MINGGUAN: Berdasarkan situasi politik semasa, adakah kerjasama antara parti komponen dalam BN masih relevan?

SOI LEK: MCA seharusnya keluar daripada BN, sokongan kaum Cina kepada MCA dan BN kian merosot sejak 2008, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pula mereka kehilangan kuasa sebagai parti pemerintah. Kita perlu mengkaji punca MCA dan BN yang dahulu kukuh dan mempunyai prestasi cemerlang tetapi hari ini orang Cina tidak mahu sokong lagi. Ini kerana, DAP berjaya meraih sokongan masyarakat Cina, India dan sebahagian orang Melayu di bandar kerana kepimpinan UMNO dianggap rasuah, sombong, salah guna kuasa dan tidak tahu menghormati pemimpin parti komponen BN lain. Saya sudah menjadi wakil rakyat lebih 30 tahun sejak 1986 hingga bersara, perubahan sikap UMNO semakin ketara. Mereka tidak begitu sensitif dan tidak boleh saling bantu membantu. Mereka terus menghina parti komponen lain seperti dilakukan Datuk Seri Nazri Aziz, jadi ini yang dieksploitasi oleh DAP.

Selain itu, masyarakat Cina melihat peranan MCA dalam BN hanya sebagai pak turut dan gagal menjaga kepentingan negara dan kaum Cina. Faktor ini digunakan oleh DAP dengan menuding jari terhadap semua masalah disebabkan BN dan kelemahan MCA.

Jika MCA keluar BN adakah mampu meraih semula sokongan kaum Cina?

SOI LEK:Ini berlaku disebabkan pengun­di mahu menukar kerajaan keti­ka PRU Ke-14 dan selepas tukar so­ko­ngan rakyat sudah pasti tidak kem­bali secara automatik. Selain itu, jika MCA keluar BN, sokongan kaum Melayu kepada mereka juga akan turun. Bagaimanapun, pada pandangan saya MCA kena keluar BN dan berani berdikari, jika terus bersama-sama UMNO dan kemudiannya UMNO menjalin kerjasama dengan Pas, MCA akan mati lebih cepat kerana tidak mendapat sokongan masyarakat Cina.

Pemimpin Pas ada hak menjaga umat Islam dan Melayu tetapi janganlah sam­pai menguris hati bangsa lain, jika dilihat bebe­rapa kenyataan yang dikeluarkan Pas sebelum ini seperti lebih baik negara dipimpin orang Islam yang rasuah berbanding dipimpin bukan Islam yang bersih dan cekap tidak boleh diterima orang lain. Perkara ini juga menunjukkan orang bukan Islam dianaktirikan. Apabila berlaku isu ini, DAP akan muncul tanpa perlu bekerja bersungguh-sungguh.

Tetapi jika BN bekerjasama dengan Pas, sudah pasti MCA peroleh kelebihan terutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

SOI LEK:Itu di kawasan Melayu, bagaimana kawasan Cina? Orang Cina tetap akan tolak Pas, bukan sebab agama. Orang Cina tiada masalah dengan Islam sebab pernah sokong BN dahulu. Isunya mereka sombong, tidak menghormati sensitiviti dan keluarkan pandangan menguris hati orang lain.

Dalam PRU Ke-13 Pas bersama DAP dalam Pakatan Rakyat (PR), kenapa masyarakat Cina boleh menerima kerjasama ini berbanding BN dan Pas?

SOI LEK: Ini disebabkan masyarakat Cina hendak menukar kerajaan kerana sudah bosan dengan UMNO dan BN, kalau lihat situasi sekarang DAP pun sudah tidak berani bersama Pas.

Pestasi Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong sebagai Presiden MCA ?

SOI LEK: Tidak dapat dinafikan beliau berjaya memainkan peranan ini tetapi malangnya hanya beliau seorang sahaja berjuang. MCA perlu berjuang sebagai satu parti pembangkang bukan hanya bergantung kepada Ka Siong.

Bagi saya, setakat ini beliau berjaya sebagai pemimpin yang memainkan peranan sebagai pembangkang biar pun dari sudut lain rakyat hanya nampak UMNO lebih menonjol. Namun sekarang rakyat melihat hanya Datuk Seri Najib Tun Razak menonjol dalam UMNO dan mewakili UMNO sebagai suara pembangkang, jadi dimanakah pemimpin UMNO yang lain? Kenapa tanggungjawab yang besar ini diserahkan kepada Najib sahaja.

Mesej Tan Sri kepada MCA?

SOI LEK: Masalah MCA sekarang mereka berpuak-puak, jika ditanya kepada akar umbi mereka mengakuinya tetapi kepimpinan MCA menafikannya, malah sehingga kini nama saya masih menghantui mereka biar pun saya sudah bersara. MCA tidak seharusnya hanya menumpu perhatian terhadap isu kaum Cina tetapi turut sama memperjuangkan isu semasa melibatkan semua kaum. Biar pun berteraskan kaum Cina, mereka perlu menonjolkan ciri-ciri Malaysia, dengan tidak hanya menyentuh isu berkaitan sekolah aliran cina, kampung Cina dan tokong. Biar pun, isu ini penting mereka juga perlu menyentuh isu berkaitan semua rakyat Malaysia.