Cadangan itu dibuat setelah barangan keluaran AS menerima saingan sengit daripada produk baharu lebih menarik dengan harga murah yang dikeluarkan negara lain terutama dari China.

Sastera yang ditekan di AS secara spesifik merujuk kepada bidang seni reka bentuk yang dilihat mampu menghasilkan produk lebih menarik perhatian dan menjadi pilihan pengguna.

Saranan itu selaras dengan teori bahawa aktiviti sains dan matematik menggunakan otak kiri manakala seni adalah hasil idea kreatif yang berasal dari otak kanan. STEAM akan mengintegrasikan kedua-dua belah otak bagi mem­bolehkannya digunakan secara optimum oleh setiap individu. Pihak yang membuat cadangan itu menjadikan pembangunan bangunan pencakar langit sebagai contoh apabila arkitek yang terbabit dalam reka bentuk bekerjasama dengan jurutera bagi membina bangunan ikonik.

Ismail yang berpengalaman dalam pengajaran kursus reka bentuk produk kejuruteraan di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjelaskan sesuatu produk boleh dianggap sebagai estetik (indah) jika bentuk fizikalnya tidak membosankan sesiapa yang memandangnya.

Tambah beliau, antara ciri utama produk sedemikian adalah mempunyai keseimbangan dari segi struktur. Mi­salnya, kereta yang dihasilkan tanpa mengambil kira as­pek berkenaan tidak dapat berge­rak dengan lebih dinamik dan efektif.

Produk sedemikian digelar penulis sebagai teknoseni yang merujuk kepada gabungan teknologi dan seni dalam menghasilkan sesuatu barangan.

Hasil teknoseni itu mencakupi pelbagai objek termasuk bangunan pencakar langit, kenderaan hinggalah kepada peralatan digunakan di rumah seperti pinggan mangkuk.

Mengenai bangunan pencakar langit, Ismail memberi contoh seni bina pascamoden karya arkitek Britain kelahiran Iraq, Zaha Hadid, sebagai mempunyai ciri-ciri keindahan unik.

Beliau yang meninggal dunia pada Mac tahun lalu ketika berusia 65 tahun memperkenalkan seni bina ikonik se­perti Bangunan Pentadbiran BMW di Leipzig, Jerman, yang cukup berbeza dengan reka bentuk bangunan tradisional.

Bangunan itu adalah berasaskan gaya deconstructivism iaitu satu aliran baharu dalam bidang seni bina yang bermula pada akhir 1980-an. Reka bentuk bangunan sedemikian adalah bersifat bengkang-bengkok, beralun-alun dan kelihatan janggal.

Keperluan mewujudkan produk indah adalah selaras dengan sifat semula jadi manusia yang tidak menyukai kehodohan.

“Sebab itu, produk yang diciptakan perlu kelihatan kemas, menarik, cantik, unik dan istimewa dalam konteks lahiriah fizikal serta kegunaannya.

“Produk yang indah ini turut menjadi objek perhiasan kehidupan harian keluarga dengan pelbagai rupa bentuk, saiz dan kuantiti,” tulisnya.

Penulis menjelaskan, keindahan mempunyai kaitan dengan kebaikan. Contohnya, kajian oleh bekas penyelidik dari Universiti Yokohama, Jepun, Dr. Masaru Emoto, mendapati air apabila didedahkan kepada ucapan, tulisan dan pesanan positif serta indah akan membentuk molekul kristal cantik.

Tulisan dan pesanan negatif pula akan menyebabkan molekul air menjadi tidak simetri dan hodoh.

Penulis turut menyentuh mengenai lawatannya ke Itali dan Perancis bagi melihat secara lebih dekat karya pelukis potret Mona Lisa, Leonardo da Vinci.

Selain kehebatan dalam bidang seni, tokoh yang hidup sezaman dengan hulubalang Melayu, Hang Tuah; turut dikenali sebagai ahli sains yang melakukan pelbagai kajian berkaitan anatomi, astronomi dan kejuruteraan.

Tambah beliau, usaha menghasilkan produk indah perlu disertai dengan ciri-ciri sampingan termasuk bersifat mesra pengguna dan ergonomik yang merujuk kepada hasil ciptaan selesa, selamat dan senang digunakan.

Dalam pada itu, penulis menjelaskan mementingkan keindahan adalah selaras dengan ajaran Islam berikutan terdapat hadis diriwayatkan oleh Muslim yang menyebut Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan menyukai keindahan.”

Bagaimanapun, beliau menegaskan, harus dielakkan menghasilkan produk untuk tujuan takbur, hedo­nisme (budaya yang mementingkan keseronokan semata-mata) dan sekular (pemisahan agama dengan kehidupan).

“Menghasilkan produk atau lukisan naturalisme (menggambarkan objek dalam keadaan atau sifat sebenar) mengenai manusia dan binatang adalah dilarang kerana berlawanan dengan tradisi Islam,” tulis beliau.

Jelas beliau, produk yang dihasilkan tidak harus bersifat kontroversi seperti mempu­nyai unsur-unsur lucah serta bertentangan dengan nilai-nilai etika, moral dan budaya masyarakat setempat.