Bertepatan dengan tema muzakarah kali ini iaitu, Mengakar kuat ummah Melayu, menjunjung tinggi Islam, berpegang teguh kepada Islam adalah kekuatan untuk orang Melayu yang kini berdepan serangan pemikiran sehingga dilihat sudah hilang jati diri.

Akibat serangan pemikiran, Me­layu sudah tiada lagi rasa senasib, sepenanggungan, seaib dan semalu, bergaduh sesama sendiri, bercakaran dan menjatuhkan satu sama lain.

Di saat kedudukan orang Melayu yang semakin lemah, Islam dan institusi diraja yang berpaksikan Islam adalah pilihan untuk orang Melayu supaya bumi yang dipijak tidak menjadi milik orang.

Merenung kembali zaman ­kegemilangan Melayu, pemerintahan berpaksikan tatanegara Islam telah menjulang orang Melayu di nusantara menerusi pemerintahan beraja di Melaka, Perlak, Semudra, Aru, Pasai, Melaka dan Brunei.

Ketika itu, orang Melayu tidak sahaja diiktiraf sangat halus budi bahasanya, santun dan budi pekertinya tetapi bahasa Melayu bertulisan jawi beraksara Arab dijulang sebagai bahasa ilmu di Asia Tenggara, setaraf dengan bahasa Latin dan bahasa Perancis di Eropah.

Islam memberi dimensi baharu kepada minda Melayu ketika itu. Islam mencetuskan satu revolusi pemikiran, menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur. Islam di zaman itu telah membina daya rasionalisme dan intelektualisme bukan sahaja dalam kalangan pemerintah tetapi juga rakyat.

Orang Melayu yang kesetiaan mereka berpaksikan sultan, telah bersatu dengan semangat perjuangan berpaksikan bangsa. Begitupun, kerajaan Melayu runtuh dengan penaklukan dan pemerintahan Barat apabila penjajah telah merombak dan menghakis tatanegara pemerintahan Melayu dalam struktur kerajaan, ekonomi, perdagangan, pendidikan, pe­nulisan, hiburan dan rekreasi.

Dasar penghijrahan pemerintahan Barat telah merubah demografi penduduk di negara ini secara ketara. Kini Melayu hanya memiliki agama Islam, bahasa dan budaya Melayu tanpa wilayah kedaulatannya iaitu bumi Semenanjung Tanah Melayu.

Ketika bertitah merasmikan muzakarah tersebut pada Isnin lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan sebelum terlambat, orang Melayu hendaklah kembali mencari hikmat kekuatan bangsa yang terletak pada agama Islam.

Dalam hal ini, Sultan Nazrin bertitah bahawa bangsa Melayu yang terus bercakaran tidak akan menjadi bangsa yang kuat dan tidak akan berupaya menjunjung ketinggian Islam. Baginda memberikan penekanan dalam soal perpaduan kerana orang Melayu hari ini berada dalam perlumbaan kebendaan dan persaingan kuasa.

“Ini menyebabkan ada orang Melayu yang lupa daratan apabila baru mula berjaya. Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah daripada menabung dan melabur.

“Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa menyebabkan seluruh orang Melayu terpalit dengan salah laku sedemikian,” titah baginda.

Dalam pada itu, tidak dapat dinafikan ada pemimpin dan tokoh Melayu Islam yang berjuang dalam bidang masing-masing untuk membela agama dan bangsanya sendiri.

Jika diperhatikan, jumlah umat Islam di Malaysia tidaklah besar, hanya 1.1 peratus daripada penduduk Islam di dunia namun Malaysia sentiasa dijadikan sebutan sebagai negara Islam yang moden, maju, aman, makmur dan moderat.

Kepimpinan Islam di Malaysia hari ini dipandang tinggi. Kebijaksanaan pemimpin Melayu melaksanakan program-program pembangunan ummah dan pembangunan negara mendapat pengiktirafan di serata dunia. Telah lahir tokoh-tokoh negara yang membela nasib orang Melayu seperti Allahyarham Tun Abdul Razak yang melaksanakan program pembasmian kemiskinan melalui Felda.

Malaysia turut memper­ke­nal­kan sistem kewangan Islam menerusi cetusan idea bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang diterima dan diamalkan di peringkat global termasuk di negara-negara bukan Islam.

Kepimpinan Malaysia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Felda dan Tabung Haji adalah antara contoh yang memperlihatkan bagaimana tokoh-tokoh ulung Melayu telah mencetuskan idea dan memberikan sumba­ngan besar untuk kesejahteraan dan kemajuan ummah.

Seperti titah Sultan Nazrin, sebahagian daripada mereka ini mungkin tidak berimej ulama.

“Namun mereka telah ber­peranan besar, membantu menampung lompang-lompang kekosongan yang perlu dipenuhi untuk memperlengkapkan Islam dalam menghadapi tuntutan dunia semasa,” titah baginda.