Sememangnya, sahabat baik penulis ini telah mendidik anak-anaknya mahir dalam sukan catur sejak kecil lagi. Didikan yang dilakukan olehnya terhadap kedua-dua anak perempuan itu sejak kecil lagi telah mencetuskan minat mereka sehingga mahir dalam sukan catur. Ada sahaja kejohanan catur, pastinya kedua-dua anaknya itu akan dihantar untuk bertanding. Sesibuk mana pun rakan baik penulis ini, masih ada ruang masa diberikan olehnya buat kedua-dua anaknya untuk diasuh dan dididik untuk berjaya dalam sukan catur.

Ini antara contoh bagaimana ibu bapa cukup prihatin untuk mendidik anak-anak berjaya dalam lapangan masing-masing. Mendidik anak-anak untuk meminati sesuatu bidang yang berpotensi pada masa hadapan dan pada masa yang sama memastikan mereka benar-benar memasuki bidang yang diminati oleh mereka. Dalam apa jua bidang atau perkara sekalipun, sebaik mungkin di­didik sejak kecil lagi. Misalnya, untuk melahirkan generasi harapan yang beretika dan berintegriti, tiada jalan mudah kecuali mendidik anak-anak sejak kecil lagi. Ini satu elemen yang cukup penting bagi memastikan mereka ini sentiasa mempertahankan integriti dan etika apabila sudah dewasa kelak. Sikap dan tingkah laku sebegini yang diamalkan oleh mereka atas didikan oleh ibu bapa sejak kecil lagi akan melahirkan kesan rantaian yang positif apabila mereka pula bakal mendidik anak-anak mereka supaya beretika dan berintegriti agar memiliki akhlak tinggi pada masa hadapan.

Dalam hal ini, tidak boleh disangkal lagi, untuk melahirkan generasi harapan negara perlu bermula dari rumah lagi. Ibu bapa ialah pihak terpenting yang bertanggungjawab untuk melahirkan generasi yang benar-benar memberi harapan kepada negara. Perlulah diakui bahawa anak-anak sentiasa menjadikan ibu bapa mereka sebagai contoh dalam kehidupan mereka. Baik akhlak ibu bapa, maka Insya-Allah baiklah akhlak anak-anak mereka.

Apa yang berlaku pada masa ini, kehidupan moden telah membuatkan kita terkejar-kejar akan urusan kerja sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kehidupan sehingga terlupa tanggungjawab besar untuk mendidik anak-anak. Didikan anak-anak dipandang mudah sehinggakan tidak mengambil peduli akan isi hati mereka dan masalah yang dihadapi oleh mereka dalam proses untuk menjadikan mereka seorang manusia yang benar-benar memberi manfaat kepada negara. Maka, kita lihat berlakulah pelbagai masalah sosial dalam kalangan ge­nerasi muda. Masalah seperti merempit dan penagihan dadah, misalnya selalunya bermula dari rumah. Ditambah lagi dengan sikap masyarakat yang semakin tidak ambil peduli kerana masing-masing berasakan itu urusan orang lain telah dan sedang menjadikan permasalahan sosial semakin sukar untuk ditangani. Ambil peduli ini bukan bermaksud hanya gemar menjadikan sesuatu isu itu tular di media sosial. Sikap ambil peduli ini perlu ditunjangi untuk membentuk generasi pelapis sebagai harapan negara. Misalnya, menegur tingkah laku generasi muda dengan baik agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan mereka.

Sikap sebegini sudah menjadi amalan generasi terdahulu. Golongan lebih tua akan menegur generasi muda tentang kesilapan yang dilakukan oleh mereka. Golongan lebih muda pula akan menerima teguran dengan baik dan menghormati golongan yang lebih tua. Tidak pula dimarahi mereka kerana sudah ditanamkan dalam sanubari mereka sehingga terpancar dalam tingkah laku seharian agar sentiasa menghormati orang lebih tua.

Benar, golongan muda pada masa kini semakin berpendidikan tinggi. Namun demikian, kita juga perlu me­ngakui golongan yang lebih tua lebih berpengalaman dalam menjalani kehidupan seharian. Mereka lebih makan garam berbanding golongan lebih muda. Lebih berpengalaman bermaksud lebih memahami selok belok kehidupan. Sebab itulah terdapat kajian menunjukkan bahawa mereka yang berumur memiliki pengalaman lebih luas dan selalunya memiliki kelebihan berbanding golongan muda. Ini bukan setakat dalam hal pendidikan mahupun sosial tetapi juga dalam urusan bisnes dan tadbir urus.

Kita perlu melihat dan melaksanakan strategi secara holistik bagi melahirkan generasi pelapis yang benar-benar menjadi harapan kepada negara. Bukan setakat terlatih dan mahir dalam bidang-bidang tertentu untuk masa hadapan kerjaya yang lebih cerah buat mereka tetapi juga menjadikan mereka golongan beretika, berintegriti dan berakhlak tinggi serta mengambil peduli akan nasib golongan lain.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).