Krisis air Selangor sudah berlarutan sejak negeri itu jatuh ke tangan pembangkang dan nampaknya menjadi duri dalam daging kepada pembangunan negeri.

Kesannya bukan sedikit dan menimpa bukan sahaja kepada industri, menyebabkan kerugian berbilion ringgit, tetapi lebih menyedihkan menyebabkan rakyat kebanyakan yang sudah dihimpit pelbagai masalah semakin menderita.

Keadaan rumah, premis peniaga kecil bahkan masjid dan surau menjadi busuk dan berbau hancing. Pesakit yang memerlukan rawatan berasaskan air terpaksa menanggung azab.

Wabak dan penyakit seperti keracunan makanan dilaporkan semakin meningkat. Malah tong air pula semakin menjadi rebutan. Harganya melambung lebih mahal berbanding durian musang king!

Penderitaan ini telah menyebabkan rakyat terpaksa mengeluarkan wang poket sendiri untuk menampung keperluan keluarga masing-masing.

Semua inisiatif kerajaan negeri yang kononnya mahu membantu rakyat menjadi sia-sia. Perbelanjaan dan kerugian berganda-ganda dan lebih besar ditanggung rakyat berbanding inisiatif yang disediakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketika semua rekod buruk ini terpampang di depan mata, apakah khususnya rakyat Selangor boleh mempercayai manifesto pakatan pembangkang ini sekali lagi?

Setiap kali menjelang pilihan raya umum, mereka datang menabur bulan dan bintang. Antara janji di dalam manifesto itu ialah mahu menghadkan tempoh kuasa jawatan tertinggi seperti perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri.

Anehnya, janji itu dikatakan tidak terpakai di Pulau Pinang buat masa sekarang walaupun Lim Guan Eng sudah memegang jawatan selama dua penggal —bersamaan sepuluh tahun.

Begitulah sandiwara pakatan pembangkang. Mereka nampaknya mahu menjamin kelangsung Guan Eng menjadi ketua menteri untuk tempoh dua penggal lagi.

Hanya dengan cara itu, tempoh keseluruhan Guan Eng sebagai ketua menteri bakal menjadi 20 tahun!

Janji dongeng

Helah dan tipu daya wujud dalam banyak janji yang dilaungkan mereka. Antaranya adalah subsidi minyak bersasar.

Maknanya hanya golongan yang layak akan mendapat subsidi berkenaan. Cara ini lebih berbahaya. Sudah tentu akan berlaku pula kes ketirisan yang serius apabila ada yang memperdagangkan hak subsidi minyak.

BR1M ternyata jauh lebih baik di mana penerimanya boleh berbuat apa sahaja dengan wang yang diterima tanpa menjual kembali sesuatu untuk mengaut keuntungan mudah.

Kita masih ingat bagaimana orang kampung pada dekad 1980-an menjual baja subsidi untuk membeli beras. Kes sedemikian pasti akan berulang di bawah pakatan pembangkang.

Bahkan skim peduli sihat yang dilaksanakan di Selangor sudah menunjukkan kegagalan, tetapi mahu pula dilaksanakan di peringkat nasional.

Sudah ada laporan dan rungutan kerana pihak klinik swasta mengenakan bayaran tinggi apabila merawat pesakit yang menggunakan kad peduli sihat.

Akhirnya yang mengaut keuntungan besar adalah pihak swasta dan bukannya rakyat yang memerlukan. Dasar populis begitu tidak akan menyelesaikan masalah sebenar dalam aspek kesihatan rakyat.

Jalan yang ada ialah memperluaskan rangkaian klinik kesihatan atau menaik taraf klinik desa, misalnya menjadi klinik komuniti sepertimana yang dilakukan oleh pentadbiran Putrajaya sekarang.

Banyak sekali janji bulan bintang pakatan pembangkang yang sebenarnya hanyalah dongeng ketika mereka yang mahu merampas kuasa. Apabila berkuasa nanti, apa yang dikhuatiri berlaku ialah seperti krisis air di Selangor.

Paip menjadi kering berhari-hari dan tidak berkesudahan. Rakyat menderita, industri lumpuh dan pembangunan negara bakal terencat atau binasa sama sekali.

Penulis ialah Ahli Parlimen Sungai Besar.