Selepas tiga hari, Megat Zulkarnain dipanggil semula oleh ayahandanya untuk merestui keputusan itu sambil disaksikan oleh ibunya, Raja Azizah Raja Ahmad Shah dan isterinya Hanizam Harun.

Sambil bersalaman, Mahaguru Omardin pun berkata: “Ingat Megat. Kalau engkau nak jadi orang politik yang betul-betul jujur dan ikhlas dengan rakyat dan tidak buat benda-benda yang tak elok, restu seorang ibu dan sebagai bapak akan sentiasa bersama-sama engkau.

“Tapi ingat, kalau engkau jadi ahli politik yang korup, salah guna kuasa, menyeleweng dan menipu rakyat maka masa itu kalau aku masih hidup, akulah orang pertama yang akan tentang engkau. Aku jadi musuh engkau nombor satu!”

Itulah antara pesanan Allahyarham Mahaguru Omardin yang masih diingati oleh anak sulungnya, Megat Zulkarnain yang kini menjadi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gombak.

“Sebab itulah bila masuk politik, saya bawa elemen silat seperti disiplin, bercakap benar dan tak bermuka-muka. Budaya main wayang tak ada dalam diari dan kamus hidup saya.

“Ini satu Gombak tahu cara politik saya. Kalau betul, betullah. Kalau salah, salahlah. Jangan nak main wayang. Saya tak boleh nak berpura-pura sebab saya dah dilatih begitu!” cerita Megat Zulkarnain kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di pejabat Kompleks Lincah Mahaguru Omardin (KLMO) di Batu Cave.

Beberapa pesanan dan kata-kata hikmat Mahaguru Omardin turut menjadi pegangan hidup dan amalan politik sihat Megat Zulkarnain sampai sekarang antaranya supaya menjadi orang nombor satu dalam semua perkara.

“Megat dalam apa-apa bidang sekali pun engkau buat jangan jadi orang nombor dua atau nombor tiga atau seterusnya sebab di depan engkau ada orang nombor satu.

“Itu pesan ayahnda paling saya ingat. Sebab itulah ayahnda sentiasa ingin jadi orang pertama membuat sesuatu perkara supaya dicontohi orang lain,” beritahu Megat Zulkarnain lagi.

Menceritakan lebih lanjut Megat Zulkarnain memberitahu, Mahaguru Omardin merupakan orang pertama sekali berenang secara solo di Selat Melaka meredah laut terbuka tanpa memakai jaket keselamatan.

“Secara logik akal orang polio tak boleh berenang tapi ayahnda guna kekuatan tangan dan dada berenang meredah lautan terbuka, berjaya,” cerita Megat lagi tersenyum.

Mahaguru Omardin turut mencipta rekod sebagai orang pertama menanam diri sendiri dalam liang lahad sedalam dua meter sekitar tahun 1960-an, di Simpang Empat, Melaka ketika berusia 22 tahun. Paling lama beliau ditanam kira-kira empat jam pada tahun 1975 di Pulau Besar, Melaka.

“Ayahnda buat semua ini bukan kerana takbur tetapi demi nak membuktikan bahawa silat Melayu itu hebat dan cerita kehebatan pahlawan dulu-dulu yang memiliki pelbagai kemahiran luar biasa adalah benar, satu fakta dan bukannya cuma dongeng,” kata Megat Zulkarnain.

Selain ditanam hidup-hidup, kekuatan ilmu persilatan yang dipelajari menyebabkan Omardin tidak tercedera ketika ditetak dengan senjata tajam, tidak melecur disiram dengan minyak panas dan tidak patah ketika terjun dari ketinggian bangunan dua tingkat serta boleh melakukan pelbagai aksi luar biasa yang lain dengan selamat.

Sebagai seorang anak Pendekar Negara Terbilang, Megat Zulkarnain tidak dapat lari daripada imej ayahandanya, seorang pejuang silat Melayu dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia yang dikagumi di seluruh dunia.

Sesudah hampir setahun lebih arwah pergi meninggalkan kita tetapi masih ramai lagi masyarakat yang sentiasa bertanyakan tentang perjuangan arwah dalam dunia silat melalui Megat Zulkarnain.

“Saya bersyukur, berterima kasih kerana di hujung nama saya ada nama Omardin. Sebab itu ke mana saya pergi orang akan tanya: Ini anak Omardin? Lalu mereka tanya pasal arwah.

“Apa keunikan arwah? Apa benda paling pelik pernah arwah buat? Saya cakap tanam hidup-hidup dalam kubur. Itu perbuatan paling pelik. Ini semua mengingatkan kembali kenangan pada arwah yang pernah berpesan supaya menjaga nama baiknya. Jadi saya berbesar hati nak bercerita,” katanya.

Megat Zulkarnain mengaku ketika mula menceburi dunia politik sebenarnya ayahandanya merasa risau kerana memikirkan siapakah pula orang yang bakal meneruskan legasi silat lincah yang diasaskan selepas ketiadaannya kelak.

“Arwah pernah cakap pada kawan-kawan silat, dia risau tengok Megat pilih arena politik. Jadi, siapa pengganti ayahanda dalam silat kerana saya dah memilih jalan saya sendiri, sebagai seorang ahli politik.

“Saya sebak bila dengar arwah berkata begitu. Tapi ketika itu saya tak dapat nak luahkan perasaan saya. Sebenarnya silatlah keutamaan saya, bukan bidang lain. Silat tetap hidup dalam diri dan jiwa saya. Bila sampai masanya saya akan pimpin. Saya tak akan lari daripada tanggungjawab ini.

“Saya akan pastikan silat lincah terus utuh. Hari ini bila arwah dah tak ada, saya teruskan amanah arwah, bersama legasi dan perjuangannya. Itu yang saya boleh bayar balik amanah pada arwah,” tegasnya yang kini memegang amanah sebagai Mahaguru Muda Silat Lincah, jawatan kedua tertinggi dalam hierarki pertubuhan silat itu.

Megat Zulkarnain memberitahu, ada dua impian Allahyarham yang dirangka semasa masih hayat telah dimakbulkan Allah setelah kematiannya. Pertama buku biografinya bertajuk “Aku Omardin” berjaya diterbitkan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Kedua, hajat arwah hendak mengumpul keempat-empat Ulul Amri Silat Lincah di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin secara serentak tercapai iaitu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Hajat arwah termakbul semasa hari kematiannya apabila keempat-empat Ulul Amri ini serentak bersama-sama solat jenazah beliau di KLMO Batu Cave.

“Sebagai seorang anak, saya tahu impian Allahyarham tidak pernah gagal,” sambil sebak, Megat Zulkarnain mengakhiri cerita tentang ayahandanya.