Perasaan yang sama dirasai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar biarpun baru lima bulan berkhidmat di Malaysia iaitu sejak 15 Februari 2018.

Bagi beliau, Malaysia mempunyai keunikan tersendiri de­ngan keindahan semulajadinya, kehidupan yang aman dan harmoni walau mempunyai pelbagai kaum serta mempunyai banyak persamaan dengan India membuatkan dirinya selesa se­perti berada di negara sendiri.

“Malaysia adalah contoh terbaik negara yang mampu mengekalkan keamanan masyarakatnya. Biarpun penduduk negara ini terdiri pelbagai kaum dan budaya, tetapi mereka hidup dalam suasana aman dan harmoni sejak dahulu lagi.

“Itulah antara keindahan Malaysia yang dikagumi ramai dan tarikan itu yang membuatkan masyarakat luar selesa apabila berada di negara ini.

“Mungkin ramai tidak tahu bahawa terdapat 2.7 juta warga India di Malaysia tidak termasuk 300,000 ekspatriat yang bekerja di pelbagai sektor di negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka,” katanya ketika ditemu bual Utusan Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berpendapat persamaan yang ketara antara dua negara juga membuatkan ramai warga India selesa berada di Malaysia, malah lebih mengejutkan tahun lalu sahaja kira-kira 650,000 pelancong dari India datang ke negara ini.

Angka itu lebih tinggi berbanding rakyat Malaysia yang melancong ke India pada tahun lalu iaitu kira-kira 200,000 orang.

“Perkembangan positif ini juga disebabkan oleh perkhidmatan penerbangan yang baik antara India dan Malaysia kerana terdapat 200 penerbangan terus untuk ke destinasi utama di India.

“Malah, beberapa syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines dan Air Asia turut memainkan peranan mempromosikan Malaysia kepada rakyat India,” katanya.

Ditanya tentang kenaikan harga visa untuk ke India, Kumar menerangkan bahawa perubahan itu sebenarnya tidak membebankan rakyat Malaysia kerana mereka kini mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan visa ke India.

Kumar berkata, sebelum ini visa yang dikeluarkan untuk tempoh enam bulan berharga kira-kira RM200. Kini, rakyat Malaysia diberikan pilihan visa bertempoh lima tahun dengan harga hanya AS$200 (RM828.47) dan ini lebih menjimatkan.

Tambah beliau, masyarakat India di Malaysia yang masih mempunyai ibu bapa atau datuk mahupun nenek di India turut mempunyai keistimewaan ke­rana boleh memohon mendapatkan kad khas (Overseas Citizen of India) iaitu dengan hanya RM1,245 untuk seumur hidup.

“Mereka inilah yang selalu datang ke India sama ada untuk bertemu keluarga mahupun melancong dan kemudahan yang diberikan nyata mampu meringankan beban mereka,” ujar Kumar.

Kumar berkata, hubungan erat antara kedua negara itu tidak hanya di dalam sektor pelanco­ngan sebaliknya India juga banyak membuat pelaburan di negara ini.

Beliau berkata, perdaga­ngan dua hala antara Malaysia dan India bernilai sekitar AS$15 bilion setahun (RM62.20 bi­lion) terutamanya membabitkan pelaburan dalam bidang perkilangan, farmaseutikal dan perkhidmatan.

Katanya, lebih 150 syarikat dari India berada di Malaysia dan aktif memajukan ekonomi negara ini. Ini termasuk dua syarikat besar iaitu Recron (Malaysia) Sdn. Bhd. yang melabur kira-kira AS$400 juta (RM1.66 bilion) dan pelaburan bernilai AS250 juta (RM1.04 bilion) oleh sebuah syarikat farmaseutikal iaitu Bicon.

Kata beliau, kerjasama antara dua pihak ini akan terus berkembang di masa akan datang ke­rana banyak lagi sektor yang boleh diterokai.

“Malah, India juga merancang menjalinkan kerjasama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kerana visi kami adalah untuk melahirkan sejuta tenaga mahir dalam tersebut.

“Ini bertepatan dengan visi Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam membangunkan negara dengan agenda ‘memperkayakan rakyat’ melalui pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan.

Katanya, beliau yakin syarikat-syarikat dari India akan mengambil peluang yang diwujudkan oleh kerajaan baharu Malaysia ini.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia terus bersikap terbuka dalam memberi ruang kepada barisan kepe­mimpinan baharu menerajui negara ini.