Media sosial dari segi penggunanya agak jauh lebih tinggi daripada penggunaan media tradi­sional, maka pengaruhnya amatlah meluas dan sumber media sosial juga tidak terhad, kerana disalurkan oleh orang perseorangan, bukan agensi dan badan ter­tentu seperti media tradisional.

Oleh kerana terdapat perbezaan yang ketara antara pengguna media tradisional dan media sosial, maka pengisian media dalam kedua-dua kategori itu haruslah dibuat secara rapi untuk menarik tatapan penggunanya.

Pengamal media perlu sentiasa sedar bahawa cabaran pengisian media haruslah memen­tingkan psikologi dan gabungan pemikiran lama dan baharu khususnya ketika terminologi media kelihatannya semakin terkesan, dan sumber pengisian berita amat cepat menembusi jaringan sosial melalui telefon pintar dan tablet, dan perkongsian maklumatnya pula dalam pelbagai wadah seperti blog, mikroblog, aplikasi yang amat cepat sekali menghubungkan manusia di seluruh dunia.

Dengan itu dalam usaha menggunakan media lama dan baharu dalam konteks agenda perpaduan ummah, maka pengendali dari segi pengisian dan persembahannya mestilah terdiri dalam kala­ngan pakar yang berilmu dalam bidang pengajian media massa, bahasa, teknik persembahan dan seterusnya.

Dalam mengha­dapi kecelaruan mak­lumat yang di­salurkan oleh me­dia sosial, maka media tradisional haruslah menawarkan maklumat dan pemikiran yang mam­pu menyampaikan maklumat alternatif dari segi kesahihan maklumat dan kebertanggungjawaban yang sebenarnya.

Cabaran perpaduan ummah Islam di seluruh dunia kini amat tergugat dengan kepelbagaian tekanan dan desakan segala aspek bidang kehidupan yang amat ketara pada hari ini. Di antara cabaran itu adalah:

l Gerakan Islamofobia yang kelihatannya masih dicetuskan terutamanya oleh media Barat tentang imej Islam yang tercemar kerana gerakan radikalisme dan ekstremisme segelintir pejuang Islam yang tertekan dan terjajah oleh kuasa besar, terutamanya apabila timbul pula gerakan kumpulan pengganas yang tidak diketahui asal usulnya, namun dikaitkan dengan Islam.

l Gerakan Ateisme yang dilancarkan di dalam masyarakat dunia melalui media sosial, dan forum-forum perdebatan, yang dengan jelas mempromosikan golongan ateis sebagai golongan yang relevan dengan perkemba­ngan zaman baharu dibandingkan dengan penganut agama (the believers) apa-apa agama sahaja.

l Kelemahan umat Islam sendiri dalam pengurusan negara, politik, ekonomi, alam sekitar, pendidikan dan sebagainya yang menjadi halangan untuk umat Islam bangun menjadi pencipta teknologi dan segala bidang kemajuan dunia, daripada hanya menjadi pengguna sahaja.

l Kelemahan kepemimpinan negara-negara Islam dalam politik dan jati diri negara, sehingga negara Islam kelihatan mengalami krisis kepemimpinan, atau yang masih dapat diperangkap oleh jerat kuasa-kuasa besar untuk memecahbelahkan negara-negara Islam sendiri.

l Pendidikan Islam yang masih jauh dari aliran membentuk manusia yang mantap dalam ilmu dunia dan akhirat, minda dan roh, etika dan akhlak, adalah kelemahan yang masih membe­lenggu pergantungan umat Islam kepada kuasa luar.

Dalam menghadapi kelemahan ini, maka media tradisional di negara ini termasuk saluran televisyen, radio dan akhbar yang ber­khidmat dengan kerajaan. haruslah menggunakan sebaiknya dalam penerbitannya untuk penonton dan rakyat memahami isu-isu negara dan rakyat serta menawarkan penyelesaian bagi sebarang masalah yang timbul di dalam negara, termasuk masyarakat Islam, dan hubungannya dengan masyarakat bukan Islam.

Salah satu saluran penyampai­an yang secara langsung dapat diikuti oleh ramai umat Islam adalah khutbah Jumaat.

Media ini seharusnya dapat membicarakan pengisian semasa dengan persembahan yang menarik, menjana pemikiran dan menyentuh hati nurani jemaah, yang bukan hanya isu-isu ibadat dan fardu ain. Malah memfokuskan juga kepada bidang kehidupan ummah semasa, dengan segala kekuatan dan kelemahannya, serta dapat menjawab segala persoalan serta permasalahan yang timbul dalam kalangan umat Islam sendiri, termasuk isu perpecahannya yang merugikan.

Untuk meningkatkan lagi keberkesanan media di negara kita ini, maka tidak syak lagi, bahawa pemusatan kerja dan penggemblengan pemikiran serta tenaga profesional dalam bidang media ini perlulah diperkasakan.

Saluran media elektronik dan media cetak, televisyen, radio, akhbar, majalah dan sebagainya bukanlah gelanggang hiburan mendatar, tanpa menyentuh dan membangkitkan daya pemikiran pengguna.

Saluran media sosial pula bukanlah hanya pengisian peribadi, kritikan, krisis, dan berbagai-bagai pengisian kosong yang berbentuk khurafat atau jenaka murahan semata-mata.

Ketika masyarakat di negara ini sering mempersoalkan kepentingan institusi agama dan kemantapannya, seperti yang ditimbulkan tentang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) umpamanya, maka amatlah diharapkan pihak media dan publisiti dapat merealisasikan agenda perpaduan ummah ini.

Justeru, takrifan dan konsep perpaduan ummah harus dikenalpasti dengan mengetahui apakah kekuatan dan kelemahannya, masalah yang dihadapi dalam konteks perpaduan ummah, strategi holistik yang seharusnya dilakukan dan penyelidikan yang perlu digiatkan dalam menyelesaikan masalah, kelemahan, merangka strategi baharu, malah mengenal pasti tugas baharu golongan ibu bapa dalam bidang keibubapaan, pendidik, ulama dan mufti,dan pemimpin di semua peringkat.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).