Kejayaan menumpaskan kumpulan lanun yang merampas kapal tangki MT Orkim Harmony pada 2015 dan MT MGT1 pada tahun lalu menjadi cerminan kematangannya walaupun ketika itu baru menjengah satu dekad penubuhan.
Bagi memperincikan dengan lebih mendalam kejayaan yang dilakar, wartawan Utusan Malaysia, HADI AB. MANAP dan jurugambar, AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN menemubual Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar di Putrajaya, baru-baru ini.

 

Apa makna kejayaan Maritim Malaysia menyelesaikan kes rompakan kapal tangki MT Orkim Harmony dan MT MGT1 sebelum ini?

Saya bangga kerana kedua-dua kes itu berjaya diselesaikan dalam masa singkat dan mereka yang terbabit telah didakwa dan dijatuhkan hukuman. Ini bukan kes yang mudah untuk diselesaikan tanpa kecekapan yang ada pada anggota Maritim Malaysia.

Boleh dikatakan Maritim Malaysia banyak menggunakan aset lama untuk operasi­nya. Bagaimana keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap agensi ini dalam keselamatan perairan nasional?

Walaupun beroperasi menggunakan aset lama yang diberikan oleh agensi-agensi lain, ia bukanlah kekurangan yang wajar dijadikan alasan untuk membiarkan lanun terus bermaharajalela.

Indeks Jenayah maritim di perairan negara telah menunjukkan penurunan setahun demi setahun.

Kejayaan ini telah meraih perhatian antarabangsa yang mana pelbagai agensi keselamatan negara lain ingin menjalinkan kerjasama dengan kita.

Sebagai contoh, ramai pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang dihantar berkursus di pusat latihan negara lain seperti U.S Coast Guard dan Japan Coast Guard meliputi pelan pengajian jangka masa panjang dan pendek.

Pengiktirafan dunia juga telah membawa kepada perolehan tiga buah kapal iaitu Kapal Ma­ritim (KM) Marlin, KM Pekan dan KM Arau yang dihadiahkan oleh Jepun.

Australia telah memberikan dua buah kapal lagi iaitu KM Satria dan KM Perwira manakala Kanada pula menyumbang tiga buah bot laju.

Maritim Malaysia juga tidak dapat lari daripada jenayah ra­suah. Mungkin Datuk Seri mempunyai perancangan berhubung perkara ini?

Rasuah adalah jenayah yang perlu dibanteras secara me­nyeluruh dan kita tidak akan berkompromi dengan pegawai serta anggota yang disahkan terlibat.

Suka saya maklumkan Ma­ritim Malaysia adalah agensi pertama yang melakukan tugas covert bersama-sama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan warga kita yang disyaki menerima suapan.

Pelbagai pihak mengutarakan pendapat, ia adalah tindakan yang terlalu berisiko kerana boleh menjejaskan imej pasukan, namun saya berpendapat cara itu adalah tindakan paling efektif.

Kita telah melakukan pelbagai pendekatan antaranya melakukan penyamaran bagi memastikan dalang dan penerima dapat diberkas seterusnya dibawa ke muka pengadilan.

Pada Sambutan Hari Ulang Tahun Maritim Malaysia Ke-11, kita melancarkan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang mana satu ke­nyataan bersama antara Maritim Malaysia dengan SPRM telah di­meterai.

Dewan Rakyat dan Dewan Negara telah meluluskan pindaan Akta Maritim Malaysia. Apa pentingnya rang undang-undang baharu itu?

Tarikh perkenan diraja yang diperoleh adalah pada 29 Disember 2017 dan telah diwartakan pada 10 Januari 2018.

Ia mula berkuat kuasa pada 11 Januari lepas dengan nama Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Pindaan) 2018.

Pindaan ini telah membawa kepada beberapa pembaharuan dalam Maritim Malaysia antaranya seperti penubuhan Pasukan Simpanan Maritim Malaysia (PSMM), Pasukan Kadet Maritim Malaysia (Paskam) dan lokap.

Mengenai lokap sendiri, ia se­cara tidak langsung dapat me­ning­katkan lagi keupayaan pa­sukan dalam memperkasakan setiap operasi kerana tahanan akan dikendalikan secara sendiri.

Perkara ini akan lebih menjamin keselamatan tahanan dan an­ggota yang bertugas.

Perancangan dan harapan Da­tuk Seri untuk mendepani cabaran 2018?

Dari aspek pengukuhan operasi, Bajet 2018 telah memperuntukkan sebanyak RM490 juta untuk pembangunan manakala RM412 juta lagi berhubung pe­ngurusan Maritim Malaysia. Maka dengan itu, kita akan dapat menyiapkan dan mengoperasikan kesemua enam buah kapal New Generation Patrol Craft (NGPC). Dalam pada itu, radar Surveillance di Pulau Perak dan Pulau Jarak yang akan diterima pada Mei ini pula akan memantapkan lagi keupayaan kita.

Melihat kepada usaha penstrukturan semula organisasi, satu pelan pelaksanaan Maritim Malaysia di peringkat negeri telah diwujudkan.

Ini akan menggantikan konsep wilayah dan daerah yang kini diguna pakai kerana ia merupakan agenda kedua dalam pelan pembangunan kapasiti pengukuhan operasi secara menyeluruh.