Dalam melakar wawasan masa hadapan kehidupan, kita perlu melakarkan peta kehidupan untuk menunjukkan arah, hala tuju dan sasaran kita. Ada empat perkara yang perlu kita lakukan sebelum melakar peta kehidupan itu.

Pertama, sebelum melakar peta tersebut, kita mesti tahu di mana kita berada, supaya kita tahu di mana kita harus bermula. Iaitu kita kena tahu tentang fizikal, mental, kewangan, hubungan kita sesama manusia, dan hubungan kita dengan Allah, dari segi situasi dan tahapnya. Kedua, kita kena tahu ke mana hendak kita pergi, yakni tujuan kita. Contohnya sebagai orang Islam kita kena pastikan tujuan hidup kita yang utama adalah untuk mendapat husnulkhatimah dan hidup yang dirahmati Allah di Negeri Abadi, iaitu bukan sekadar mengecapi kebahagiaan, ketenangan, kesihatan dan kekayaan di dunia.

Ketiga, apabila kita sudah tahu tujuan, kita kena tahu pula proses hendak pergi ke destinasi lakaran peta itu macam mana, hendak naik kenderaan apa dan bila? Oleh sebab itu kesihatan fizikal amat penting, misalnya kalau kita hendak tingkatkan kerohanian, kita perlukan badan yang sihat.

Ibadat

Barulah boleh kita melakukan dan mempertingkatkan ibadat kita. Contohnya kalau kita hendak mengerjakan umrah atau haji, kita perlukan tubuh badan yang sihat, kerana ibadah ini memerlukan kekuatan fizikal. Oleh sebab itu kita perlu melakar peta kesihatan kehidupan kita ke arah menjaminkan kesihatan yang berpanjangan, iaitu dari segi pemakanan, air minuman dan senaman yang kita hendak pilih mestilah perlu dikawal atau dijaga sejak awal perjalanan hidup kita. Hal ini amat penting, agar kita tidak menderita sakit di penghujung perjalanan peta kehidupan kita. Dari segi peta kerohanian pula, kita perlu menjaga dan membawa keluarga kita menegakkan Rukun Iman yang enam dan melaksanakan Rukun Islam yang lima. Mulakan peta perjalanan hidup kita dengan memperkuat akidah. Akhirnya teruskan perjalanan hidup dengan mengekalkan akidah, serta mempertingkatkan ibadah dan akhlak hingga ke hujung perjalanan peta kehidupan kita.

Untuk peta hubungan kita dengan sesama manusia, kita mahukan satu lakaran peta kehidupan yang bermula dalam keadaan yang baik. Perkahwinan yang mendapat restu ibu bapa daripada kedua-dua pihak. Seterusnya diikuti dengan meningkatnya silaturahim dengan sesama manusia, khususnya dalam keluarga kita. Isteri menghormati dan menyayangi suami, serta suami menyayangi dan bertanggungjawab kepada isterinya. Sebagai menantu adakah kehadiran kita membawa kebahagiaan kepada keluarga pasangan kita atau adakah kita hanya mahu menerima kebahagiaan daripada keluarga pasangan kita?

Kelima, kita kena lakarkan bagaimanakah peta kehidupan kewangan kita untuk mencari rezeki? Apabila mencari rezeki tentukan kita mencari rezeki mengikut jalan yang Allah reda. Biarlah kita hidup dengan rezeki yang sedikit tetapi kita mendapat keberkatan. Keberkatan ini bermaksud, rezeki yang kita dapat sedikit tetapi manfaat dan berkatnya berpanjangan. Kalau rezeki kita berlebihan pula, kita bermurah hati untuk menginfakkan rezeki kita itu kepada orang yang memerlukan untuk ke jalan Allah.

Kebanyakan remaja tidak mempunyai peta kehidupan yang jelas. Apabila ditanya apakah cita-citanya, kebiasaannya mereka menjelaskan, bergantung kepada keputusan peperiksaan mereka. Mereka mengharapkan keputusan peperiksaan menentukan masa hadapan pembelajaran dan pekerjaan mereka? Bagaimanakah seandainya keputusan peperiksaan mereka teruk, adakah masa hadapan mereka juga turut gelap? Ini satu pendekatan yang salah. Kepada ibu bapa walaupun keputusan peperiksaan anak kita tidak berapa baik, kita jangan melabel anak kita lemah dan tidak punyai masa hadapan yang cerah. Jangan sesekali kita memberikan imej yang melemahkan anak-anak kita, seolah-olah telah ditentukan peta kehidupan apa yang anak-anak kita akan lalui, dengan kegagalannya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang dihadapinya.

Ibu bapa atau guru-guru, adalah penyebab sama ada menaikkan imej dan semangat serta minda anak atau membunuh semangat, imej dan minda anak. Yang kita fokuskan kepada kegagalannya dalam peperiksaan bukan kepada kebaikan keperibadiannya. Didiklah anak reda dan bersyukur dengan apa yang Allah beri, dan menerima keputusan itu sebagai rezeki yang ditetapkan Allah hasil daripada usaha anak kita. Jom audit diri yang mana satu pilihan kita, sama ada kita mahu melakar peta kehidupan kita sendiri atau kita mengikut sahaja peta kehidupan yang telah ditakdirkan Allah kepada kita? Ingatlah bahawa peta kehidupan ini sangat penting, ia akan memberi tahu kepada kita ke arah mana kita hendak pergi dan macam mana kita hendak sampai ke arah peta tujuan kehidupan kita. Maka lakarkanlah peta kehidupan kita yang indah untuk kehidupan yang indah di dunia dan di akhirat. "Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak".

PROF. DR. MUHAYA MOHAMAD ialah Profesor Oftalmologi, Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS), Pengarah dan Pakar Mata, Prof. Muhaya Eye and Lasik Centre, dan Penceramah Utama Jelajah Celik Famili dan Felo Dakwah Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia)

Fanpage: facebook Prof Dr Muhaya

[email protected]

www.assohwah.com