Namun tidak tahu di mana silapnya, selepas lima kali penganjuran di Kuala Lumpur, masih ada rakyat Malaysia yang tidak menyedari akan kejohanan sukan peringkat rantau Asia Tenggara ini bakal dilangsungkan di Kuala Lumpur sekali lagi pada 19 hingga 30 Ogos ini buat kali keenam.

Hendak kata tiada promosi, rasanya sejak persiapan rancak dilakukan, ada sahaja berita mengenai kejohanan ini diuar-uarkan. Mungkinkah sikap masyarakat sendiri yang acuh tidak acuh atau tidak ambil tahu tentang peranan Malaysia sebagai tuan rumah kepada sukan dwitahunan ini terutama golongan muda?

Untuk menyalahkan masy­arakat 100 peratus juga tidak adil kerana menurut rekod, seramai 50,000 rakyat Malaysia telah memohon dan menawarkan diri sebagai sukarelawan untuk KL 2017 menerusi aplikasi dalam talian.

Daripada jumlah tersebut, seramai 13,000 calon terpilih. Seramai 9,000 orang dipilih sebagai sukarelawan Sukan Asia Tenggara 2017 sementara 4,000 orang lagi dipilih sebagai sukarelawan Sukan Para ASEAN 2017.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada mereka yang telah menawarkan diri dan kepada mereka yang berjaya. Sesungguhnya semangat kesukanan dan kenegaraan yang tinggi ini wajar dicontohi dan dipuji.

Berbalik kepada persoalan asal, meskipun persiapan rancak dibuat, namun bahang kehangatan kejohanan masih belum benar-benar dirasai di seluruh negara. Menyalahkan pihak penganjur dan kerajaan 100 peratus juga rasanya tidak wajar kerana mereka telah bertungkus-lumus ­merancang dan merencana agenda untuk menyemarakkan temasya kali ini sejak mula lagi.

Bagi penghuni kota Metropolitan Kuala Lumpur, bahang kehangatan temasya ini memang sudah lama dirasakan dengan kerja-kerja pemasangan papan-papan iklan di seluruh bandar raya sedang rancak dilakukan.

Sana-sini kelihatan pemandangan KL2017, namun begitu demam KL2017 masih belum benar-benar dirasai khususnya di luar Kuala Lumpur. Mungkin jugakah disebabkan Kejohanan Sukan SEA dianggap kecil dan tidak popular seperti Sukan Komanwel atau Olimpik?

Justeru ia dipandang sepi bukan sahaja oleh masyarakat tetapi juga oleh pihak penaja? Malah ada yang masih terpinga-pinga dan tidak tahu apa-apa tentang temasya ini padahal menerusi kejohanan inilah atlet-atlet hebat negara sudah banyak dilahirkan sehingga ke peringkat dunia.

Malah, penerjun negara Cheong Jun Hoong yang memenangi pingat emas dalam acara terjun 10 meter platform individu wanita di Kejohanan Akuatik Dunia (FINA) baru-baru ini juga lahir dari Sukan SEA.

Begitu juga atlet Para Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia di London. Justeru, bagaimana hendak menarik penyertaan dan penglibatan seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan muda dan penduduk di luar Kuala Lumpur?

Dengan kos sara hidup yang tinggi mungkin ada yang memberikan alasan kekangan kewangan untuk datang ke Kuala Lumpur, tidak mampu beli tiket, makan minum serta penginapan.

Tetapi jangan lupa kita berada dalam zaman teknologi di hujung jari. Tidak semestinya sokong dengan wang ringgit yang banyak, sokong dengan semangat kesukanan dan kenegaraan yang tinggi juga sudah memadai.

Apa yang boleh dilakukan pada ketika ini? Antaranya adalah:

Pertama, lupakan perbezaan politik, buang semangat kenegerian sebaliknya hidupkan semangat kenegaraan terutamanya di laman-laman sosial yang menjadi penghubung terpantas dalam zaman ini. Ambil tahu dan ambil maklum dengan semua maklumat yang melibatkan KL2017 dan Malaysia.

Kedua, hentikan sementara berkongsi berita mengenai gosip artis terkini dan kisah-kisah hiburan yang tidak berfaedah. Sebaliknya, kongsi sebanyak mungkin berita mengenai perkembangan sukan SEA, KL2017, berita tentang atlet, info yang bagus mengenai Malaysia, tempat-tempat menarik dan sebagainya supaya menjadi tular di media sosial.

Rakyat Malaysia sangat kreatif. Banyak laman media sosial yang mampu menularkan video dan sebagainya untuk mempopularkan Malaysia dengan cara yang positif.

Ketiga, guna sebanyak mungkin hashtag yang merujuk kepada KL2017 dengan tujuan untuk memberitahu kepada dunia yang Malaysia kini menganjurkan temasya di peringkat Asia Tenggara.

Keempat, buat video live sebelum, semasa dan selepas KL2017 berlangsung seperti mana lambakan video tutorial solekan yang berada dalam laman sosial terutamanya Facebook. Dengan jumlah penduduk Malaysia yang sehingga kini telah mencecah sebanyak 31.7 juta orang (sehingga 2016) tidak mustahil KL2017 akan menjadi trending jika sebahagian daripada jumlah tersebut berkongsi video dan memainkan peranan masing-masing di laman sosial.

Kelima, sokong pembelian barangan rasmi 2017 untuk diberikan sebagai hadiah atau cenderahati kepada kenalan di dalam dan luar negara. Paling tidak pun beli sebagai kenang-kenangan untuk diri sendiri.

Tunjukkan kepada dunia akan kewibawaan Malaysia yang profesional dalam menganjurkan sukan yang berprestij dan juga komited dalam melahirkan atlet yang berkualiti. Begitu juga dengan rakyatnya yang patriotik serta mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

Biarlah KL2017 nanti menjadi medan menuai emas dan menjulang patriotisme buat Malaysia.