- Bol, Kulai.

UKE: Anda kena belajar betul-betul bab jamak dan qasar ini. Berkali-kali telah saya jelaskan tentang syarat membolehkan seseorang melakukan jamak dan qasar. Antara kekeliruan anda yang saya kenal pasti ialah jumlah hari ketika anda bermusafir.

Imam al-Nawawi berkata dalam kitabnya Minhaj al- Tolibin, maksudnya: “Jika seseorang berniat mukim (iqamah) selama empat hari di destinasi maka terputus (hukum) musafirnya dengan ketibaannya (di destinasi) dan tidak dikira dari tempoh itu hari dia masuk (ke destinasi) dan keluar (dari destinasi) menurut pendapat yang sahih.”

Anda sudah tidak boleh melakukan jamak atau qasar jika sudah berniat untuk tinggal di satu-satu tempat melebihi empat hari tidak termasuk hari sampai dan hari berangkat pulang iaitu anda kena sembahyang seperti biasa.

Bukannya tiga hari pertama boleh jamak masuk hari keempat baru nak sembahyang seperti biasa. Ini kekeliruan yang saya dapat daripada soalan anda.

Kedua, bab balik kampung, anda sekarang tinggal di mana? Adakah sudah menetap secara tetap di tempat lain dan sudah tiada harapan lagi untuk balik menetap tinggal di kampung?

Kalau kampung itu adalah bekas kampung anda, anda sudah tidak menetap di situ. Kalau sudah beli rumah, berkeluarga di tempat lain dan tidak akan kembali lagi sebagai penduduk kampung tersebut maka haruslah buat jamak jika menziarahi kampung tersebut. Kalau tidak maka anda solatlah seperti biasa.

Nasihat kepada ahli politik

Pilihan raya semakin dekat. Ahli politik sekarang sering mencari keburukan ahli politik parti lain untuk meraih undi. Sebenarnya saya sudah bosan dengan perkara ini. Apakah hukumnya dan nasihat ustaz kepada ahli politik ini?

Roslan, Sungai Buloh.

UKE: Saya pun sudah letih melihat pelbagai isu, perbalahan dan persengketaan sesama umat Islam yang melibatkan politik dan akhirnya dibimbangi perbalahan yang tiada kesudahan ini akan merugikan agama dan bangsa.

Saya suka melihat semua kepemimpinan politik mengambil pendekatan bersederhana dalam semua hal. Jangan terlalu berlebih-lebihan sehingga menimbulkan budaya berpuak-puak dan bersengketa.

Lihatlah mana yang lebih patut diutamakan dan menjaga kepentingan agama dan bangsa didahulukan.

Orang ramai patut melihat bahawa diri mereka adalah sangat bernilai. Pangkah undi adalah satu nilai yang sedang direbutkan sekarang.

Maka berhati-hatilah jangan sampai perkara yang sangat bernilai itu diserahkan kepada yang tidak boleh membela kepentingan agama, bangsa dan tanah air.

Berhati-hati dengan sebarang maklumat dan berita yang disampaikan melalui apa jua media. Jangan sampai mempercayai, menyebar dan mengambil bahagian dalam perkara yang diketahui benar atau salah.

Takutlah kepada fitnah disebarkan yang membawa kesan buruk sampai ke akhirat. Buatlah solat istikharah minta petunjuk daripada Allah SWT.

Mesti ada golongan yang mendamaikan golongan yang bertelingkah ini yang mungkin daripada kalangan agamawan atau istana agar pertelingkahan tidak berpanjangan. Sama-samalah kita berdoa agar Allah SWT pelihara negara kita daripada kerosakan dan kehancuran.

Saya berpesan kepada ahli-ahli politik agar utamakan masyarakat awam, kepentingan agama dan keharmonian bangsa daripada kepentingan duniawi dan dendam kesumat.