Sehubungan itu, masyarakat Islam khususnya golongan muda mudi dilarang merayakan hari berkenaan dengan apa cara sekalipun. Malah ia tidak bertepatan dengan erti kasih sayang sebenar menurut Islam. Sementelah lagi suruhan berkasih sayang antara sesama manusia hendaklah mengikut garis panduan syarak dan bukanlah acara tahunan yang mesti dirayakan.

Namun terdapat golongan muda mudi yang tetap me­rayakannya. Mereka mengambil ­kesempatan berbuat maksiat dan berzina bagi membuktikan cinta kepada pasangan masing-masing sempena Valentine’s Day.

Akibatnya dosa dan maksiat semakin berleluasa dalam masyarakat. Malah jenayah buang bayi akibat persetubuhan haram semakin hari semakin parah dan sukar dibendung. Beberapa ming­gu kebelakangan ini ada sahaja kes pembuangan bayi dilaporkan di media massa.

Ada bayi yang dibuang di tempat pembuangan sampah, ditinggalkan di masjid dan surau selain ada yang ditinggalkan di dalam tandas dengan harapan ada yang menemuinya tetapi mati mungkin kesejukan dan kelaparan.

Amalan keji seperti ini pernah dilakukan oleh masyarakat Arab jahiliah yang tergamak membunuh anak perempuan hidup-hidup bagi mengelak dikeji dan dicemuh oleh kaumnya. Tindakan ini ada kaitan tradisi masyarakat jahiliah yang suka berperang dan bergaduh sesama sendiri sehingga kelahiran anak lelaki membantu menjayakan tradisi mereka.

Allah SWT berfirman: “Dan apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar gembira dengan (kelahiran anak perem­puan) yang dijadikan sebagai perumpamaan bagi Allah Yang Maha Pengasih, jadilah wajahnya hitam pekat karena menahan sedih dan marah.” (Surah al-Zukhruf: 17).

Namun lebih menyedihkan apabila di zaman moden ini terdapat segelintir yang kemungkinan terlanjur dan terdesak untuk menutup malu membuang bayi dilahirkan tanpa mengira apa jantina sekalipun.

Itulah agaknya harga yang perlu dibayar apabila Allah SWT menurunkan musibah berupa kebejatan moral dan akhlak yang tidak berkesudahan. ­Lebih memburukkan apabila erti kasih sayang disalahertikan de­ngan sambutan Valentine’s Day ciptaan Barat. Begitu mudah pula golongan muda-mudi merayakan hari berkenaan bersama pasangan kekasih masing-masing sehingga ada yang terlanjur dan ­menyumbang kepada peningkatan kes buang bayi.

Walaupun terdapat fatwa yang mengharamkan umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya songsang ini namun masih terdapat yang begitu teruja menyambutnya. Malah sesetengah pusat beli-belah begitu ghairah mempromosikan Hari Kekasih dengan menjual barangan tertentu sebagai hadiah. Hotel hotel di Barat pula giat mengadakan promosi dengan menawarkan potongan harga penginapan bagi meraikan pasangan yang menyambut Hari Kekasih.

Sehubungan itu, masyarakat Islam diseru supaya tidak lagi terikut-ikut dengan budaya songsang seperti ini. Golongan muda hendaklah dididik dengan budaya berkasih sayang sejak dari kecil terutama kepada kedua ibu bapa sehingga apabila sudah dewasa ia sebati dalam jiwa dan sanubari mereka. Golongan muda mudi juga perlu dididik dengan nilai kasih sayang sebenar berpandukan ajaran agama. Sehingga mereka tidak mudah ­terpedaya dengan budaya asing apatah lagi yang menyimpang daripada ajaran syariat.

Nabi Muhammad SAW sendiri menggalakkan supaya anak-anak diajar untuk mencintai baginda dan ahli keluarganya. Ini kerana pada diri Nabi Muhammad SAW terdapat contoh teladan dalam segenap lapangan kehidupan untuk diikuti. Malah Nabi SAW juga menggalakkan supaya anak-anak diajar mengaji dan mentadabburkan ayat-ayat al-Quran sebagai panduan untuk kehidupan dunia dan akhirat.

Ini diperhatikan pada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Didiklah anak-anak kamu atas tiga perkara: Cinta kepada nabi kamu, cinta kepada kaum keluarganya serta cinta membaca al-Quran, sesungguhnya pembaca al-Quran itu berada di bawah naungan Arasy Allah pada hari tiada naungan melainkan naungan-Nya bersama-sama para Nabi-Nya dan hamba-hambanya yang terpilih.” (Hadis Riwayat al-Dailami)

Umat Islam secara khususnya diajak untuk sentiasa berkasih sayang antara satu sama lain. Ini melambangkan nilai persaudaraan sejati atas asas akidah yang satu. Dengan cara ini juga kekuatan ummah mampu dibina sehingga berjaya menangkis serangan luar yang datang. De­ngan semangat persaudaraan dan kasih sayang ini juga umat Islam di seluruh dunia akan sanggup mengorbankan nyawa dan harta benda untuk kepentingan saudaranya yang lain.

Ini seperti penghantaran misi bantuan ke Rohingya bagi membantu meringankan kepayahan hidup masyarakat Islam di perkampungan Rakhine yang tertindas. Malah umat Islam di­ajak menunjukkan solidariti ummah dengan memberi bantuan termampu atau setidak-tidaknya berdoalah untuk kesejahteraan dan keselamatan mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang Johor Darul Takzim.