AHMAD ABDUL LATIF
AHMAD ABDUL LATIF

Bengkel yang melibatkan pembentangan kertas kerja oleh Felo Kanan Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT), Dr. Mat Rofa Ismail bertujuan membincangkan buku tulisan beliau mengenai ulama kurang dikenali di Malaysia, Ahmad Abdul Latif yang diberi gelaran Syeikh Ahmad Al-Khatib Al-Minankabawi.

Syeikh Ahmad dilahirkan pada 1860 di Kota Tuo, Sumatera Barat, Indonesia dan meninggal dunia pada 1916 di Mekah, Arab Saudi.

Beliau yang pernah bertugas sebagai imam dan khatib di Masjidilharam dikenali sebagai syeikh al-masyayikh (guru para guru) kepada ulama alam Melayu.

Ulama ini menghabiskan sebahagian besar hayatnya di Tanah Suci untuk mengajar ilmu agama dan matematik kepada pelajar dari Nusantara.

Kebanyakan rakyat negara ini hanya mengenali anak-anak murid beliau seperti bekas mufti Johor yang juga ahli falak, Syeikh Tahir Jalaluddin dan ulama dari Kelantan, Awang Muhammad Yusuf (Tok Kenali).

Di Indonesia, antara anak murid beliau ialah K.H. Ahmad Dahlan dan K.H. Hasyim Asyari yang telah mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama.

Apakah kehebatan tokoh ini? Kenapakah Dunia Melayu yang terletak di bawah pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memilih beliau untuk dikaji?

Itulah antara pertanyaan yang bermain-main dalam fikiran saya ketika menghadiri bengkel ber­kenaan pada 28 Ogos lalu yang dilihat turut berjaya menyatukan ilmuwan yang mempunyai fahaman politik berbeza. Turut hadir Dekan Dunia Melayu, Prof. Datuk. Dr. Sidek Baba.

Persoalan itu akhirnya terjawab apabila Rektor UIAM, Profesor Datuk Seri Dr. Zaleha Kamarudin yang merasmikan bengkel berkenaan menjelaskan matlamat penubuhan universiti itu adalah bagi melakukan integrasi ilmu sekali gus dapat melahirkan graduan yang menguasai bidang agama dan keduniaan.

Menurut beliau, Syeikh Ahmad adalah contoh ulama yang bukan sahaja menguasai bidang agama malah ilmu-ilmu moden seperti matematik, falak dan ekonomi.

Dalam pada itu, Mat Rofa menjelaskan kemahiran ulama Nusantara seperti Syeikh Ahmad dalam subjek matematik bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana telah diajar dalam sistem pengajian Islam tradisional sebelum kedatangan penjajah lagi.

“Di Malaysia, sebelum tahun 1970-an, matematik lebih dikenali dengan nama ilmu hisab, istilah yang dipinjam daripada bahasa Arab tetapi telah berakar umbi sejak sekian lama dalam sistem pengajian pondok.

“Kurikulum pengajian pondok mempertautkan pelbagai ilmu Islam dan tamadunnya dalam satu kajian yang harmoni. Mereka mempelajari ilmu-ilmu asas dan cabang.

“Ilmu-ilmu asas selalunya berhubung dengan subjek fikah, tafsir, tasawuf, hadis dan seumpamanya sedangkan bahasa, matematik, perubatan dan lain-lain sebagai ilmu cabang pada tahap tertentu.

“Hal ini adalah budaya pengajian Islam yang melihat ilmu dalam set yang satu, tidak dipisahkan dan dituntut dengan tujuan mencari keredaan Allah,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, matematik adalah ilmu induk yang merangkumi banyak bidang lain di bawahnya termasuk aritmetik, algebra, mantik, falak, geo­metri, trigonometri dan cabang-cabang kecil yang lain.

Katanya, algebra yang menggunakan huruf-huruf dan lambang-lambang sebagai mewakili angka atau kuantiti amat berguna untuk mengira pembahagian pusaka, zakat, perniagaan, pajak gadai dan sewa-menyewa.

“Geometri yang berkaitan dengan ukuran, sifat-sifat hubungan titik, garis, sudut, permukaan dan bongkah serta trigonometri iaitu ilmu mengenai sudut dan sempadan segi tiga amat penting untuk mengira kedudukan arah kiblat,” ujarnya.

Sementara itu, Mat Rofa dalam buku berkenaan, menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan “matematik adalah ilmu bebas nilai”.

“Saya tidak menerima ungkapan itu sebab sepanjang kajian, saya mendapati bahawa setiap ilmu dibina berdasarkan paradigma tertentu, termasuk matematik.

“Umat Islam mengkaji matematik kerana ilmu tersebut berkait dengan pengiraan zakat dan faraid. Bentuk geometri yang ada dalam penciptaan langit dan bumi sangat sempurna bentuknya yang berakhir dengan pengiktirafan keagungan Pencipta.

“Matematik ada hubungan dengan keagungan Ilahi bagi umat Islam tetapi subjek ini hanya ilmu untuk mengira dan berfikir bagi sebahagian masyarakat Barat yang menafikan ketuhanan.

“Maka, Barat umumnya menya­takan matematik adalah ilmu sejagat dan bebas nilai. Pandangan ini dianuti sebahagian pengagum Barat,” tulis beliau.