Berdasarkan maklum balas yang diperoleh NIOSH, amalan KKP yang baik kalangan warga media masih berada di tahap minimum dan banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai aspek KKP.

Insiden tragis yang melibatkan jurukamera Bernama TV, Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia semasa bertugas membuat liputan di Somalia pada 2011 serta kes pembunuhan warga Korea Utara menggunakan racun VX baru-baru ini menunjukkan kepentingan KKP dalam kalangan petugas media.

Tahun lalu juga terdapat seorang wartawan cedera parah apabila terkena tembakan ketika melalui kawasan kejadian jenayah di Pulau Pinang. Ini jelas menunjukkan bahawa setiap pengamal media memang terdedah kepada risiko ketika me­laksanakan tugasan.

Maka, adalah penting bagi setiap petugas media di Malaysia dididik tentang cara untuk menyesuaikan diri dengan semua situasi serta kaedah terbaik bagi mereka menguruskan risiko semasa membuat liputan atau tugasan.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia telah memperke­nalkan Garis Panduan untuk Profesional Media berkaitan dengan amalan kerja yang selamat.

Garis panduan yang bertindak sebagai Prosedur Kerja Selamat (SOP) ini membolehkan kakitangan media dilengkapi maklumat dan telah bersedia apabila menjalankan liputan media di dalam zon berbahaya dan persekitaran yang boleh mendatangkan risiko kemalangan.

Organisasi media dan majikan harus menyedari bahawa empat faktor utama yang menjustifikasikan pengurus­an KKP adalah tanggung jawab sosial syarikat, kewajipan sosial dan moral, kriteria perniagaan yang baik dan kewajipan undang-undang.

Pengurusan KKP yang baik adalah elemen penting bagi sistem pengurusan syarikat yang baik secara keseluruhan. Menguruskan KKP tidak hanya penting untuk daya saing perniagaan tetapi juga menjamin keselamatan dan kesejahteraan tenaga kerja.

Kemajuan dalam teknologi komunikasi telah meningkatkan permintaan bagi mendapatkan maklumat terkini dan organisasi media sering bersaing di antara satu sama lain untuk menghantar berita-berita terkini.

Kod Antarabangsa Amalan Perlakuan Selamat bagi bidang kewartawanan menyatakan bahawa profesional media mesti dimaklumkan mengenai hal ehwal politik, fizikal dan sosial di kawasan mereka bekerja.

Mereka juga perlu dilengkapi dengan alat-alat pertolong­an cemas, peralatan perlindungan diri, alat komunikasi, kemudahan pengangkutan yang mencukupi serta pakaian perlindungan jika perlu ketika keluar melakukan tugasan.

Sehubungan itu, NIOSH berhasrat bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meng­anjurkan program-program latihan bagi pengamal media tempatan.

Antara latihan yang boleh diadakan adalah asas pertolongan cemas, penilaian risiko atau HIRARC, teknik kemahiran hidup, penggunaan alat perlindungan diri serta informasi mengenai kawasan di mana mereka akan bertugas.

Dalam kebanyakan kes, wartawan dan jurugambar mungkin tidak sedar akan bahaya yang bakal mereka hadapi ketika bertugas di tempat kejadian seperti kebakaran, banjir, letupan bahan kimia, tanah runtuh, tempat berair deras, tanah tinggi, ruang terkurung dan sebagainya.

Keselamatan ketika dalam perjalanan ke tempat tugasan dan pulang juga perlu diambil perhatian dengan serius. Terdapat juga wartawan atau jurugambar yang menunggang motosikal ke tempat tugasan.

Menurut data Perkeso, bilangan kes kemalangan ketika pergi atau balik dari tempat kerja semakin meningkat setiap tahun. Hasil kajian Perkeso juga mendapati bahawa dua daripada tiga kes kemalangan jalan raya yang berlaku adalah melibatkan perjalanan pergi balik ke tempat kerja.

Wartawan dan jurugambar perlu diberikan latihan terutamanya di lokasi pemberitaan yang berisiko tinggi. Keperluan ini sememangnya telah dinyatakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Mereka juga perlu diberi maklumat dan dimaklumkan mengenai risiko terhadap kesihatan dan keselamatan mereka manakala Peralatan Perlindungan Diri yang bersesuaian berkualiti juga perlu disediakan.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pertubuhan media untuk melindungi kakitangan mereka. Perkara yang perlu diberi penekanan adalah persediaan yang cukup oleh wartawan dan media sebelum melakukan tugasan.

Pendidikan dan latihan KKP sangat penting dan organi­sasi media harus melihat latihan sebagai pelaburan dan bukan perbelanjaan dan bebanan.

Tugas wartawan adalah untuk melaporkan berita, dan bukan untuk menjadi bahan berita. Seorang wartawan yang meletakkan dirinya di dalam keadaan yang berisiko dan sia-sia serta berkelakuan dengan cara yang tidak profesional, akhirnya tidak akan dapat melaporkan berita atau menunjukkan gambar yang perlu dilihat oleh orang ramai.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH).