Ia telah dikaitkan dengan pelbagai perkara seperti mendemokrasikan laporan berita hingga membantu menjatuhkan peme­rintah diktator tetapi nampaknya ‘kisah cinta’ dengan media sosial mungkin sudah berakhir.

Hanya 24 peratus daripada rakyat Britain mempercayai laporan melalui Twitter, Facebook dan Instagram ketika mencari bahan berita dan maklumat terkini, dedah satu kajian terbaharu.

Barometer Kepercayaan Edelman, yang diterbitkan pada Isnin lalu, menggambarkan hari-hari kegemilangan ketika sosial media dijulang sebagai pemangkin ‘wartawan rakyat’ dan peranannya ketika insiden Arab Spring sudah berlalu.

Sebaliknya, apa yang tinggal sekarang dibanjiri dengan beri­ta palsu dan ini telah menimbulkan kebimbangan mengenai pembulian siber, penyebaran propaganda puak pelampau serta persoalan bagaimana Snapchat, WhatsApp dan lain-lain aplikasi pintar memberi kesan kepada kanak-kanak.

Pada masa sama, tinjauan itu mendapati terdapat peningkatan mendadak sokongan kepada media tradisional sebanyak 13 mata, kepada 61 peratus, tahap paling tinggi sejak 2012.

Seorang pakar psikologi media sosial dan pensyarah di Universiti Oxford, Amy Orben berkata: “Syarikat-syarikat media sosial juga kini berdepan apa yang dihadapi sesetengah seteru mereka yang lebih tradisional ketika baru bermula dahulu.

“Dengan sebarang teknologi baharu, anda mempunyai satu daya tarikan tetapi pada satu tahap semuanya akan dicampak ke luar tingkap. Debat umum sudah berubah dalam tempoh setahun lalu. Terdapat banyak statistik membimbangkan yang telah mendorong wacana orang ramai berubah dan angka-angka ini mencerminkan apa yang sedang berlaku.”

Beberapa laporan kajian telah memberi amaran mengenai impak negatif media sosial terhadap kesihatan mental kanak-kanak. Media sosial telah dituduh menggalakkan aktiviti membuli, memburukkan lagi kebimbangan imej badan, punca masalah tidur serta perasaan seperti keresahan, kemurungan dan kesunyian.

Pertubuhan amal, Persatuan Kebangsaan bagi Pencegahan Kekejaman terhadap Kanak-kanak (NSPCC) juga menamakan media sosial sebagai satu punca utama kepada peningkatan mendadak bilangan kanak-kanak dimasukkan ke hospital kerana mencederakan diri sendiri.

Perdana Menteri Britain, Theresa May pernah menyebut tentang ‘kebimbangan dan cabaran tambahan’ yang didedahkan kepada anak muda oleh media sosial sementara Menteri Penjagaan Kesihatan dan Sosial, Jeremy Hunt pernah memberi amaran kepada syarikat-syarikat media sosial bahawa mereka boleh dikenakan sekatan sekiranya tidak me­ningkatkan usaha mencegah aktiviti mesej lu­cah, pembulian siber dan penindasan pengguna yang masih muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, minggu lalu menyatakan beliau tidak mahu anak saudaranya melayari media sosial sementara pada November lalu, bekas eksekutif Facebook, Chamath Palihapitiya dipetik berkata: “Hanya tuhan tahu apa yang media sosial lakukan kepada otak anak-anak kita.”

Orben bagaimanapun menjelaskan tidak banyak bukti kukuh untuk menyokong tindak balas tersebut.

“Ada perkara yang baik dan buruk mengenainya seperti mana-mana teknologi lain. Apa yang kita tahu sepanjang 1,000 tahun tamadun manusia adalah perasaan panik terhadap teknologi baharu sentiasa wujud. Ketika media cetak mula berkembang 500 tahun lalu, manusia turut panik me­ngenai terlalu banyak maklumat terdedah kepada orang awam.

“Saya bukan katakan orang ramai tidak mempunyai sebab untuk bimbang tetapi terlalu banyak ‘minyak’ dituang ke dalam ‘api’ itu. Tiada bukti saintifik menunjukkan media sosial menjejaskan kesihatan mental.”

Barometer Kepercayaan Edelman, iaitu tinjauan tahunan ke-18, mendapati 64 peratus daripada 1,050 responden British bimbang syarikat-syarikat media sosial tidak dikawal selia secukupnya, 69 peratus bersetuju syarikat terbabit tidak berusaha sepenuhnya bagi mencegah pembulian dan 70 peratus merasakan tidak banyak tindakan diambil untuk menghalang aktiviti ha­ram mahupun tidak beretika dalam jaringan media sosial.

Penganiayaan juga sudah menjadi satu masalah biasa bagi pengguna media sosial khususnya melibatkan tokoh masyarakat. Ramai ahli Parlimen telah menerima cemuhan dan cacian sementara artis seperti Daisy Ridley, Sam Smith dan Stephen Fry adalah sebahagian daripada selebriti yang berhenti terus atau sementara daripada jaringan media sosial akibat cemuhan dalam talian.

Penyanyi, Ed Sheeran mendedahkan tahun lalu bahawa dia sudah berhenti membaca mesej Twitter disebabkan terlalu ba­nyak kata-kata negatif.

‘Berita palsu’ perkataan yang tidak henti-henti digunakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan dipilih sebagai Perkataan Utama 2017 Kamus Collins, memang tidak dapat di­elakkan tahun lalu dan 53 peratus daripada responden yang ditinjau menyatakan mereka bimbang terdedah kepada laporan palsu dalam media sosial.

Kebimbangan terhadap berita palsu mungkin menjelaskan kenapa 42 peratus daripada responden menyatakan mereka hanya membaca tajuk utama dalam media sosial tetapi tidak membuka laporan penuh malah semakin menyokong media tradisional.

Seorang pensyarah kewartawanan di Universiti Nottingham Trent, John Collins berkata:

“Mereka telah melakukan ba­nyak perkara dengan sangat baik. Ketika media sosial baru bermula, banyak perhatian diberi kepada cara berita disebarkan dan dibaca, orang ramai suka cara baharu berita diterima dan bagaimana agenda laporan berita itu diterima dari bawah ke atas.

“Sekarang, orang ramai mencari lebih atas dalam proses tersebut, dari sumber asli kewartawanan iaitu kajian dan pengesahan sebelum sebarang berita diterbitkan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Edelman UK, Ed Williams menegaskan rakyat Britain telah menyampaikan satu mesej jelas menuntut perubahan daripada gergasi media sosial.

“Selepas dibanjiri tajuk-tajuk berita yang negatif sepanjang 2017, sudah sampai masanya syarikat-syarikat ini duduk dan dengar.

“Orang awam mahukan tindakan terhadap isu-isu utama berkaitan perlindungan dalam talian dan mahu melihat kebimbangan mereka diberi perhatian sewajarnya melalui kawal selia yang lebih baik. Kegagalan di pihak syarikat terbabit akan berdepan risiko tahap kepercayaan dan seterusnya sokongan orang ramai semakin terhakis.”

PENULIS ialah wartawan berita akhbar dalam talian berpangkalan di UK, The Guardian dan artikel disiarkan dalam laman web www.theguardian.com, kelmarin.