Ideanya ialah jika mahu menumbangkan BN, kena ikut cara BN. Jika mahu berjaya menawan Putrajaya kenalah tiru macam BN. Kena berwajah seperti BN.

Kali ini, walaupun pernah membuat beberapa kali cubaan dalam siri pilihan raya umum yang lalu, keempat-empat parti yang baru berkawan ini kelihatan bersungguh-sungguh.

Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail selaku Ketua Pembangkang akan memanggil mesyuarat peringkat tertinggi untuk membincangkan hal satu logo dan satu manifesto ini.

Mereka percaya idea yang diangkat oleh Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu perlu diterjemahkan dalam bentuk nyata. Cuma sekali lagi perkongsian yang nampak mudah seperti ini menjadi rumit apabila berkait politik apatah lagi membabitkan parti besar sarat ego seperti DAP dan PKR.

DAP bersikap suam-suam kuku terhadap idea logo atau simbol baharu bersama ini. Almaklum DAP bimbang silap percaturan parti berlambang roket yang gah digunakan untuk memancing undi kaum Cina sejak 1969 akan tenggelam.

DAP telah berjaya melalui ujian pilihan raya menggunakan lambang roket.

Roket ialah DAP dan DAP ialah roket. Pengundi DAP tidak peduli siapa calon mereka, Yang penting mereka mewakili perjuangan parti berlambang roket.

Lambang itulah yang pengundi DAP pangkah dalam kertas undi selama ini. Pengundi DAP tidak mengenal lambang lain terutamanya PAN atau bunga raya PPBM yang masih terlalu baharu.

DAP pun pernah merungut pengundi mereka keliru semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar kerana tidak biasa dengan simbol PAN.

Sebab itu sudah tentu dari kaca mata DAP dan sebagai parti paling lama serta berpengaruh, lambang roket perlu diambil kira sebagai simbol bersama pilihan raya pakatan harapan.

Simbol baharu tidak banyak memberi kelebihan kepada parti yang sejak penubuhannya sehingga sekarang dikuasai oleh seorang individu sahaja.

Apalah salahnya roket diangkat menjadi lambang bersama pakatan harapan. DAP pun sejak sekian lama telah 'menyolek' wajahnya sebagai parti untuk semua, bukan terhad kepada satu kaum sahaja.

Dari satu sisi, cadangan ini nampak meyakinkan tetapi beranikah pakatan harapan berbuat demikian? Mungkin tidak, sebagaimana gagalnya gagasan Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat, pakatan yang baharu dibentuk bukan berdasarkan asas yang kuat.

Pakatan ini dibentuk untuk meniru cara orang lain kerana mereka berfikir hanya dengan cara bermuafakat seperti itu yang dapat menumbangkan BN.

Selalu kita men­dengar sindiran tidur satu bantal mimpi lain-lain. Itulah yang berlaku sehingga ke saat ini.Apatah lagi pa­katan diketuai DAP ini tidak habis-habis me­nyerang rakan lama­nya Pas.

DAP sendiri yang di­bantu oleh gerom­bo­lan pe­muka Mela­yu masih gagal me­ya­kinkan khal­ayak bahawa parti ini bukan anti-Islam dan anti-Melayu.

Semakin mereka men­­cuba malah sema­kin me­­­nebal dan tam­bah me­­lekat label cau­vinis itu. Agaknya apa­lah yang sukar sangat untuk mereka melepaskan label itu.

Dominan

Mungkinkah kerana itu­lah wajah sebenar me­r­­e­ka yang tidak bo­leh di­tutupi lagi?

Dari sisi ini, lam­bang PKR barangkali paling se­suai diguna­kan secara bersama.

Lagipun di atas kertas PKR kini sedang memimpin pakatan harapan. Mahu tidak mahu, Wan Azizah tetap dianggap sebagai ketua dalam kalangan parti-parti dalam pakatan harapan.

Cuma soalnya bersediakah PPBM atau Dr. Mahathir mengiktiraf PKR sebagai parti dominan. Antara misinya ialah menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri?

Terlalu besar risiko yang perlu ditanggung oleh PPBM jika memilih untuk ‘bertuankan’ Anwar.

Pilihan terbaik ialah mewujudkan satu simbol baharu. Lambang pilihan raya itupun dikatakan sudah lama disediakan cuma memerlukan persetujuan pimpinan parti-parti dalam pakatan harapan.

Dan, di situlah masalah utamanya - mendapatkan persetujuan bersama. Jika dalam soal logo dan manifesto mereka bertelagah bagaimana mungkin dalam hal lebih besar khususnya yang berkait kuasa dan kekuasaan.

Cabaran besar yang menanti sebenarnya bukan logo mahupun manifesto bersama tetapi pembahagian kerusi pilihan raya dan barisan Kabinet mereka.

Akhirnya parti-parti ini tidak akan mencapai matlamatnya seperti diharapkan yang boleh dijadikan alternatif.

Jauh sekali dapat berdiri teguh seperti BN yang diasaskan sebagai satu perikatan termasuk parti-parti dari Sabah dan Sarawak sejak 1973.

Masalah utama parti-parti pembangkang ini ialah mereka gagal untuk membentuk identiti sendiri.

Selama ini mereka berkibar atas kelemahan orang lain. Mereka hanya gah mahu mengubah orang lain tetapi gagal untuk mengubah diri sendri menjadi pemimpin yang lebih baik.

Penyakit kronik yang menimpa pimpinan parti pembangkang ialah mereka sentiasa merasakan diri serba betul dan benar. Mereka juga seperti tidak pernah lelah meniupkan api persengketaan, permusuhan dan kebencian waima semasa rakyat menagih kebersamaan.

Penyakit yang ini tiada ubatnya walaupun kelak mereka berjaya meniru cara BN. Penyakit inilah juga yang menjadikan apa juga pakatan yang dibentuk tidak kekal lama.