Terdapat banyak personaliti pada masa lalu telah mempunyai peluang dan keupayaan untuk menjadi pemimpin muktamad.

Tetapi disebabkan nasib tidak menyebelahi, mereka terpaksa berhenti pada satu tahap dalam kerjaya politik mereka. Dan akhirnya tergolong dalam kumpulan-kumpulan yang biasa.

Kemungkinan-kemungkinan politik ini boleh datang pada bila-bila masa dan mana-mana peringkat.

Yang Berhormat Datuk Osman Sapian adalah calon Menteri Besar (MB) dari Pakatan Harapan (PH) apabila dinamakan pada 12 Mei tahun lalu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu bukan calon dari Istana walaupun Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempunyai hak berbuat demikian di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri.

Ketika itu dipersembahkan beberapa nama, dengan Osman salah satu nama paling kanan di Johor selepas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Memandangkan Muhyiddin ke Pusat untuk berada dalam Kabinet, Osman jelas pilihan tepat PH dan Putrajaya.


KONTROVERSI

Masa berlalu. Banyak complaint diterima pasal Osman. Selepas beberapa bulan menjadi Menteri Besar, beliau dikatakan telah menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam kerajaan negeri Johor. Ia berkisar kelemahan pentadbirannya.

Beliau dikatakan mudah terjebak dengan kontroversi. Lepas satu, satu. Antaranya isu tiada sijil kelulusan yang sah, tidak perform dalam menjalankan tugas sebagai MB, kontroversi peribadi dan kegagalan mengurus bencana toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang termasuk ungkapan ‘tutup pintu, tingkap’.

Begitu juga beliau gagal menjadi penghubung yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat apabila tidak mengetahui mengenai projek pemindahan kapal ke kapal (STS) akan dibina di perairan Johor.

Banyak keganjilan di negeri Ujong Tanah itu semasa pentadbirannya. Pernah Osman membangkitkan dalam sesi pemukiman di Putrajaya bahawa Johor mahu menampung sendiri keperluan sumber bekalan air terawat dari Singapura.

Padahal air terawat 50 sen yang dibeli dari Singapura itu jauh lebih murah berbanding kos yang dikenakan oleh SAJ-Ranhill (penyedia dan pengurus perkhidmatan air Johor). Sepatutnya air terawat yang dibeli dari Singapura ini boleh menjadi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri.

Menurut sumber kepada akhbar ini semalam, pihak Istana dikatakan sudah menasihati Osman supaya berbincang dengan partinya (Bersatu) mengenai kedudukan beliau. Tetapi Istana tidak buat keputusan sendiri, sebaliknya merujuk kepada pucuk pimpinan kerajaan.

“Cuma peletakan jawatan Osman ada yang mengatakan ia ‘diarahkan’ oleh Putrajaya. Sedangkan Osman sebenarnya telah menulis surat kepada Istana tetapi Istana telah mengirimkan salinan surat berkenaan kepada kepimpinan Pusat oleh kerana Tuanku kini berada di luar negara.

Seelok-eloknya tunggulah Tuanku pulang dari luar negara dahulu, baru buat pengumuman (peletakan jawatan Menteri Besar).

“Kalau di era Barisan Nasional (BN), perkara ini dibuat secara berhati-hati,” menurut sumber berkenaan.

Isu kedua, menurut sumber berkenaan berhubung calon pengganti Osman. Difahamkan, tidak ada masalah bagi pihak Istana, asalkan calon MB dari kalangan anggota exco.

Ini dipercayai bagi mengelak berulang insiden kurang kelayakan sebagai Menteri Besar. Osman sebelum ini tidak ada pengalaman duduk dalam exco.

“Dengan memilih calon baharu Menteri Besar daripada exco, sekurang-kurangnya calon tersebut memiliki pengalaman dalam 11 bulan atau setahun ini (selepas PH berkuasa 9 Mei 2018),” menurut sumber itu lagi.

UNIK

Johor unik kerana wujud kesinambungan antara raja dan rakyatnya. Bahawa raja bukan sekadar simbol, tetapi raja sebagai pemerintah - Raja Berperlembagaan. Di Johor, rakyatnya selain meletakkan kepercayaan kepada orang politik, turut meletakkan pengharapan tinggi kepada Sultan - raja memerintah negeri Johor dan seluruh jajahan takluknya.

Sejak zaman berzaman Sultan Johor rapat dengan Menteri Besar. Banyak nasihat berkaitan ekonomi, pelaburan dan hubungan Johor-Singapura dibincangkan bersama.

Justeru, tidak boleh calon Menteri Besar ‘sekadar si polan itu, si polan ini’. Perlu ada sedikit sebanyak pengalaman pentadbiran.

Mengikut Perkara 3 (1) Undang-undang Tubuh Johor, Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan pelantikan individu yang layak menjadi Menteri Besar. Dalam isu pelantikan Menteri Besar, Sultan Johor tidak perlu bertindak atas nasihat mana-mana pihak.

Dalam erti kata lain, Perlembagaan memperuntukkan kuasa berada di tangan rakyat dalam proses demokrasi pilihan raya untuk memilih pemimpin di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun DYMM Sultan Johor adalah raja yang memerintah. Baginda mempunyai kuasa melantik Menteri Besar berdasarkan undang-undang yang ditetapkan mengikut Perlembagaan.

Ada kata-kata bijaksana merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau harus tidak dibuat kerana nanti orang nampak. Atau orang akan bertindak balas.

Lalu dikatakan, penghuni rumah kaca jangan buang batu. Nanti apabila orang baling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya tidak semua ahli politik berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa.

Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai. Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak disangka-sangka.

Sejarah Melayu sering menggunakan pantun untuk menggambarkan ciri-ciri utama seorang pemimpin yang baik:

Kalau mencari tempat mandi
Pertama keluk kedua pantai
Kalau mencari pemimpin negeri
Pertama elok kedua pandai.