Hari Raya Aidilfitri bukan hari biasa tetapi manifestasi kepada kejayaan kita menahan lapar dan dahaga selama sebulan bermula dari 1 Ramadan. Bagi seorang pesakit kencing manis puasa kadang-kadang amat menguji ketahanan jas­mani. Namun keutuhan rohani menjadikan rasa menggeletar dan halusinasi akibat kekurangan gula dapat distabilkan.

Justeru kepada kakak dan abang yang tidak mempunyai penyakit kencing manis tidak perlu terlalu emosi semasa membuat posting di Facebook kerana ada insan yang ber­puasa dalam keadaan mencabar.

Dewasa ini penggunaan media sosial amat berleluasa sehingga setiap saat gajet atau peranti tidak lekang di ta­ngan hinggakan pengguna melupakan hakikat hari mahupun acara. Setiap saat kalau boleh semua status mahu dikemaskini hinggakan masa menghadap telefon bimbit lebih lama daripada menghadap muka tuan rumah mahupun tetamu. Teknologi sepatutnya merapatkan yang jauh tetapi hari ini ia menjarakkan yang rapat.

Bercakap daripada pengalaman, adakalanya di dalam kumpulan WhatsApp punyalah mesra dan bergurau-senda antara satu sama lain tetapi apabila berjumpa empat mata, lidah kelu untuk berbicara. Sepatutnya berjumpa secara berdepan lebih memberi kesan bukan sebaliknya.

Kita seharusnya menjadikan teknologi komunikasi sebagai wadah untuk mengeratkan ukhuwah antara sahabat pada masa yang sesuai. Jangan pula sahabat di depan mata datang beraya kita pula sibuk bergambar selfie mahupun wefie untuk dihantar kepada kawan di dalam kumpulan Whats­App yang tidak dapat hadir.

Kepada tetamu yang datang beraya, jangan pula sibuk mengambil gambar juadah yang disediakan tuan rumah. Kemudian menghantar status yang mengguris hati tuan rumah. Jangan pula membandingkan juadah dari satu rumah ke satu rumah sahabat mahupun saudara kita. Kita sendiri pun belum tentu menyajikan makanan seperti yang kita komen de­ngan terperinci.

Jika kita tidak mahu berdosa di hari raya, terimalah juadah yang dihidangkan seadanya. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kita perlu faham semua orang berjimat cermat bagi menyambut hari raya. Hari Raya Aidilfitri bukan hari untuk membazir wang tetapi hari berkongsi kegembiraan, tidak kira miskin atau kaya. Apa yang penting, kita fokus untuk meraikan suasana riang ria tanpa memikirkan kos hidup selepas raya.

Perbuatan menularkan gambar hidangan setiap rumah yang dikunjungi untuk tujuan negatif haruslah dihentikan. Apa yang patut dilakukan, telefon bimbit yang ada ditinggalkan sementara di dalam kereta semasa berkunjung ke rumah sahabat handai.

Satu lagi perbuatan yang selalu dibuat oleh ibu bapa adalah memberi anak mereka bermain permainan maya di telefon pintar dengan tujuan tidak mahu anak mengganggu mereka berbual dengan tuan rumah. Sewajarnya kita galakkan anak kita untuk berkomunikasi dengan anak tuan rumah untuk menjalin muhibah.

Jangan sampai anak tetamu dan anak tuan rumah berlawan permainan video hingga jadi pergaduhan pula. Masa memang merubah segalanya namun sebagai seorang Muslim, kita raikan hari raya dengan semangat perpaduan yang kukuh. Tidak perlu melayan peranti seperti telefon bimbit, komputer mahupun televisyen yang menayangkan berbagai-bagai rancangan khas sehingga kita rasa malas hendak beraya walaupun dengan jiran sebelah dapur.

Untuk satu hari di Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada 1 Syawal, kita matikan telefon pintar. Inilah masa untuk kita menghidupkan ukhuwah sesama sahabat dan tetangga serta mengeratkan silaturahim bersama keluarga. Bermaaf-maafan dan kenangkan kisah silam yang baik-baik sahaja. Jika terpaksa menggunakan telefon pintar, tunggu hendak bergerak barulah digunakan untuk berswafoto. Tetapi ­ingatlah, gunakan di saat-saat kita hendak melangkah pulang sahaja.