Inilah juga yang tidak disedari oleh diktator dan pemerintah Jerman, Adolf Hitler ketika melancarkan serangan ke atas Britain pada Perang Dunia Kedua.

Perkhidmatan Sukarelawan Wanita (WVS) Britain yang ditubuhkan pada 1939 disifatkan sebagai `tentera yang dilupakan Hitler’ kerana menganggap sesebuah negara itu akan musnah jika barisan hadapan negara yang terdiri daripada golongan lelaki hancur. WVS yang ditubuhkan Lady Stella Reading adalah pasukan khidmat sukarela yang dianggotai golongan wanita.

MEG Moorat atau dikenali sebagai `Miss Mercury' merupakan salah seorang anggota WVS yang menghan
MEG Moorat atau dikenali sebagai `Miss Mercury' merupakan salah seorang anggota WVS yang menghantar pesanan menggunakan motosikal pada 1941.

Mereka melakukan pelbagai tugas antara sebagai penghantar pesanan bermotosikal bagi menghantar dokumen-dokumen penting kepada jabatan-jabatan kerajaan dan menyediakan kantin bergerak untuk anggota bomba semasa kempen pengeboman tentera Jerman ke atas Britain atau dikenali sebagai Blitz.

Ketika perang mula tercetus, WVS mempunyai lebih 30,000 anggota dan lebih sejuta wanita yang dedikasi menyahut cabaran itu menjelang hujung 1945, bagi membantu mangsa sepanjang perang tersebut.

Beberapa keping gambar yang disiarkan oleh kumpulan itu yang kini dikenali sebagai Perkhidmatan Sukarelawan Diraja (RVS) menunjukkan sukarelawan menyikat bulu anjing yang kemudian dicukur dan bulunya dijadikan pakaian termasuk stokin untuk anggota tentera Britain.

Menurut juruarkib WVS, Matthew McMurray, jika tidak kerana sukarelawan wanita itu melakukan tugas-tugas tersebut sudah pasti Britain akan kecundang semasa perang berkenaan.

``Pihak atasan menjadikan perang itu untuk melihat siapakah yang mampu mengeluarkan banyak pesawat tetapi golongan wanita ini adalah perangsang semangat. Tanpa mereka kita tidak mampu mempunyai pasukan tempur yang hebat dan sejarah tidak akan sama,’’ katanya.

Salah satu tugas utama kumpulan itu ketika ia mula ditubuhkan adalah merekrut kaum wanita bagi perkhidmatan Air Raid Precautions (ARP) bagi membantu mengurus dan melindungi orang awam ketika serangan udara.

Kumpulan ini kemudiannya dikenali sebagai `tentera yang dilupakan Hitler’ dan memainkan peranan penting semasa perang dengan menyelesaikan 44 tugas penting sepanjang perang.

WVS adalah contoh unggul tentang semangat masyarakat Britain di tanah air mereka semasa perang, mereka melakukan semua tugas daripada menghantar bayi yang dipindahkan dari bandar-bandar menggunakan pedati keldai sehingga mengendalikan kantin bergerak. Mereka juga membantu mengutip bahan-bahan yang boleh diselamatkan berasaskan aluminium untuk membuat peluru dengan mengutip periuk dan kuali dari rumah penduduk.

Selain itu, mereka membantu melindungi anggota tentera di barisan hadapan dengan membuat jaring penyamaran di bawah kontrak Kementerian Bekalan dan berjaya menyiapkan sebanyak 129,558 jaring di 533 depot WVS antara Jun 1943 dan September 1944.

Mereka juga menggunakan kemahiran mengait untuk menjahit pakaian anggota tentera seperti stokin malah selama 21 bulan anggota WVS kebanyakan wanita berusia lebih 70 tahun, mengasing dan membungkus kertas untuk dihantar kepada anggota tentera.

Sehingga selesai projek itu sebanyak 13.5 juta kertas berjaya dikendalikan WVS dan dihantar menggunakan 60,000 beg pos.

Anggota WVS turut menyediakan Meals on Wheels pada 1943 di Welwyn Garden City, Hertforshire iaitu perkhidmatan untuk penduduk yang tidak mempunyai makanan dan fungsinya masih diteruskan sehingga ke hari ini.

Ketika penubuhannya, sukarelawan melakukan apa sahaja untuk memastikan penduduk mendapat makanan malah mereka turut menggunakan kereta sorong untuk mengangkut makanan yang ditutup dengan jerami bagi memastikannya sentiasa panas.

Pada 7 September 1940 permulaan tiga bulan pengeboman Jerman terhadap Britain yang turut dikenali sebagai Battle of Britain, seorang wanita muncul sebagai hero, Grace Rattenbury, sukarelawan dari WVS Bermondsey di London.

Jerman mengebom kawasan sekitar sungai Thames menyebabkan banyak kediaman terbakar di Bermondsey manakala jalan raya tidak boleh dilalui kerana rosak teruk selain bahang panas akibat kebakaran berkenaan. Namun Rattenbury, 40, memandu van WVS merempuh api untuk menyelamat seramai mangsa yang boleh termasuk anggota bomba yang cedera dan membawa mereka ke Keetons Road Rest Centre.

Dia berulang alik beberapa kali, kadang kala terpaksa mengelak bom yang menghujani kawasan itu malah dia sendiri tidak dapat melihat cermin hadapan kereta kerana asap tebal daripada bangunan yang terbakar.

Keberanian Rattenbury melayakkannya menerima anugerah George Medal.

WVS yang kini dikenali sebagai RVS masih terus beroperasi sehingga kini kerana kesungguhan Lady Reading mempertahankannya ekoran keputusan kerajaan Britain yang bercadang menguburkannya selepas perang tamat.

Terdapat seramai 78,000 anggota sukarelawan menganggotai RVS tetapi hari ini ia turut disertai golongan lelaki yang menjalankan tugas-tugas sukarela antaranya melawat pesakit di hospital dan mengendalikan operasi kafetaria di hospital dan kedai.

Perkhidmatan sukarelawan adalah kelangsungan sejarah yang kekal hingga ke hari ini malah kata McMurray khidmatnya akan terus diperlukan dan memainkan peranan penting dalam masyarakat.