Kedua-dua syarikat akhbar ini bukan dimiliki oleh satu entiti. Sebaliknya, mereka adalah pesaing sengit, lapor agensi berita rasmi China, Xinhua.

Penyiaran iklan pesaing tersebut mengejutkan pembaca setia akhbar masing-masing, dan gambar muka depan tersebut tersebar meluas di dalam media sosial China.

Menurut Xinhua, Pengurus Besar Qilu Evening News, Zhang Tianwei berkata, ia telah menjadi sesuatu yang mendesak bagi media tradisional untuk menjalin kerjasama bagi menghadapi cabaran yang tercetus daripada media dalam talian.

Edaran akhbar di China telah menyusut 7.3 peratus pada 2015 berbanding 2014, dengan bilangan halaman muka surat menyusut 19.1 peratus, menurut laporan Pentadbiran Negara bagi Media, Percetakan, Radio, Filem dan Televisyen. Pada tempoh yang sama, perolehan jatuh 10.3 peratus dengan keuntungan menjunam 53.2 peratus.

Sebanyak 31 kumpulan akhbar mencatat kerugian pada 2015, berbanding hanya 17 pada 2014.

“Akhbar kehilangan pelanggan dan pengiklan. Media Internet dan media sosial memberi impak besar kepada media cetak,” kata Ketua Editor Ji’nan Times, Zhao Zhiguo.

China memiliki 688 juta pengguna Internet, setakat 2015 dengan kadar penembusan Internet 50.3 peratus, menurut statistik Pusat Maklumat Rangkaian Internet China. Dalam kalangan pengguna Internet China, sebanyak 90.1 peratus melayarinya menerusi telefon bimbit.

Media baharu pesat menguasai pasaran di negara paling padat penduduk di dunia itu. Syarikat Internet China, Tencent yang memiliki Wechat, mengumumkan perolehan pengiklanan dalam taliannya melonjak 110 peratus pada 2015, mencecah AS$2.6 bilion.

Inilah fenomena sebenar industri akhbar di seluruh dunia, baik di negara maju mahupun baharu membangun. Berikut adalah antara fakta industri akhbar yang dikumpul oleh Merrepak:

1 NEW YORK TIMES

Akhbar ini dilahirkan pada 18 September 1851 oleh The New York Times Company dan merupakan akhbar berpengaruh di Amerika Syarikat (AS). NYT telah memenangi 117 Hadiah Pulitzer. Ia menikmati zaman gemilang dengan kedudukan kedua pengedaran terbesar tetapi menyusut kepada beberapa juta naskhah sejak 1990 ekoran perkembangan Internet.

NYT memutuskan mengurangkan saiznya sebanyak 5 peratus bermula April 2008. Perubahan tersebut dapat menjimatkan AS$42 juta setahun, menurut syarikat itu.

2 NEWSWEEK

Majalah berita mingguan ini ditamatkan versi cetakan pada 2012 setelah wujud sejak 1933. Punca: pembaca beralih ke dalam talian. Editornya ketika itu, Tina Brown dilaporkan berkata, “kita telah tiba ke titik akhir di mana kita boleh mencapai pembaca kita secara berkesan dalam format digital keseluruhannya.” Pada 14 Mac 2014, versi cetak majalah ini kembali ke pasaran setelah ekuitinya dibeli IBT Media.

3 USA TODAY

Melaksanakan pembuangan pekerja terbesar pada 2014 melibatkan kira-kia 70 kakitangan atau 50 peratus di dalam bilik berita. Langkah itu dilakukan bagi membolehkan syarikat menyusun semula model perniagaan daripada media cetak kepada dalam talian.

4 FINANCIAL TIMES

Akhbar kewangan United Kingdom berpengaruh ini lahir pada 10 Januari 1888 dengan nama asal London Financial Guide. FT banyak menghasilkan inovasi dalam menarik pembaca dalam talian, termasuk pada 2007, memberikan akses percuma FT.com selama sebulan, sebelum pembaca dikenakan caj. Di sebalik itu, pemiliknya iaitu Pearson PLC bersetuju menjual FT kepada kumpulan media kewangan Jepun, Nikkei sebanyak AS$1.32 bilion pada November 2015.

5 THE INDEPENDENT UK

Versi cetak terakhir akhbar yang lahir pada 1986 ini ialah pada 26 Mac lalu. Pemiliknya, Evgeny Lebedev, mengumumkan penamatan versi cetak (bersama dengan pembuangan 100 pekerja) serta keseluruhan aset dan jenama Independent iaitu Indy untuk edisi Ahad, Evening Standard, versi akhbar 'i’ dan stesen televisyen London Live. Akhbar ‘i’ dijual kepada Johnston Press pada harga £24 juta. Faktor: penyusutan edaran dan hasil iklan akibat Internet.

6 NYAHSENARAI

Beberapa syarikat akhbar di AS termasuk The McClatchy Company menyaksikan nilai sahamnya merudum. McClatchy merupakan syarikat akhbar ketiga terbesar di AS dan satu-satunya pembida bagi rantaian akhbar Knight-Ridder pada 2005. Tetapi sejak itu, saham McClatchy hilang 98 peratus nilai mendorongnya membuat pembuangan pekerja dan pemotongan gaji. McClatchy berdepan dengan tindakan penyahsenaraian dari Bursa Saham New York tetapi pada September 2009, ia berjaya memulihkan kewangannya. Tetapi tidak semua berjaya. Antara 2008 dan 2009, tiga lagi syarikat akhbar AS telah dinyahsenarai.

Rumusannya, trend yang dihadapi industri akhbar hari ini ialah Internet. Pengamal-pengamal media menyedari perkara ini sejak bermulanya ledakan maklumat di seluruh dunia dengan akses kepada Internet lebih luas dan gajet elektronik yang semakin canggih serta murah.

Banyak syarikat akhbar sudah melaksanakan program transformasi masing-masing bagi menyesuaikan diri dengan trend industri masa kini. Ia tidak mudah dan memerlukan modal besar. Transformasi yang dilakukan akan turut melanda industri akhbar negara ini, tidak lama lagi.