Sekalung tahniah harus diberikan kepada juruterbang dan anak kapal Malaysia yang berjaya membawa pesawat baharu pertama dari Toulouse, Perancis, pada 30 November. Pesawat A350-900 yang kedua dengan livery ‘Negaraku’ pula tiba di KLIA pada 23 Disember lepas dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) dijangka menerima empat lagi A350 XWB menjelang Mac 2018.

MAS perlu memperbaharui koleksi pesawatnya demi memenuhi tuntutan penumpang dan memberikan keselesaan kepada mereka agar sentiasa mendapat pengalaman terbaik.

Sebagai seorang yang kerap menggunakan perkhidmatan pe­nerbangan dan pelanggan setia MAS selama lebih 40 tahun, saya telah menyaksikan kemajuan syarikat penerbangan kebangsaan ini sejak awal hingga kini.

Syarikat penerbangan itu, yang bermula sebagai Malayan Airways pada 1947, sentiasa ‘terbang tinggi’ sebagai antara syarikat penerbangan nasional terbaik di rantau ini terutamanya sekitar 1970-an dan 1980-an.

Namun cabaran dihadapi amat besar sejak kebelakangan ini apabila MAS mencatatkan kerugian. Ia tidak mempunyai pilihan selain melakukan perubahan drastik untuk kembali pulih dan menjadi syarikat yang membuat keuntu­ngan dan disegani pesaing.

Saya ingin menyampaikan pujian kepada semua kru penerbangan MAS kerana mereka telah diberi pengiktirafan dan menerima anugerah atas perkhidmatan sangat baik. Walaupun terdapat pelbagai cabaran, anggota pe­nerbangannya tidak pernah patah semangat kerana rasa cinta mendalam terhadap profesion dan dedikasi mereka kepada syarikat penerbangan itu.

Mereka juga terus komited dalam pekerjaan walaupun pelbagai keistimewaan dan faedah dinikmati sebelum ini telah tiada, manakala bilangan anak kapal dalam setiap penerbangan turut dikurangkan.

Oleh itu, tidak menghairankan apabila MAS adalah antara syarikat penerbangan yang telah memenangi beberapa anugerah sebelum ini seperti penarafan lima bintang Skytrax dan anugerah Kru Kabin Terbaik di Dunia.

Saya yakin anak kapal MAS dan kakitangan di lapangan terbang akan terus meningkatkan perkhid­matan, terutamanya kepada pelanggan setia mereka.

Persaingan pada masa ini amat sengit kerana lebih banyak syarikat penerbangan menawarkan pakej dan perkhidmatan lebih baik untuk memenangi hati pelanggan dan meraih anugerah yang didambakan dalam industri penerbangan.

Pengurusan MAS perlu memastikan bahawa keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan ka­kitangannya sentiasa dijaga dan jumlah kru penerbangan mencukupi sentiasa berada di dalam pesawat untuk mengendalikan permintaan penumpang.

Kru penerbangan mempunyai peranan penting dalam memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang. Mereka perlu memeriksa peralatan keselamatan, menyemak aspek keselamatan, memastikan penumpang duduk dengan betul, memberikan taklimat keselamatan, menunjukkan laluan kecemasan dan member­sihkannya daripada sebarang ha­langan, meletakkan bagasi dalam kabin dengan selamat, memastikan kawasan kerja sentiasa bersih dan selamat selain memerhatikan reaksi penumpang sepanjang masa.

Dalam kes kecemasan, kru penerbangan perlu memastikan penumpang mengikuti prosedur kecemasan. Mereka mungkin perlu menangani keadaan kecemasan seperti kebakaran kabin, situasi pertolongan cemas atau rampasan pesawat. Dengan pelbagai tugas berat dipikul, kru penerbangan perlu diberikan perhatian dari segi kesihatan dan suasana pekerjaan mereka.

Pesawat MAS bukan sahaja membantu menerbangkan penumpang ke destinasi masing-masing tetapi sebagai pembawa bendera negara, mereka juga membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum yang aman dan makmur.

Saya berharap agar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAB yang baharu, Kapten Izham Ismail akan menyediakan masa depan yang lebih baik untuk MAS dan menjadikannya syarikat pe­nerbangan ikonik seperti di zaman kegemilangannya.

Saya yakin pengalaman lebih 38 tahun beliau bersama MAS dapat membantu beliau membawa syarikat penerbangan itu melepasi kesukaran dialami dan seterusnya menjadi syarikat pe­nerbangan menguntungkan dan setanding dengan syarikat penerbangan serantau lain.

Untuk kembali ke tahap dihormati seperti sebelum ini, MAS tidak boleh berkompromi de­ngan kualiti perkhidmatan dan produknya. Aduan dibuat pelanggan mesti diselesaikan dengan segera terutamanya mengenai ketepatan masa penerbangan dan kualiti makanannya.

Penumpang pada masa ini mahukan yang terbaik kerana mereka berpeluang untuk terbang dengan kerap dan dapat membandingkan kualiti perkhidmatan dan produk ditawarkan syarikat penerbangan yang berbeza.

Antara lain, MAS perlu menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi dan media sosial untuk memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih berkesan dan cekap. Ia juga perlu menawarkan tambang yang lebih kompetitif untuk terus bersaing.

Harapan daripada penumpang MAS pada masa ini amat tinggi kerana mereka semakin sedar akan hak untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik dan tepat masa. Amat malang jika penumpang masih perlu berhadapan dengan isu kelewatan bagasi dan penerbangan kerana kecanggihan sistem yang ada boleh me­ngurangkan masalah ini dengan berkesan.

Jika tidak dapat dielakkan, MAS seharusnya menyediakan kakitangan terlatih dan berpe­ngalaman untuk memaklumkan kepada penumpang menggunakan pendekatan mesra serta sentiasa bersedia memberikan bantuan yang terbaik. Saya percaya dengan sokongan kuat daripada kakitangan dan penumpang, Kapten Izham mampu menjadikan MAS sebuah syarikat penerba­ngan yang kita semua banggakan!

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.