Maracong selaku anak didik Tan Sri Dr. Arshad Ayub, jarang bersuara. Bukan kerana mereka slow-learners. Tetapi, disebabkan me­reka adalah high-achievers yang fokus dengan tugas mena­bur bakti kepada nusa.

Maracong adalah insan yang berdisiplin tinggi. Segolongan mereka pernah menjadi aktivis pelajar yang radikal, tetapi bukan kumpulan ekstremis. Sekelompok Maracong juga pernah dilabelkan sebagai penggerak revolusi dan kaki demonstrasi. Namun revolusi mereka adalah berhemah dan demi agama, bangsa dan tanah air.

Maracong dilahirkan dari 1965 hingga ke 1974, di Maktab Mara, di ITM kampus Jalan Othman dan ITM kampus Seksyen 17 Petaling Jaya, serta di ITM kampus Shah Alam, Selangor.

Sebilangan besar Maracong pernah menjadi saksi kepada tragedi 13 Mei 1969 yang merobek ketahanan dan ­perpaduan nasio­nal.

Pada ketika itu mereka rela berlapar untuk membolehkan catuan makanan mereka diberikan kepada penduduk sekitar kampus yang terputus bekalan. Mereka adalah antara ribuan anak muda bumiputera yang menjadi mangsa kemiskinan tegar akibat dasar sosioekonomi penjajah British yang meminggir dan menindas secara sistemik, terutamanya da­lam bidang pendidikan.

Jika Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang menyatakan dalam puisinya pada 1991, Maj­lis Amanah Rakyat (Mara) yang ­melahirkan Maktab Mara dan ITM adalah sebuah nama keramat yang lahir dari percikan amarah suatu bangsa yang mundur sosio-ekonominya, Maracong adalah manifestasi amarah dan kemunduran ini.

Oleh sebab itu, Maracong diberikan peluang oleh Mara untuk menterjemahkan amarah tersebut menjadi kejayaan hakiki. Ma­racong diberi peluang ke­emasan oleh Maktab Mara dan ITM untuk menimba ilmu, menguasai penge­tahuan, dan merungkai rah­­sia kejayaan, dalam bidang yang penting kepada kemajuan dan pembangunan negara.

Contohnya, Maracong menjalani pendidikan dalam jurusan sains komputer, statistik dan aktuari; hingga ke jurusan industri perladangan dan veterinar. Ma­racong menimba ilmu pengurusan perniagaan, perbankan dan pemasaran, hingga ke perakaunan, kesetiausahaan, pentadbiran awam dan undang-undang.

Maracong mengusai ilmu berkaitan seni bina, seni reka, dan seni lukis, hingga ke ilmu da­lam bidang penilaian kuantiti, juru ukur bahan dan perancangan bandar. Maracong juga mendalami ilmu mengenai sektor pengangkutan hingga ke ilmu mengenai perhotelan dan berbagai bidang kejuruteraan.

Walaupun Maktab Mara dan ITM adalah institusi yang bertanggungjawab melahirkan Ma­racong, Dr. Arshad adalah insan gigih yang bertanggungjawab mencanai bakat Maracong dalam bidang profesional. Maktab Mara dan ITM adalah institusi pendidikan yang melahirkan Maracong supaya menjadi anak bangsa yang gigih, berani, kreatif dan berinovasi.

Di dua institusi ini Maracong dilahirkan serta mengabdikan diri, dan di dua institusi ini juga mereka mendeklarasikan diri mereka sebagai Maracong. Jenama berprestij ini adalah berinspirasikan semangat Vietcong di Vietnam. Bukan disebabkan ideo­logi komunisnya, tetapi kerana Vietcong kreatif, cekal dan lasak dalam usaha untuk menjamin survivalnya di era peperangan.

Begitu juga hakikatnya dengan Maracong. Mereka menceburi du­nia pendidikan profesional de­ngan seribu satu kekurangan, ke­sempitan dan kekangan. Namun, Maracong berjaya menyempurnakan misinya. Mereka ditanamkan ciri-ciri kepimpinan diri serta jati diri yang lasak.

Mereka juga dibekalkan rahsia kehidupan untuk mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air. Mereka diberikan amanah untuk menebus dan menggilap semula maruah serta digniti bumiputera selaku bangsa teras yang ditindas penjajah.

Pendek kata, Maracong dituntut merangkul kecemerlangan, bangkit menjadi high achie­vers, dan sentiasa penuh keyakinan. Maracong juga dituntut supaya berani berjuang untuk me­nempah kejayaan, tanpa takut, tanpa gentar, dan tanpa me­nyerah kalah.

Setelah tamat pengajian, Ma­racong dikerah membanjiri pasaran pekerjaan di Malaysia, khususnya dalam sektor korporat. Majoriti Maracong menjadi captain of industries, menceburi dunia akademik dengan kepujian, membuka perniagaan di bidang profesional mempunyai niche tinggi, mengisi kedudukan utama dalam perkhidmatan awam, dan menceburi sektor politik secara berintegriti.

Esok, Maracong akan berhimpun di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur, mulai pukul 7 malam. Mereka akan mengimbas kembali kisah suka-duka selaku pelajar Maktab Mara dan ITM yang dituntut untuk memelihara agama, bangsa dan tanah air.

Walaupun mereka terdiri daripada kumpulan pesara atau masih aktif dalam perkhidmatan dan perniagaan, mereka mempunyai sifera pengaruh yang besar dalam masyarakat.

Mereka berhimpun untuk menyusur kembali liku-liku kehidupan mereka menerusi ruang memori silam dinamakan MARACONG RETURNS NITE. Sedikit lagi meja belum terjual. Sesiapa berminat, sila hubungi whatsapp: 6012-614-7284 atau e-mail:[email protected]­com.

DATUK RUHANIE AHMAD ialah Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, graduan Pentadbiran Awam ITM 1969 dan bekas Setiausaha Agung Kesatuan Pelajar ITM 1971.