Mengapa Trump membuat keputusan untuk keluar dari TPP kerana ia adalah salah satu janji kempennya kerana pada pendapat beliau perkongsian tersebut merugikan rakyat Amerika. Maka Trump memilih jalan mudah dengan menarik AS keluar walaupun beliau akur kebaikan untuk kekal jauh mengatasi manfaat mengotakan janji kempen pilihan raya presiden.
 Hakikatnya adalah kesemua 11 negara yang masih kekal dalam TPP telah berusaha keras untuk menyelamatkan perkongsian ini walaupun tanpa AS yang telah mengurangkan secara drastik pengaruh kumpulan ini.
Umpamanya nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara kolektif 12 negara ahli asal adalah 38 peratus tetapi tanpa kehadiran AS nilainya merundum kepada 13.6 peratus sahaja berbanding dengan nilai KDNK global. Tetapi Malaysia tetap setia dalam TPP yang pada ketika ini dikenali sebagai Pengikatan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) iaitu seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat di Da Nang, Vietnam pada 11 November lepas.
Keputusan kekal dibuat bukan kerana hanya mengikuti hasrat 10 negara lain tetapi kerana wujud hala tuju strategik yang mampu memberi manfaat kepada negara dalam jangka masa panjang.
 Apabila Malaysia secara rasminya diterima sebagai ahli kesembilan TPP pada Oktober 2010, keputusan ini telah membenarkan negara turut serta dalam rundingan awal yang pada ketika itu telah memasuki pusingan kali ketiga. Seperti yang diketahui kehadiran awal dalam rundingan telah memberi kelebihan kepada Malaysia untuk mempertahankan beberapa cadangan dan hasilnya adalah dasar keistimewaan hak bumiputera tidak diusik dalam perjanjian TPP yang asal.
Begitu jua dalam CPTPP, atas desakan beberapa negara termasuk Malaysia telah disahkan hak setiap negara untuk memelihara, membangun dan melaksanakan dasar kebudayaan masing-masing. Ini membawa maksud dasar keistimewaan hak bumiputera yang dipelihara dalam TPP juga dipanjangkan dalam CPTPP.
 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan persetujuan Malaysia dan 10 negara lain dalam CPTPP menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan dasar sosial ekonomi yang sensitif, termasuk keistimewaan Bumiputera dan soal kesihatan awam. Kenyataan ini adalah manifestasi komitmen kerajaan menjaga kepentingan dan hak negara dan keputusan CPTPP untuk menggantung 20 peruntukan sensitif adalah buktinya.
Dalam hal pergantungan ini Malaysia telah memperjuangkan dua isu iaitu hal berkaitan farmaseutikal dan hak cipta demi memastikan harga produk kesihatan dapat dikekalkan ditahap harga mampu. Tidak keterlaluan jika diandaikan Malaysia telah mencuri peluang ketiadaan AS untuk memperjuang isu yang sebelum ini dipertahan negara kuasa besar ini.
 Walaupun ketiadaan AS dalam CPTPP akan membuatkan Malaysia kehilangan satu ruang pasaran yang agak besar iaitu 300 juta pengguna, tetapi perlu ditekankan dengan kekal berada dalam perkongsian baharu ini pasaran Kanada, Mexico dan Peru yang pada ketika ini kita tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas akan terbuka dengan luas.
Besar kemungkinan CPTPP tidak akan kekal dengan 11 negara ahli kerana beberapa negara Asia Pasifik lain seperti Korea Selatan dan Taiwan telah menyuarakan hasrat untuk turut serta. Begitu juga dengan Thailand, Filipina dan Indonesia dalam Asean turut mempunyai cita-cita sertai CPTPP.
  Mahu tidak mahu pasaran AS sentiasa diintai oleh Malaysia dan jika difaktorkan dengan strategi Trump yang lebih gemar melaksanakan perjanjian perdagangan secara bilateral, maka akan tiba satu hari nanti rundingan dengan AS terpaksa dilakukan. Anggapan lazim dan ia juga adalah kepercayaan Trump bahawa rundingan secara bilateral akan memberi kelebihan kepada AS berbanding Malaysia.
 Perlu diberi perhatian salah satu sebab utama mengapa Malaysia tetap kekal dalam CPTPP adalah untuk mengendurkan pengaruh AS jika berlaku rundingan bilateral perdagangan antara dua negara. Strateginya adalah Malaysia boleh menggunakan dalil format rundingan dilakukan mengikut ketetapan CPTPP kerana sudah agak pasti AS akan berkeras dalam hal seperti hak cipta dan farmaseutikal.
 Sebab itu juga dihujahkan proses rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) iaitu satu lagi janji kempen Trump sebenarnya telah memberi kekuatan baharu kepada Kanada dan Mexico yang berada dalam CPTPP berbanding AS.
 Jangan terkejut jika pada satu hari nanti AS akan kembali menyertai CPTPP kerana kehadiran ahli baharu seperti Korea Selatan, Taiwan dan beberapa negara Asean lain akan membuatkan AS kehilangan kekuatan ekonomi dan pengaruh yang dimiiki CPTPP jika terus berada di luar perkongsian baharu ini. Jika Trump begitu taksub dengan kepercayaan jika AS berada di luar mana-mana perjanjian perdagangan multilateral seperti CPTPP maka ia memberi manfaat lebihan kepada Amerika, maka akan terbukti pegangan seperti itu akan meleset.
 Lebih spesifik lagi dengan terbentuknya CPTPP dengan beberapa peruntukan kehendak AS digantung, yang ruginya adalah Amerika dan yang raih keuntungan adalah 11 negara ahli yang membentuk CPTPP. Tidak keterlaluan juga jika ditegaskan antara 11 negara ahli tersebut, dua negara yang meraih manfaat maksimum iaitu Malaysia dan Vietnam.