Ringgit pada Februari berlegar di sekitar RM3.88 hingga RM3.93 sekali gus memberi gambaran positif buat Malaysia dan menyangkal dakwaan pelbagai pihak bahawa keadaan ekonomi negara berada dalam keada­an tenat.

Untuk rekod, ringgit menjunam ke paras terendah iaitu RM4.5 pada Januari 2017, kejatuhan nilai paling teruk sejak krisis kewangan Asia apabila ringgit mencecah titik terendah dengan RM4.88 pada Januari 1998.

Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengalami penyusutan nilai dalam tempoh itu, sebaliknya hampir semua mata wang dunia mengalami perkara serupa apabila AS menaikkan kadar faedah untuk mena­ngani hutangnya pada Disember 2016.

Ringgit merupakan antara mata wang yang menerima ke­san besar selepas turut berdepan dengan spekulasi di pasaran luar pesisir, kejatuhan harga minyak dunia, serta kurangnya keyakinan terhadap kepimpinan negara.

Secara umumnya, terdapat pelbagai perkara yang mempe­ngaruhi nilai ringgit sama ada di peringkat domestik mahupun global, namun perkara itu berbalik semula kepada kekuatan ekonomi sesuatu negara itu sendiri.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kembali nilai ringgit.

BNM bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) melak­sanakan tiga kali langkah liberalisasi iaitu pada Disember 2016, April 2017 dan Disember 2017 bertujuan meningkatkan kecairan dalam pasaran mata wang asing.

Hasil daripada inisiatif itu menyaksikan peningkatan seimbang bagi permintaan dan bekalan mata wang asing sekali gus menjadikan pasaran tukaran asing lebih efisien.

Di peringkat domestik, nilai sesuatu mata wang ditentukan oleh keadaan permintaan dan penawaran dalam pasaran. Contohnya jika permintaan terhadap eksport dari Malaysia meningkat, maka ringgit juga akan me­ngukuh.

Awal bulan ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah membentangkan jumlah dagangan negara bagi 2017 berkembang sebanyak 19.4 peratus kepada pencapaian tertinggi RM1.774 trilion.

Daripada angka itu, eks­port meningkat sebanyak 19.9 peratus yang juga pertumbuhan pa­ling kukuh sejak 2005 kepada nilai tertinggi RM935.39 bilion.

Selain itu, ekonomi Malaysia berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut berkembang 5.9 peratus pada 2017, lebih tinggi daripada 4.2 peratus dan 5.0 peratus, ma­sing-masing dicatatkan pada 2016 dan 2015.

Pencapaian itu mungkin ba­nyak membantu pengukuhan ringgit, malah tidak timbul langsung isu seperti yang dicanangkan sesetengah pihak bahawa ekonomi negara teruk dan akan bankrap.

Kebiasaannya, kejatuhan mata wang ini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh pihak pembangkang untuk meracuni pemikiran segelintir rakyat Malaysia bahawa pemerintahan kerajaan telah gagal.

Hakikatnya, pelbagai cerita negatif itu sebenarnya yang memberi kesan kepada ekonomi negara. Sama ada sesuatu pihak itu sedar atau tidak, tindakan mereka itu akan memberi kesan kepada spekulasi pasaran.