah (dua),” menurut laporan berita itu. Daripada 30 kerusi majoriti Cina, DAP memenangi 29 dan PKR satu kerusi.

Tetapi Tindak Malaysia mendakwa bilangan kerusi majoriti Cina telah menurun kepada 24. Terdapat juga satu lagi fakta nyata; walaupun tanpa persempadanan semula kawasan pilihan raya, bilangan pengundi Cina terus mengecil dengan ketara.

Menurut Malay Mail Online, walaupun pengundi Cina disalahkan kerana penurunan undi BN, mereka sebenarnya hanya membentuk kira-kira empat juta daripada 13.3 juta pengundi berdaftar. Akhbar dalam talian itu memetik pengasas Politweet, Ahmed Kamal Nava sebagai berkata, undi Cina “akan menjadi kurang relevan kepada BN/gabungan pembangkang PKR dengan peredaran masa kerana kerusi majoriti Cina akan menjadi kerusi campuran dan akhirnya kerusi majoriti Melayu”.

Laporan itu juga menyebut, perbandingan antara daftar pemilih Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan daftar pemilih untuk suku pertama 2017 menunjukkan bahawa unjuran pengundi Cina telah jatuh lebih daripada satu mata peratusan di tujuh negeri dan di 79 daripada 165 kerusi di Semenanjung Malaysia.

Dengan trend semasa, unjuran bilangan orang bukan Melayu akan terus menurun, dengan beberapa pihak menyatakan bahawa pada 2050, akan terdapat 80 peratus bumiputera, hanya 15 peratus Cina dan kira-kira lima peratus India.

Pada 2014, 75.5 peratus daripada jumlah kelahiran hidup adalah bumiputera, diikuti oleh orang Cina hanya 14 peratus dengan India 4.5 peratus dan kaum-kaum lain enam peratus.

Berdasarkan pengiraan kadar kelahiran kaum Cina iaitu 1.4 bayi bagi setiap keluarga pada 2015 daripada 7.4 peratus pada 1957, ini bermakna kedudukan mereka di Malaysia akan jatuh daripada 24.6 peratus pada 2010, 21.4 peratus pada 2015 kepada 18.4 peratus atau kurang pada 2040.

Ketika PRU 2013, menyedari bahawa majoriti undi Melayu yang akan menjadi penentu, DAP sanggup mengadakan kerjasama dengan Pas, dengan harapan mereka akan dapat menawan Put­rajaya. DAP secara agresif menolak kaum Cina untuk mengundi Pas dan ramai yang melakukan secara sukarela, namun pakatan itu gagal. Pas membayar harga yang tinggi untuk ‘tidur dengan musuh’, kerana orang Melayu di luar bandar tidak dapat menerima Roket.

Tinjauan secara rawak oleh portal dalam talian Free Malaysia Today (FMT) terhadap kawasan pengundi tegar Pas - Melayu luar bandar - mendapati ramai yang melihat pakatan dengan parti ‘kafir’ iaitu DAP mencurigakan.

Pas muncul sebagai parti yang paling rugi pada PRU-13, apabila hanya dapat merebut 21 daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandingi. Parti itu juga kehilangan Kedah. Pada PRU 2008, parti itu memperoleh 23 kerusi Parlimen.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sudah tentu menyedari tindakan beliau bermain-main dengan bahaya cukup menyakitkan. Sebab itu, hubungan antara DAP dan Pas semakin buruk selepas pilihan raya itu.

Terus maju ke 2018. DAP sekali lagi, betul-betul sedar bahawa orang Cina tidak boleh berharap untuk membuang UMNO tanpa orang Melayu, jadi pakatan baharu dengan PKR, PPBM dan PAN telah diwujudkan.

Parti itu juga bersedia untuk menggugurkan simbol Roket yang ikonik. Setiausaha Penganjur DAP, Anthony Loke mengakui orang Melayu sangsi dengan simbol itu.

Ujian sekarang adalah sama ada orang Melayu di kawasan luar bandar akan menerima idea untuk mempunyai Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang, yang dianggap jahat oleh bekas Perdana Menteri itu sepanjang 30 tahun lalu, di bawah satu lambang parti.

Jika tsunami Melayu tidak berlaku, dan sekiranya orang Cina, sekali lagi, meletakkan cip mereka kepada pembangkang - yang nampaknya menjadi sentimen sekarang di kawasan bandar - maka PRU kali ini akan menjadi pilihan raya ketiga berturut-turut orang Cina bertaruh terhadap pihak yang kalah.

Implikasinya cukup besar kepada masyarakat Cina, terutama jika perwakilan Cina dalam kerajaan berkurangan atau tiada langsung ketika melibatkan penggubalan undang-undang yang mempunyai kaitan keagamaan. Ia juga bermaksud terdapat kemungkinan kaum itu disekat dalam proses membuat keputusan di peringkat arus perdana yang melibatkan dasar-dasar penting dan pelbagai bidang pembangunan. Lebih-lebih lagi apabila terdapat bisikan akan ada hubungan kerjasama antara UMNO dan Pas, dalam bentuk tertentu, selepas PRU.

Jika BN terus mendapat mandat, seperti yang dijangkakan, DAP akhirnya mungkin akan menduduki kerusi terbesar di bangku pembangkang dalam Parlimen kerana kesemua parti-parti Melayu pada umumnya kecuali PKR belum diuji.

Tidak ramai penduduk bandar, dengan suhu politik yang semakin meningkat, mahu mendengar atau menerima pandangan bahawa PRU kali ini hanyalah satu pertarungan di kawasan teras orang Melayu di luar bandar. Pemeriksaan realiti: nasib kita semua terletak dalam tangan orang Melayu dan bumiputera.

DATUK SERI WONG CHUN WAI ialah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Berhad dan artikel ini disiarkan dalam kolum On the Beat, Sunday Star, semalam.