Saya tidak berminat memiliki rumah dan tanah itu. Jika bapa saudara membuat wasiat mewakafkan tanah tersebut, apakah ia salah dari segi hukum faraid? Bagaimanakah wasiat dapat dibuat bagi memudahkan hasrat bapa saudara dan saya untuk mewakafkan tanah dan rumah itu? - Anak Saudara, Kedah.

UKE: Dalam hal ini, anda perlu memerhatikan dari sudut berbuat kebaikan atau ihsan. Tanah adalah milik bapa saudara anda dan ini bermakna jika dia meninggal dunia, maka anak dan isterinya berhak mendapat pusakanya termasuklah tanah tersebut.

Jika dia ingin mewakafkan tanah tersebut kepada pihak lain maka hendaklah dilihat dari sudut wasiat iaitu tidak boleh mewasiat harta kepada pihak lain melebihi satu pertiga daripada jumlah keseluruhan hartanya.

Kedua, anda boleh membuat surat perjanjian dengan mengatakan bahawa anda memberi hutang kepadanya untuk ansuran bulanan dan boleh menuntut hutang itu daripada waris jika ayah mereka meninggal dunia.

Anda juga boleh terus melepaskan apa jua tuntutan dan diniatkan sahaja sebagai sedekah kepada mereka. Kalau ayah saudara anda tidak mahu mewariskan harta itu kepada anak-anaknya maka boleh dihibahkan pada waktu sekarang kepada pihak yang ingin dia hibahkan.

Anda juga boleh meletakkan nama anda di dalam geran tanah tersebut sebagai pemilik atau ditukar nama kepada nama anda sekarang menggantikan nama bapa saudara anda.

Terpulanglah kepada anda hendak pakai yang mana daripada cara ini.

Solat sunat laju

Saya selalu memerhatikan jemaah yang datang ke masjid untuk Solat Jumaat menunaikan solat sunat tahiyat masjid atau sunat Jumaat dengan sangat cepat. Sahkah solat tersebut? - Razali, Teluk Panglima Garang, Selangor.

UKE: Solat apa pun hendaklah dikerjakan dengan tertib dan mematuhi segala rukun dan syaratnya. Jika dalam solat tidak ada tumaninah maka pasti solatnya batal.

Nabi SAW pernah menyuruh seorang sahabat mengulangi solatnya kerana ketiadaan tumaninah. Oleh itu, berhati-hati dalam solat. Solatlah dengan khusyuk dan jagalah solat dengan sebaik-baiknya.

Kesan nama panggilan

Benarkah nama panggilan boleh mempengaruhi sikap dan sifat seseorang? Saya sendiri ada nama panggilan yang diberi keluarga iaitu Mamat.

Setahu saya Mamat itu bermaksud mati dalam bahasa Arab. Jika benar, apakah yang patut saya lakukan? - Adik 88, Selama.

UKE: Nabi SAW banyak menukar nama sahabat kepada panggilan yang lebih baik apabila mereka memeluk Islam. Ada sahabat yang bernama Abd Kaabah ditukar kepada nama Abdullah iaitu sahabat yang sangat mulia, Abu Bakar al-Siddiq RA.

Malah, nama Yathrib ditukar kepada Madinah apabila Nabi SAW berhijrah ke sana. Nabi SAW juga menjadikan suku Aus dan Khazraj kepada panggilan Ansar bagi menunjukkan sikap mereka yang menjadi pembantu kepada muhajirin dan mengembangkan Islam di Madinah.

Nabi SAW menyuruh kita meletakkan nama yang baik kepada anak sebab itulah panggilan yang akan dipanggil di hari kiamat kelak berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibn Hibban dan Ahmad, maksudnya: “Sesungguhnya kamu semua akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama-nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Oleh sebab itu, perelokkanlah nama-nama kamu semua.”

Memberikan nama yang baik kepada anak merupakan tanggungjawab ibu bapa seperti mana hadis menceritakan Rasulullah SAW bersabda, “Seseorang datang kepada Nabi SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, apa hak anakku ini?” Nabi SAW menjawab, “Memberinya nama yang baik, mendidik adab yang baik dan memberinya kedudukan yang baik (dalam hatimu).” Hadis riwayat Aththusi.

Islam melarang kita memanggil atau menggelar orang lain dengan gelaran yang buruk seperti yang disebut dalam surah al-Hujurat ayat 1: "Apabila nama panggilan buruk, kita bimbang panggilan itu merupakan satu doa atau ungkapan. Entah ketika disebut, terbuka hijab maka jadilah apa yang disebut.

Maka sebaik-baiknya tukarkanlah kepada nama yang baik seperti nama para nabi, orang-orang soleh, atau yang baik maksudnya.