KALAU bercakap pasal dunia kepolisian, TAN SRI ZAMAN KHAN RAHIM KHAN bukanlah nama sembarangan.

Banyak kes jenayah besar Berjaya diselesaikan semasa beliau sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Ketika Ops Lalang dilancarkan oleh polis pada 27 Oktober 1987 bagi menangkap seramai 106 ahli politik dan aktivis sosial yang cuba mengeruhkan suasana politik dalam negara, beliau yang ketika itu Pengarah Keselamatan

Dalam Negeri berjaya memastikan suatu perhimpunan raksasa yang cuba dianjurkan oleh sebuah parti politik dibatalkan.

Zaman Khan turut terlibat dalam mengembalikan ketenteraman awam yang tercetus akibat insiden amukan seorang prebet dari Kem Tentera Ulu Kinta di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Menjelang perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) # DaulatHimpunan812 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka petang esok, wartawan Utusan Malaysia, ASHRIQ FAHMY AHMAD menemui Zaman Khan, 77, di kediamannya di Ampang kelmarin.

Antaranya, beliau mengulas isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam yang dibimbangi pihak tertentu akan tercetus dalam perhimpunan itu, yang turut diyakini oleh Zaman Khan sendiri bakal mencatat kehadiran luar biasa.

UTUSAN: Ada kalangan pemimpin kerajaan membantah perhimpunan ICERD kerana dibimbangi akan menyebabkan menimbulkan kekecohan?

ZAMAN KHAN: Biarpun kerajaan telah memberi jaminan ICERD tidak akan diratifikasikan, perhimpunan ini harus diteruskan untuk memperingatkan kaum Melayu dan bumiputera serta lain-lain kaum agar bersatu bagi menentang apa juga perjanjian seperti ICERD ini.

Kita semua maklum ICERD merupakan perjanjian antarabangsa yang mementingkan hak kesamarataan antara kaum, tetapi di Malaysia keadaannya berbeza sedikit. Negara ini terdiri daripada tiga kaum terbesar iaitu Melayu yang beragama Islam, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kaum Cina dan India.

Kita patut bersatu. Bukan sahaja kaum Melayu dan bumiputera patut berhimpun menyatakan bantahan, kaum-kaum lain yang yakin kepada perpaduan di negara ini juga patut menyatakan sokongan. Bagi orang Melayu, perhimpunan ini patut diadakan kerana selain daripada perhimpunan yang pernah diadakan di Johor dahulu untuk tubuhkan UMNO bagi menentang Malayan Union (1946), kita tidak pernah ada lagi perhimpunan besar sebegini. Inilah kali pertama selepas sejarah tersebut, sepatutnya perlu ada segenap golongan untuk menyatakan perpaduan.

Ada sesetengah pihak mengatakan perhimpunan ini bermotif untuk memburukkan kerajaan baharu, benarkah begitu?

Memang ada cakap-cakap sebelum ini menyatakan perhimpunan membantah ratifikasi ICERD ini semata-mata untuk tujuan itu, tapi saya tidak fikir begitu. Jika benar andaian itu, saya dan rakan-rakan dalam Majlis Perundingan Melayu (MPN) pasti dari mula lagi membantah.

Mereka yang tidak suka kepada penganjuran perhimpunan ini tentu menuduh kita mahu memburuk-burukkan kerajaan yang ada hari ini. Sedangkan mereka tidak memahami isu sebenar.

Cuma, saya lihat polemik ICERD ini seakan-akan sama situasi seperti Ops Lalang pada 1988, malah akan menjadi lebih buruk jika tidak dapat dikawal dengan baik.

Barangkali pihak yang mendesak perhimpunan 8 Disember ini dibatalkan mahu menidakkan hak kebebasan berhimpun dan demokrasi bersuara, benarkah?

Memang pun, ramai yang mahu perhimpunan ini dibatalkan kerana khuatir ia akan menimbulkan kekacauan dan pergaduhan, tetapi pihak polis sendiri telah beri jaminan perhimpunan ini akan selamat. Apa lagi yang mahu dibantah?

Kerajaan sendiri telah mengumumkan bahawa ICERD tidak akan diratifikasi, oleh yang demikian apa yang perlu digusarkan? Pasti ia akan menjadi perhimpunan yang aman. Pasal ini (himpunan) adalah jiwa kita.

Malah saya perhatikan orang Melayu ini terlampau bersabar dan bertolak ansur. Inilah masanya untuk bersuara dan menyatakan rasa tidak puas hati kita mengikut lunas undang-undang.

Berdasarkan pengalaman Tan Sri, bagaimana cara mahu membendung isu-isu berkaitan kaum dan agama agar tidak terus menjadi polemik sehingga memecahbelahkan keharmonian sedia ada?

Sebelum ini kerajaan baharu mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan segala yang berkaitan dengan alasan akta-akta tersebut tidak lagi relevan. Pun begitu hal tersebut ditangguhkan (moratorium), pasal apa? Tengoklah sekarang ini, betapa buruknya keadaan yang sedang berlaku.

Sebagai contoh, insiden rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, Selangor boleh menjadi lebih buruk, namun ia dapat dikawal oleh pihak berkuasa dengan baik. Saya pernah nyatakan sebelum ini, jika dikatakan akta-akta ini dirasakan tidak adil, pindalah ia agar lebih bersesuaian dengan keadaan hari ini, bukan hapuskan secara total. Di negara-negara Barat pun terdapat undang-undang pencegahan, ia dipanggil Hate Crime (Jenayah Kebencian) dan kita mesti ada juga tambahan sebab Malaysia merupakan negara berbilang kaum.

Rata-rata ‘mereka’ menuduh kita sebagai ekstremis dan sebagainya kerana memperjuangkan hak kaum Melayu dan agama Islam. Pun begitu lihatlah sendiri bagaimana agama ini dihina, macam-mana tohmahan dilontarkan. Haruskah perkara itu didiamkan sahaja?

Kita amat perlu kepada undang-undang ini (Hate Crime). Sebagai contoh, penukaran nama-nama jalan yang mendahulukan bahasa Cina selain bahasa Melayu merupakan satu penghinaan dan tamparan yang hebat.

Sebab itu saya menyokong penuh tindakan Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan agar papan tanda jalan yang mempunyai tulisan Cina di Shah Alam ditanggal dan digantikan dengan papan tanda jalan bahasa Melayu sahaja. Malah, perkara tersebut perlu diperluaskan ke seluruh negara.

Tan Sri ada pengalaman tak dalam bab mengawal insiden kekecohan termasuk rusuhan kaum?

Ya, kes amukan Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar yang ketika itu telah disalah erti oleh orang ramai sebagai isu rusuhan kaum. Seperti yang kita maklum, insiden tersebut tiada kena mengena dengan isu perkauman.

Di Pulau Pinang waktu itu ramai cuba menghubungi atau menemui saya di kediaman di sana untuk mengesahkan apakah benar berlaku rusuhan kaum di Kuala Lumpur yang melibatkan ratusan nyawa melayang.

Bagaimanapun, waktu itu saya berada di Jalan Chow Kit kerana terlibat dalam usaha untuk mententeramkan keadaan akibat amukan prebet terbabit.

Setelah selesai insiden tersebut, Ketua Polis Negara waktu itu, Tun Hanif (Tun Mohammed Hanif Omar) telah mengarahkan saya untuk menjelaskan kepada orang ramai bahawa kes itu tiada kena mengena dengan isu pergaduhan antara kaum.

Keesokan paginya, apa yang kita lihat adalah orang ramai meneruskan aktiviti harian seperti biasa. Maknanya kita telah berjaya mengawal keadaan tersebut.