Barisan Nasional (BN) yang tewas perlu menerima kenyataan. Ini juga memberi iktibar bahawa bukan kuasa kita menentukan menang atau kalah. Sebagai manusia, kita berusaha dan berikhtiar. Selebihnya, Allah menentukan. Sebab itu, mereka yang diberi kemenangan jangan timbul rasa ujub hingga tenggelam dalam kemenangan itu. Yang tewas pula, jadikan ia pengajaran untuk membaiki keadaan di masa depan.

Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan (kuasa) kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (ali-Imran: 26)

Berakhirnya PRU-14 bermakna tamat sudah episod ‘kata me­ngata’, mengadu domba, fitnah memfitnah dan bertikam lidah. Semuanya bagai ‘dihalalkan’ sepanjang tempoh berkempen. Ki­ni, adalah masa untuk bersatu (reconcile) semula untuk membina negara yang lebih cemerlang dan gemilang. Lebih-lebih lagi kepada ahli-ahli politik Muslim. Jangan kerana berbeza ideologi politik, kita putus silaturahim. Politik adalah alat. Matlamat bagi parti yang menang adalah mentadbir urus negara dengan baik untuk maslahah rakyat keseluruhannya.

Dalam politik, perkataan yang selalu disebut adalah tiada kawan atau lawan yang kekal. Maksud­nya, kalau hari ini mereka berpe­cah, keluar parti, dipecat dan sebagainya tidak mustahil mereka akan berkawan semula pada masa depan. Semuanya demi survival politik. Sebab itu, masyarakat jangan terbawa-bawa emosi ke­partian. Hinggakan berpatah arang, berkerat rotan kerana perbezaan ideologi.

Kalau di Parlimen, wakil-wa­kil rakyat kita hanya bertekak di dalam Dewan Rakyat tetapi apabila keluar mereka masih boleh duduk minum dan bersembang di kafe. Dalam bab ini, mereka lebih ‘profesional’ berbanding sebahagian penyokong tegar yang terbawa-bawa emosi sehinggakan ‘putus kawan’ bagi yang berlainan parti.

Daripada Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian saling memutuskan hubungan, jangan saling membelakangi, jangan saling bermusuhan, jangan saling hasut menghasut. Jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih tiga hari. (Muttafaq ‘alaih)

Dalam satu lagi hadis, daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata: Seorang lelaki datang kepada Nabi SAW dan berkata: Ya Rasulul­lah, sesungguhnya aku memiliki kerabat yang terus kusambung hubungan dengan mereka sedangkan mereka memutuskannya, aku berbuat baik kepada mereka dan mereka berbuat jahat kepadaku, serta mereka bersikap bodoh kepadaku sedangkan aku selalu ber­sikap santun kepada mereka. Baginda bersabda: “Jika engkau benar-benar seperti yang engkau katakan, maka seolah-olah engkau menaburkan bara panas di wajah mereka, dan sentiasa kemenangan dari Allah SWT menyertaimu ter­hadap mereka, selama engkau tetap seperti itu.” (Riwayat Muslim)

Suruhan bersatu-padu dan la­rangan berpecah-belah adalah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika dahulu (semasa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang yang bersaudara. (ali-Imran: 103)

Antara langkah yang boleh mewujudkan kesatuan umat adalah memutuskan sesuatu hal itu mengikut al-Quran dan al-sunnah. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, taatlah Allah dan Rasul-Nya, dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (an-Nisa’: 59).

Kedua, bertolong-tolongan melakukan amal kebaikan. Walaupun berlainan logo dan bendera, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih mesti melaksanakan tanggungjawab amal makruf nahi mungkar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan tolong-menolonglah dalam hal kebaikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam hal dosa dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguh­nya Allah Maha berat azab seksa-Nya. (al-Ma’idah: 2)

Wakil rakyat Muslim hendaklah memastikan perkara ini diberi perhatian khusus. Pastikan segala tindakan dan usaha yang dilakukan bagi memartabatkan Islam mendapat sokongan padu ahli-ahli Parlimen dan ADUN. Jangan kerana berlainan parti menyebabkan usul-usul meninggikan syiar Islam di negara kita tidak disokong dan diketepikan.

Tolong-menolong dalam hal kebaikan dan ketakwaan menjurus kepada melakukan segala bentuk kebaikan secara amnya. Seperti melaksanakan amar makruf nahi mungkar untuk kebaikan masyarakat, menjauhkan mereka daripada sebab-sebab kehancuran dan kerosakan serta mendekatkan mereka kepada kebaikan dunia dan akhirat.

Ingatlah bahawa kepemimpinan itu adalah amanah. Ia akan dipertanggungjawabkan kepada pemiliknya di akhirat kelak. Untuk itu, berlaku adillah kepada rakyat yang dipimpin dan jangan hanya pandai berjanji tetapi tidak ditepati. Ingatlah firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan. (al-Saff: 2-3)