Begitu jua dalam senario Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), walaupun dipujuk dan dirayu oleh parti politik, keputusan akhir adalah tanggungjawab pengundi dan tidak ada pihak yang boleh memaksa kumpulan pengundi membuat keputusan tertentu.

Sebab itu amat kritikal setiap pihak perlu menerima keputusan PRU-14 kerana pihak yang berjaya membentuk kerajaan sama ada di peringkat Pusat atau negeri telah melepasi ujian proses demokrasi yang diamalkan Malaysia sejak enam dekad lalu. Walaupun keputusan tidak menyebelahi dengan pilihan yang telah dibuat tetapi demokrasi melalui pilihan raya menilai setiap undi yang dimiliki oleh rakyat Malaysia yang berkelayakan mempunyai nilai pengaruh yang sama.

Umpamanya, sistem demokrasi Malaysia tidak membezakan undi yang dibuat oleh pengundi di Parlimen Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan pe­ngundi di Parlimen Kanowit, Sarawak kerana setiap satu undi itu sama nilainya yang menentukan keputusan per­caturan kawasan berke­naan. Sebab itu juga hujah yang menjurus kepada andaian bahawa tidak adil nilai undi pengundi kawasan pedalaman seperti Kanowit diberi nilai yang sama de­ngan pe­ngundi bandar yang menetap di Lembah Pantai umpamanya kerana di kaca mata demokrasi Malaysia kedua-dua pengundi tersebut memikul tanggungjawab yang sama beratnya.

Sikap menerima keputusan PRU dan ia tidak hanya terhad kepada keputusan PRU-14 adalah pen­ting kerana Malaysia tidak mampu melalui suasana berpolitik setiap masa kerana ini akan mengganggu tadbir urus sesebuah negara dari menjadi lebih lancar. Malaysia tidak boleh lagi melalui fasa se­perti yang dialami selepas keputusan PRU-13 pada 2013 kerana pihak yang ti­dak berpuas hati dengan keputusan tersebut enggan menerima hakikat yang dihadapi.

Begitu malang sekali buat rak­yat Malaysia yang telah me­laksanakan tanggungjawab de­mokrasi dengan sempurna pada 5 Mei 2013 tetapi masih berhadapan dengan segelin­tir golo­ngan yang masih tidak mahu me­nerima keseluruhan keputusan pilihan raya. Malah begitu ironis sekali golongan yang sama juga te­lah mengadu kepada negara kuasa besar supaya melakukan sesuatu dalam usaha untuk menggambarkan bahawa proses demokrasi negara telah tercemar dengan peni­puan dan manipulasi. Harapannya adalah senario 2013 tidak berulang demi kepen­tingan negara masa hadapan yang sudah pasti cabarannya adalah lebih getir.

Akibat daripada keengganan me­nerima keputusan PRU-13, rakyat diheret dalam kancah politik yang mengakibatkan kehidupan seharian selama lima tahun lalu begitu diba­yangi oleh warna-warni politik tanah air. Senario sebegini tidak sihat bagi mana-mana negara sama ada yang maju atau membangun ke­rana setiap keputusan yang dibuat rakyat lazimnya berpandukan kepada pegangan prinsip politik ma­sing-masing dan bukannya kerana kepentingan negara masa hadapan.

Senario sebegini akan memberi tekanan kepada sistem tad­bir urus negara yang lebih efisien kerana setiap dasar yang dibentuk perlu juga dinilai kesannya dari segi faktor politik dan di sini timbul kegusaran dasar yang diperkenalkan itu kadang kala tidak menepati keperluan jangka ma­sa panjang rakyat dan negara.

Tidak kira parti politik mana yang dipilih ketika mengundi tetapi apa yang penting adalah barisan Kabinet yang bakal dibentuk adalah untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa dipertahankan dan kepen­tingan rakyat sentiasa men­jadi keutamaan tanpa mengira fahaman ideologi politik masing-masing.

Bukan menjadi suatu kesalahan rakyat mempunyai pegangan politik berlainan malah itulah maksud sebenar demokrasi kerana pi­lihan yang dibuat bukan secara paksaan tetapi atas kerelaan masing-masing. Tetapi agak me­ngaibkan apabila perbezaan ideo­logi politik ini menjadi kekangan untuk meneruskan kelangsungan kehidupan seharian dan menjadi lebih sedih lagi apabila perbezaan ideologi politik ini digunakan secara berterusan selepas selesai­nya proses pemilihan.

Sebab itu, menjadi tanggungjawab setiap ahli politik terutama sekali yang bertanding tidak kira sama ada berjaya atau gagal dalam percaturan kali ini untuk mempamerkan teladan yang be­tul bagaimana untuk menghadapi era pasca PRU-14. Jika teladan yang akan dipamerkan mengikut mirip pasca PRU-13, maka akibatnya rakyat akan sentiasa dibelenggu oleh percaturan politik yang tidak memberi manfaat kepada proses membangun negara.

Tetapi jika semua ahli politik mampu bertindak matang maka rakyat akan menghargainya dan melupai segala perbezaan pendapat terutama sekali yang berlaku semasa 11 hari berkempen. Setelah lebih daripada enam dekad negara mencapai kemerdekaan dan melalui sebanyak 14 kali PRU, sudah agak pasti rakyat Malaysia begitu matang dalam hal demokrasi. Inilah masa terbaik untuk rapatkan saf.