Isu sama ada kitab suci umat Islam perlu dihafal atau tidak, sama seperti mencari kehidupan yang berasaskan iman yang kuat dengan bertakwa kepada Allah atau menjadi seorang muslim ibarat kekabu ditiup angin hidup tanpa pendirian dan pegangan. Hari ini kita berada di dalam suasana kehidupan yang bersandarkan kebebasan yang maksimum hingga perkara yang tidak boleh disebut sesuka hati sebelum ini kini bebas dilaung-laungkan yang akibatnya mengundang rasa gusar dalam kalangan masyarakat.

Cadangan menutup pusat tahfiz oleh pihak tertentu baru-baru ini mungkin dibuat atas penilaian yang berbeza dengan prinsip kewujudannya hari ini. Hari ini kita melihat anak-anak muda terbahagi kepada beberapa kelompok yang mempunyai pandangan tersendiri tentang kehidupan yang dipengaruhi oleh isme dan kesan langit terbuka yang menyebabkan ada yang mempunyai kecenderungan yang berbeza.

Generasi muda hari ini ada yang inginkan kepada agama Islam sebagai cara hidup. Satu blok generasi muda lagi inginkan kebebasan yang total hingga fahaman mereka tidak boleh dipertikai dan dibantah atas prinsip kebebasan yang dijanjikan oleh Perlembagaan Persekutuan. Inilah perkara yang menakutkan masyarakat hari ini.

Jika pusat tahfiz ditutup pada pengakhirannya subjek agama Islam mungkin dicadangkan tidak boleh diajar secara rasmi di sekolah kebangsaan mahupun di sekolah agama rakyat. Lu­pakah kita bahawa kita me­ngajar anak dengan ajaran agama mahupun adat budaya, bukan kerana kita takut mereka tidak mahu membalas jasa kita dengan mengabaikan kita semasa tua tetapi ia menjangkau lebih daripada perimeter tersebut.

Ibu bapa mendidik anak ke­rana ibu bapanya dahulu mendidiknya dengan mo­dul yang sama dan modul tersebut jelas mewujudkan seorang insan yang kukuh akar budi dan hati dan tidak menjadi manusia yang tidak beradab dan hidup tanpa pegangan moral dan prinsip syariah. Dalam masyarakat, jika akar umbi seseorang warganya tidak kuat dan hanya mengikut prinsip logik dalam kehidupan maka kehidupannya hanya akan bertuhankan material seperti wang dan bukannya bertuhankan Allah SWT.

Kita tidak mahu lagi mewujudkan sistem pendidikan yang hanya mengajar satu campur satu adalah dua ke­rana ia hanya menjadikan mereka bijak membuat dasar memperbanyakkan keuntungan tetapi tidak bijak berfikir mengapa satu campur satu adalah dua. Sepatutnya kita perlu memikirkan untuk menggalakkan pertumbuhan pusat pendidikan agama Islam seperti tahfiz agar ia menjadi  bak cendawan tumbuh selepas hujan kerana ia pasti akan mengimbangi kewujudan pusat maksiat seperti panggung wayang, pusat refleksologi, kedai nombor ekor, pusat snooker, kedai permainan video. Bukankah cada­ngan menutup pusat hiburan sedemikian lagi afdal dicetuskan.

Pusat tahfiz dalam konteks hari ini sewajarnya menjadi pusat pengajian dibiayai secara rasmi oleh Kerajaan Pusat kerana ia terbukti mampu melahirkan huffaz profesional dalam kalangan jurutera, arkitek dan pensyarah. Sedarlah bahawa kita berada di dalam dunia serba canggih dengan media sosial mendominasi hidup kita seharian. Kita perlukan lebih ramai anggota masyarakat mempunyai ‘al-Quran’ di dalam diri mereka kerana hari ini anggota masyarakat menghadapi dilema di dalam menepis serangan-serangan fahaman yang menggugat institusi masyarakat yang bersandarkan agama Islam dan adat ketimuran.

Sesungguhnya dalam keadaan politik yang berada di bawah pentadbiran yang menjanjikan kebebasan di dalam aspek melahirkan idea dan pandangan tentang perkara yang tertakluk kepada definisi hasutan . Sebaik-baiknya kita menggunakan peluang tersebut untuk me­lahirkan buah fikiran yang menjamin kita semua terus mempunyai negara yang mantap dari sudut ekonomi dan masyarakatnya terus mempertahankan agenda untuk keamanan.

Sebaik-baiknya pusat tahfiz terus diperkasakan, ibarat menanam pokok yang rimbun dan memayungi bumi ini dengan perkara kebaikan kerana akarnya (sistem pendidikan agama Islam) kuat dan teguh. Nescaya jika akarnya baik pucuknya baik dan buahnya baik. Jangan pula kita membiarkan lalang terus tumbuh, ibarat anak muda tanpa pegangan. Hanya memilih kehidupan yang lebih baik jika bumi yang dipijak makmur dan meninggalkan perjuangan demi keselesaan diri ibarat enau melepas pucuk masing-masing.