Siapa sangka hasil usaha gigih selama ini, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu semakin menyerlah dalam bidang seni lakonan tanah air.

Gadis manis yang petah berbahasa Melayu Sarawak, Hokkien, Mandarin dan Inggeris itu mengakui sebelum terjun dalam bidang seni lakonan, dia memulakan kerjaya seni dalam bidang peragaan dan pertandingan ratu cantik.

“Bermula dengan peragaan sejak di bangku sekolah, saya kemudian menyertai pertandingan ratu cantik Miss Fair and Lovely World Harvest Festival pada 2010,” katanya kepada S2.

Namun hasratnya terpaksa dilupakan bagi memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). 

Antara kejayaan yang dicapai May May dalam pertandingan ratu cantik ialah memenangi Miss Sarawak Earth Air 2016, Miss Malaysia Earth Fire 2017 dan Supermodel International Borneo Malaysia 2017.

May May berkata, bakatnya dalam dunia lakonan semakin bersinar selepas ditawarkan berlakon bagi mengisi kekosongan watak tambahan untuk drama Zahira pada 2015.

“Saya tidak menyangka lakonan pertama ini membawa tuah apabila menerima tawaran membintangi drama Gerak Khas,” ujarnya.

Menjelas lanjut, katanya, sebaik sahaja lakonannya bagi episod drama popular TV2 itu berakhir, May May mengakui rezekinya semakin mencurah-curah apabila menerima semakin banyak tawaran berlakon.

“Saya tak sangka dapat tawaran berlakon yang tidak putus-putus, daripada drama sehinggalah ke filem,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka watak sampingan drama siri slot  Samarinda Zahira TV3 membawa tuah sehingga melonjakkan namanya dalam bidang seni lakonan tanah air.

Katanya, watak kecil yang dibawa bersama Zara Zya, Ryzal Jaafar, Fazren Rafi serta Adi Putra selaku hero drama tersebut memberi ruang luas kepadanya  untuk mengembangkan karier lakonan.

Setakat ini, katanya, dia sudah membintangi tiga buah filem dan beberapa drama tempatan.

“Tak ingat jumlah drama yang saya sudah berlakon. Memang banyak, malah ada beberapa lagi drama belum ditayangkan seperti Kenyalang I’m In Love (TV3), Gertak Cinta Stetoskop (RTM) dan Selamat Malam Tan Sri,” ujarnya.

Menceritakan pengalaman mula berlakon, May May mengakui pada peringkat awal agak sukar untuknya menjiwai watak yang diberikan, lantaran  berbeza bahasa dan budaya. 

“Pada mulanya, memang agak ralat kerana saya berlakon bersama pelakon yang sudah terkenal dan berpengalaman. 

Bagaimanapun, lama kelamaan saya sudah terbiasa dan mampu membawakan apa jua watak yang diberikan dengan baik,” jelasnya.

Katanya, tidak susah untuk menjiwai satu-satu watak, asalkan mendengar kata dan arahan pengarah.

Tambahnya, dia bertuah kerana mempunyai rakan-rakan pelakon yang tidak lokek berkongsi pengalaman dan mereka banyak memberikannya tunjuk ajar.