Insiden yang dipercayai berpunca daripada pusaran air deras akibat hujan lebat mengorbankan enam anggota daripada Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Selangor iaitu Mohd. Fatah Hashim, 34: Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. Tidak pernah lagi rasanya berlaku satu kes kehilangan nyawa dalam jumlah yang agak besar bagi sebuah pasukan penyelamat ketika sedang melaksanakan tugas seperti itu.

Pasukan bomba dan penyelamat boleh disifatkan sebagai agensi yang paling low profile jika dibandingkan dengan pasukan keselamatan atau badan penyelamat lain. Walaupun begitu, jasanya kepada masyarakat amat besar. Tidak ada sesiapapun dapat menafikan fakta ini. Mereka mencurah bakti hampir setiap masa walaupun kadang kala di luar skop tugas mereka. Agensi ini boleh disifatkan sebagai agensi paling mesra rakyat. Mudah bertindak walaupun hanya dengan satu panggilan telefon. Kalau dahulu, pasukan ini hanya sinonim dengan kejadian kebakaran, sekarang tidak lagi. Apa sahaja kejadian yang tidak melibatkan jenayah, bombalah tempat 'mengadunya.’

Ketika ular melintas di hadapan rumah, bombalah yang akan dipanggil walaupun si ular sudah lama menghilangkan diri. Pasukan bomba jugalah yang dicari jika ada anak kucing atau binatang peliharaan ditimpa musibah, terperangkap atau terjatuh ke dalam longkang. Walaupun tugas itu sebenarnya boleh diselesaikan di peringkat komuniti taman sahaja. Agensi ini lebih senang dihubungi kerana sangat responsif dan pantas bertindak. Walaupun ditipu dengan panggilan palsu, pasukan bomba tetap berkejar ke tempat kejadian. Ini tidak termasuk kes-kes terpencil dan 'luar biasa’ yang memalukan seperti kes tersalah sarung 'cincin’, bombalah juga yang menjadi penyelamatnya!

Anggota pasukan ini bekerja dengan penuh dedikasi, tekun dan senantiasa kelihatan mesra walaupun kes datang bertimpa-timpa tanpa mengira masa. Walaupun kerap juga dipersalahkan hanya kerana tiba lewat di tempat kejadian mereka tetap komited . Justeru amat tepat apabila Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyifatkan pengorbanan keenam-enam mangsa sebagai tindakan para syuhada. Menurut beliau, mereka adalah insan terpilih yang mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan terutama dalam situasi kecemasan.

Apa yang menyedihkan, ada juga yang mengulas tragedi berkenaan tanpa langsung mengambil kira sensitiviti ahli keluarga mangsa. Ketika semua orang terutama ahli keluarga dan waris mangsa masih lagi berdukacita, mereka tergamak mengecam secara terbuka dengan kata-kata kasar dan berbentuk penghinaan. Ada juga yang mencari salah dengan menuduh operasi itu tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) sedangkan perkara tersebut sudah pun diperjelaskan oleh pihak berkuasa. Ada juga pihak yang membuat cadangan 'kelakar’ seperti mendapatkan dahulu pelan lokasi sebelum kerja-kerja mencari dan menyelamat dimulakan. Dalam keadaan genting sedemikian, perlukah menunggu pelan tiba? Jangan sampai mayat timbul dulu, baru pelan tiba!

Waktu-waktu sebegini sepatutnya digunakan untuk membantu keluarga dan waris mangsa sekurang-kurangnya menjaga emosi mereka. Meskipun masih bersedih, hidup perlu diteruskan. Mereka sudah tentunya memerlukan pembelaan terutama dalam hal-hal berkaitan masa depan keluarga. Sebahagian daripada keluarga dan waris mangsa mungkin hilang sumber pendapatan, justeru mereka perlu dibantu. Pihak berkuasa perlu memastikan keluarga dan masa depan anak kepada wira-wira negara ini terbela dari segi kewangan dan pendidikan. Jangan jadi seperti beberapa kes sebelum ini, anak dan keluarga mereka terbiar dan tidak dipedulikan.

Kerajaan boleh mewujudkan satu tabung khas untuk wira-wira negara bagi menyediakan bantuan dari segi kewangan. Rakyat Malaysia yang terkenal dengan sifat pemurah sudah pasti akan tampil menghulur sumbangan. Sektor-sektor korporat juga pemurah dalam memberi bantuan kewangan. Lihatlah apa yang berlaku kepada Tabung Harapan Malaysia, dalam jangka waktu yang singkat sahaja dapat mengumpul beratus-ratus juta. Usaha ini boleh digerakkan mulai sekarang, ketika tragedi ini masih lagi segar dalam ingatan orang ramai. Insya-Allah setiap rakyat Malaysia akan menyokong tabung khas ini.