Pakatan Harapan mengumumkan 60 perkara yang mereka tajukkan sebagai 60 janji. Daripada janji hendak menghapuskan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) sampai ke janji penghapusan tol lebuh raya di Semenanjung; daripada penghapusan tanggungan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) hingga kepada mewujudkan sekatan supaya seseorang perdana menteri dan menteri besar tidak dibenarkan berkhidmat lebih dua penggal.

Pakatan Harapan juga menegaskan tentang ‘perkongsian kekayaan negara’ dan menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat, menyediakan subsidi minyak bersasar selain janji mengadakan skim KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk suri rumah. Sementara “subsidi minyak bersasar” tidak dihuraikan ertinya, ini telah menjadi kekaburan kepada rakyat – apakah yang dimaksudkan dengan ‘bersasar’?

Kumpulan pembangkang ini melemparkan Lima Teras yang ditumpukan kepada (a) meringankan beban kehidupan rakyat, (b) mereformasi institusi pentadbiran, (c) merancakkan pertumbuhan ekonomi adil, (d) mengembalikan status Perjanjian Malaysia 1963 bagi Sabah dan Sarawak dan (e) membina Malaysia yang inklusif, moderat dan gemilang.

Frasa inklusif, moderat dan gemilang merupakan tabir layar kabur atau klise yang kerap diungkapkan di beberapa sesi pilihan raya lampau.

Manifesto kumpulan parti lawan Barisan Nasional (BN) ini juga menekankan tentang azam mereka untuk membasmi rasuah, mengembalikan maruah orang Melayu, mewujudkan kesejahteraan belia, hak-hak Perjanjian Malaysia 1963 bagi Sabah dan Sarawak dan pelbagai ‘janji-janji’ lain.

Sebaik-baik sahaja manifesto Pakatan Harapan ini dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada malam 8 Mac 2018, penyokong kumpulan pembangkang ini seolah-olah gegak gempita menguar-uarkan apa yang mereka anggap sebagai era kehidupan baru. Ucapan Dr. Mahathir tidak menyentuh apa pun tentang isi dan kandungan buku manifesto Pakatan Harapan.

Beliau seperti biasa lantang mahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diturunkan melalui proses pilihan raya setelah gagal menurunkan Najib sebagai Perdana Menteri mengikut kaedah-kaedah terdahulu. Daripada ucapan pelancaran itu kemahuan beliau menurunkan Najib lebih mendorongnya bertindak daripada menghurai manifesto kumpulan Pakatan Harapan.

Akhbar-akbar pro-kerajaan pula memberi label yang beraneka sentimen yang pada keseluruhannya menganggap manifesto Pakatan Harapan itu tidak lebih daripada ‘mimpi di siang hari’ dan ‘kerja mengumpan rakyat’. Parti Pas sehingga kini belum merakamkan penilaian mereka terhadap manifesto ini. Barangkali melekatkan label seperti ini kurang berhasil pada masa ini kerana Pakatan Harapan bukanlah sebuah parti tanpa pengikut atau tukang sorak-sorai.

Mengumpan

Dari segi taktik Pakatan Harapan mendahului BN dalam ura-ura ‘mengumpan rakyat’ – rumusan yang diguna oleh beberapa akhbar dan portal internet termasuk Utusan Malaysia. Mereka telah ‘jual’ dahulu apa yang hendak perjuangkan.

Apakah dengan mendahului lain-lain parti politik dalam penzahiran manifesto sekali gus mereka mempunyai peluang keemasan dalam mendapatkan sokongan rakyat? Ini tidak semestinya demikian kerana memang setiap parti politik akan gigih mengutara kandungan perjuangannya untuk penerimaan rakyat. Apakah manifesto atau janji-janji PRU-14 Pakatan Harapan praktikal, munasabah dan layak diyakini? Soalan ini harus dijawab dalam konteks hasil negara yang mampu diasas sebagai sumber.

Pada masa ini pendapatan negara hanya terhad kepada angka RM240-250 bilion setahun. Jika kesemua janji pilihan raya Pakatan Harapan ini hendak dilaksanakan tidak kurang RM310 bilion diperlukan. Belanjawan 2018 yang diluluskan Parlimen 2017 mengalami defisit fiskal hampir tiga peratus yang menyebabkan GDP Malaysia hanya dapat bertahan pada paras lima peratus setahun.

Sifat tidak praktikal ini akan menghantui belanjawan Pakatan Harapan dengan kelompangan yang tidak mampu dikambus. Jika sedemikian halnya bagaimana pula harus dilaksanakan manifesto itu? Senarai perkara-perkara yang “hendak dilaksana” begitu banyak dan sebahagiannya sudah pun diusahakan kerajaan BN.

Pakatan Harapan tak berani menidakkan kesan positif melalui BR1M, lantas mereka tak berani sentuh BR1M sebagai unsur pembelaan. Mereka juga tidak sentuh keselamatan, hanya sekadar mahu menambah baikkan lagi PDRM dan Perkhidmatan Awam amnya.

Unsur bahaya yang turut mengiringi beban fiskal Pakatan Harapan ialah nisbah kemampuan Petronas untuk terus menyumbang sekitar 30 peratus daripada jumlah belanjawan negara.

Nisbah dividen petroleum negara, seperti yang diasaskan kepada pengumuman Petronas ialah sekitar RM22 bilion setahun, mengambil kira harga setong petroleum dagangan seperti Brent Crude berada di tahap AS$61. Harapan tidak ada cadangan mengenal pasti sumber pendapatan yang lain bagi negara.

Apabila Sarawak khasnya tidak lagi membenarkan Petronas melangsungkan eksplorasi minyak di perairannya lantaran dasar unilateral dalam negeri Sarawak, operasi Petros akan mula berdikari. Dengan itu keadaan akan lebih rumit kerana pendapatan Kerajaan Pusat akan jadi lebih rendah daripada angka belanjawan atau bajet 2018. Dari sudut ini juga belanjawan Pakatan Harapan akan menemui kebuntuan kerana menjelang PRU-15 nanti sumber pendapatan fiskal akan menurun.

Diketahui umum bahawa paras maksimum pendapatan negara ialah pada tahap RM290 hingga 320 bilion setahun selepas 2020. Justeru apabila Petronas 'batuk' atau 'selesema', kesan terbitan kepada harga minyak ialah Kerajaan Persekutuan akan mengalami kesukaran pendapatan.

Salah satu daripada kelemahan pokok belanjawan ‘populis’ Pakatan Harapan yang ketara ialah ia lebih merupakan laungan politik yang bersifat ‘tarik perhatian’ dan bukan berasas kepada realiti ekonomi semasa.

Misalnya, janji untuk mewujudkan sumbangan KWSP untuk para isteri atau suri rumah lantas memberi kesukaran sistem yang mantap. Dari sumber manakah caruman sumbangan yang hendak diambil agar mekanisme pendapatan untuk suri rumah dapat dirasionalkan? Teori negara-negara maju di bawah OECD Bangsa-Bangsa Bersatu pun belum berjaya melaksanakan ciri ini sekalipun hak asasi wanita itu membara di peringkat konvensyen antarabangsa.

Pilihan raya umum kali ini merupakan yang paling sengit kerana pertamanya, inilah kali pertama seorang bekas perdana menteri menentang semula parti yang beliau sendiri bantu menzahirkan berdekad-dekad lampau. Hanya dengan matlamat mengetepikan seseorang perdana menteri sebagai hajat besar bukanlah satu matlamat yang mudah dijual melalui janji-janji manifesto yang belum tentu keberkesanannya.

Gendang perang politik sudah bermula. Cara dan gaya mengetengahkan manifesto masing-masing banyak bergantung kepada isi atau kandungan janji-janji yang munasabah. Pengerusi BN, Najib menyatakan dua minggu lalu BN sudah menunai semua janji PRU-13.

Semua ketua Bahagian parti dalam BN harus semak senarai dasar-dasar berkenaan dan bersedia memanjangkan apa-apa yang telah dicapai dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Jika ada dasar atau pengumuman yang masih belum dilaksanakan atau separuh terlaksana, mesti ada jentera menunaikan janji-janji itu.

Setakat ini Pas belum lagi mengemukakan manifestonya tentang GST, Tol, PTPTN, 1MDB, kos kehidupan yang meningkat tinggi dan lain-lain isu utama. Dalam perincian objektifnya, apa-apa yang dicadang untuk meringankan beban kepayahan hidup rakyat akan jadi popular. Jadi gara-gara menghapuskan Tol, GST, hutang PTPTN dan sebagainya akan dapat perhatian rakyat selain isu-isu jaminan pendapatan, pelajaran anak-anak, keselamatan dan lain-lain.

BN sebagai parti kerajaan yang jauh lebih menjangkau pengaruhnya harus membuat huraian dan penjelasan yang terperinci lagi mudah difahami mengenai manifestonya.

Suatu kenyataan sejarah – kedudukan incumbent seseorang perdana menteri dan pentadbirannya tidak mudah dicairkan dengan sengketa. Namun penting bagi para menteri supaya tidak bercanggah antara satu sama lain dalam mendepani isu-isu pilihan raya.

Tan Sri Dr. Rais Yatim ialah Penasihat Hal Ehwal Sosiobudaya Kerajaan Malaysia.