Adakah pihak nazir dan jawatankuasa masjid ­berkenaan tidak tahu menahu bahawa ahli politik dilarang keras menggunakan masjid sebagai pentas politik kepartian mereka? Jika difikir-fikirkan mustahil mereka tidak tahu mengenainya.

Ini kerana notis tentang larangan itu telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan kemudian diedar ke setiap masjid serta surau seluruh Selangor. Kebanyakan masjid di Selangor ada menampalnya di papan-papan kenyataan sebagai peringatan.

Persoalannya, mengapa insiden seumpama ini masih berlaku? Mengapa masjid dan lebih spesifik lagi ruang solat utama masjid dijadikan medan untuk berpolitik? Bukankah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri telah menitahkan mana-mana ahli politik sama ada Islam mahu pun bukan Islam dilarang berbuat demikian?

Justeru, JAIS tidak seharusnya membiarkan isu tersebut berlalu begitu sahaja sebaliknya satu bentuk tindakan wajar dikenakan terhadap nazir dan ahli jawatankuasa masjid terbabit sekiranya terbukti mereka bersalah.

Tujuannya untuk memastikan kejadian serupa tidak lagi berlaku selain boleh dijadikan iktibar kepada pihak pengurusan masjid seluruh Selangor. Yang pasti, tindakan mereka membenarkan Sivarasa berucap di ruang solat utama masjid itu jelas melanggar arahan Sultan Sela­ngor dan JAIS.

Sebenarnya apa yang dibincangkan dalam siri Kalam kali ini bukan untuk mencari salah sesiapa tetapi semata-mata mahu memberi kesedaran kepada semua pihak betapa buruknya kesan terhadap perpaduan ummah jika isu seperti ini tidak ditangani dengan segera.

Malah penulis juga percaya ada di antara jemaah Masjid An Nur merasa kurang selesa dengan kehadiran Siva­rasa, namun mereka tidak berupaya untuk menghalang kerana kuasa menentukan keputusan terletak di tangan nazir dan ahli jawatankuasa masjid tersebut.

Daripada rasa kurang senang akhirnya boleh mencetuskan bibit-bibit perpecahan dan kemudian permusuhan. Jika itu yang berlaku sudah tentu perpaduan antara umat akan menjadi rapuh ekoran daripada permainan politik kepartian.

Cuba kita imbas kembali beberapa siri titah ucapan Sultan Sharafuddin sebelum ini yang mana baginda sentiasa mengingatkan masjid serta surau di Selangor agar bebas politik dan sentiasa menjadi zon aman bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Dalam satu titah ucapan baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Johan Setia, Klang, 30 Jun tahun lalu, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita terhadap sikap sesetengah nazir masjid di negeri ini yang membenarkan rumah ibadat itu digunakan untuk tujuan berpolitik.

Begitu juga ketika baginda menyampaikan titah ucapan sempena Majlis Perasmian Masjid Perodua, 13 Mei lalu. Dalam majlis tersebut baginda sekali lagi mengingatkan kepada umat Islam agar masjid tidak dieksploitasi untuk tujuan politik.

Yang terbaharu ketika baginda berkenan hadir dalam majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid An Nur Temasya, Glenmarie, Shah Alam pada 2 Jun lalu. Kali ini Sultan Sharafuddin menzahirkan kemurkaan terhadap isu yang melibatkan Masjid An Nur itu dan mahu tindakan tegas diambil kepada nazir dan jawatankuasa masjid berkenaan selepas Aidilfitri sekiranya terbukti mereka melanggar peraturan.

Amat diharapkan peristiwa melibatkan Masjid An Nur ini memberi 1,001 pengajaran kepada kita semua. Isu yang membabitkan Sivarasa itu sebenarnya bukan perkara baharu tetapi telah beberapa kali berlaku. Antaranya insiden yang melibatkan pemimpin DAP, Teo Nie Ching dan pemimpin PKR, Dr. Xavier Jayakumar (PKR).

Oleh itu, sudah tiba masanya masjid tidak lagi dijadikan platform politik oleh pihak-pihak tertentu sebaliknya tempat suci ini hendaklah berfungsi sepenuhnya sebagai tempat ibadat, pusat ilmu dan pusat penyatuan ummah. Segala peraturan yang ada pula perlu dikuatkuasakan demi menyelamatkan masjid dan surau daripada disalah guna untuk kepentingan parti politik tertentu.