Setakat semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih dalam proses penyediaan laporan itu yang belum lagi diserahkan kepada Perdana Menteri kerana masih belum siap. Ini disebabkan kes di Selangor belum selesai sepenuhnya.

Pada 7 Disember lalu (2017), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Kerajaan Selangor bagi mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Ne­geri (DUN) di negeri itu oleh SPR.

Bagaimanapun mahkamah mem­­benarkan permohonan ke­rajaan negeri tersebut untuk ­me­ng­­gantung kesemua inkuiri tempatan sehingga rayuan selesai diputuskan.

Utusan Malaysia dimaklumkan, tanggungjawab SPR adalah menyediakan syor mengenai persempadanan itu dan kini dalam proses untuk penyediaan laporan akhir syor tersebut.

Tanggungjawab badan itu tamat setelah laporan akhir itu dise­rahkan kepada Perdana Menteri. Dan bagi urusan pembentangan laporan akhir syor kajian itu di Dewan Rakyat, ia adalah di bawah kuasa budi bicara Perdana Menteri sama ada mahu dibentangkan atau tidak. Kuasa untuk pembentangan bukan dalam bidang kuasa SPR.

Apa pun, pembentangan dan perbahasan usul mengenai laporan kajian semula persempadanan itu dipercayai menjadi antara agenda utama, selain membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada persidangan yang dijadualkan berlangsung selama 20 hari itu sehingga 5 April itu.

Selama dua minggu dari 6 hingga 15 Mac akan dilangsungkan Usul Menjunjung Kasih dan perbahasan Titah Diraja, sebelum diikuti perbahasan titah diraja pada minggu ketiga bermula Isnin 19 Mac. Minggu keempat dan kelima pula (26 Mac hingga 5 April) adalah perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.

Maka, adakah semasa empat hingga enam hari penggulungan atau kira-kira empat hari atau dua hari sebelum sidang berakhir akan menyaksikan pembenta­ngan laporan akhir persempadanan bahagian pilihan raya itu? Sempatkah?

Ada pihak di luar sana menyifatkan adalah agak luar biasa kerana kebiasaannya Parlimen bersidang sehingga penggal kelima sahaja, tidak pernah lagi bersidang sehingga penggal keenam.

Namun, ia tidaklah menjadi ke­salahan kerana sesi Parlimen Ketiga Belas masih belum tamat tempoh kuasanya dan ia hanya akan terbubar secara automatik apabila genap lima tahun iaitu 24 Jun 2018.

Kali terakhir urusan persempadanan ini dibuat pada 2003 iaitu 15 tahun dahulu.

Perlembagaan Persekutuan mem­benarkan urusan persempadanan dibuat bagi tempoh mi­nimum setiap lapan tahun sekali atau sekiranya berlaku pewujudan wilayah baharu atau penambahan/pengurangan bila­ngan kerusi dewan.

Urusan persempadanan sudah dibuat sebanyak lima kali bagi Semenanjung (Tanah Melayu) iaitu pada tahun 1958, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Bagi Sabah, urusan persempadanannya hampir sama dengan Semenanjung iaitu pada tahun 1966, 1974, 1984, 1994, dan 2003.

Sarawak pula menyaksikan urusan persempadanannya sudah dibuat enam kali iaitu pada 1968, 1977, 1987, 1996, 2005 dan terakhir, 2015.

Jumlah kerusi Parlimen Tanah Melayu pada asasnya ialah 104 kerusi pada tahun 1958 dan ia bertambah menjadi 154 kerusi pada tahun 1974 apabila dicampur dengan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.

Kerusi Parlimen terus bertam­bah menjadi 180 kerusi pada persempadanan tahun 1984, 193 kerusi pada tahun 1994 dan 222 kerusi pada 2003.

Bagi urusan persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya kali ini, ia tidak ada penambahan kerusi Parlimen yang baharu tetapi hanya melibatkan sedikit perubahan nama Parlimen yang akan berlaku.

Semenjak PRU ke-12 tahun 2008, Kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah tanpa mandat majoriti dua pertiga, maka bila­ngan kerusi Parlimen tidak dapat ditambah kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan di­pinda.

Persempadanan terbaharu ha­nya melakar semula kedudukan sempadan antara kerusi.

Tatacara bagi melaksanakan urusan persempadan ini terkandung dalam Perkara 113 dan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan.

Urusan persempadanan ber­kenaan hampir selesai. Cuma Selangor yang masih ‘tergantung’ manakala kesemua negeri lain sudah lengkap prosesnya.

Dan setelah Perdana Menteri mengemukakan usul laporan akhir syor kajian persempadanan ini kepada Dewan Rakyat nanti, ia akan dibahaskan dan perlu diluluskan dengan undian majoriti mudah atau simple majority (le­bih daripada separuh) Ahli Dewan Rakyat.

Setelah diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak akan melalui Dewan Negara dengan Perdana Menteri akan membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan baginda.

Berikutnya, sempadan bahagian pilihan raya yang baharu akan berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dan ramai menjangkakan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja urusan persempadanan diluluskan di Dewan Rakyat atau setelah sidang tamat pada 5 April nanti.

Untuk rekod, Parlimen pernah dibubarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 10 November 1999 ketika Dewan masih lagi bersidang bajet.

Masih ‘bergigi’...

SELEPAS Parlimen dalam kea­daan bubar, adakah kerajaan (pengawalan) sementara atau caretaker government yang wujud termasuklah dalam tempoh kempen pilihan raya umum sehinggalah pembentukan Kabinet yang baharu parti yang menang itu ‘tidak bergigi untuk mengunyah atau tiada taring untuk menggigit’?

Semasa kerajaan sementara, Yang di-Pertuan Agong sebagai komponen ketiga Parlimen terus mempunyai kuasa-kuasa pentadbiran biasa termasuk kuasa-kuasa yang dibenarkan oleh peraturan serta Perlembagaan.

Dalam keadaan ini, Kabinet atau Jemaah Menteri Persekutuan terus berfungsi sebagai pemegang amanah kepada kuasa pentadbiran negara.

Pendakwa Raya (2001) menegaskan bahawa kerajaan sementara sentiasa wujud di bawah Perlembagaan Persekutuan dan tidak harus dipertikaikan.

Yang di-Pertuan Agong juga, jika perlu dan atas nasihat Perdana Menteri, boleh mengisytiharkan pemerintahan darurat jika negara atau mana-mana bahagiannya terdedah kepada muslihat keselamatan, sabotaj ekonomi atau keadaan ketenteraman awam yang di luar dugaan.

Pada masa sama, undang-undang negara berjalan seperti biasa walaupun dalam konvensyen perlembagaan, pelaksa­naan kerja-kerja eksekutif harus dihadkan kepada hal-hal yang biasa sahaja.

Para menteri dan lain-lain anggota pentadbiran negara pula terus berfungsi seperti biasa sehingga terbentuknya Jemaah Menteri yang baharu sebaik sahaja pilihan raya selesai dan keputusannya diumumkan secara sah oleh SPR.

Beberapa isu berkaitan kuasa-kuasa eksekutif melalui masing-masing menteri di bawah Akta Tugas-Tugas Menteri Persekutuan berjalan terus-menerus.

Perihal menteri menyampaikan bantuan atau menjanjikan sesuatu untuk rakyat semasa beroperasinya kerajaan sementara memang kerap dibangkitkan.

Pernah beberapa pihak membawa kes ke mahkamah dengan menghujahkan bahawa perbuatan seperti menyampaikan bantuan, membuat komitmen, menegaskan dasar kebaikan rakyat dan sebagainya, kononnya bertentangan dengan amalan dan konvensyen sesebuah kerajaan sementara.

Namun, mahkamah telah memutuskan perkara ini beberapa kali dengan memperakukan bahawa apa-apa bantuan atau komitmen semasa beroperasinya kerajaan sementara adalah sah dan dibenarkan kerana fungsi kerajaan itu tidak terhenti walaupun Parlimen dalam keadaan bubar.

Ini adalah kerana semua peraturan dan undang-undang pentadbiran negara tetap berkuat kuasa dalam tempoh tersebut. Pentadbiran awam perlu beroperasi dan rakyat wajar terus beroleh bantuan dan belaan supaya selamat, aman dan makmur.