MUTAKHIR ini banyak pihak membicarakan tentang mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang selama ini menjadi pegangan akidah umat Islam di negara ini. Dari segi fiqh, umum mengetahui bahawa pegangan rasmi umat Islam di Malaysia dan negara-negara rantau Asia Tenggara adalah mazhab Syafie.
Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah? Menurut Pengasas dan Pengerusi Pusat Pengajian Islam dan pondok Tahfiz Ar-Rifaie (Selangor), Ahmad Hafiz Mohd. Alwi Al-Bakaniyy, golongan yang bermazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah mereka yang mengikut al-Quran, al-Hadis, Ijmak Ulama dan Qias.
Kata Ahmad Hafiz lagi, Ahli Sunnah Wal Jamaah juga disebut dengan nama firqah an-najiyyah (golongan terselamat) berbanding golongan lain. Ini kerana akidah yang dibawa manhaj ini mengikut akidah para nabi dan sahabat.
Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah ini katanya dipelopori oleh dua orang imam terkenal iaitu Imam Abu Hassan Al-Asy’ari (Asy’ariah) dan Imam Abu Mansur Al-Maturidi (Maturidiyah).
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerjanya bertajuk: Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah Serta Ancamannya dan Peranan Pondok Dalam menyelesaikannya pada seminar Ahli Sunnah Wal Jamaah kali pertama 2017 anjuran Pertubuhan Kearifan Islam Malaysia di Dewan Inovasi, Universiti Tun Abdul Razak baru-baru ini.
Dalam kertas kerjanya itu, Ahmad Hafiz turut menyatakan seluruh ulama yang sezaman dengan Imam Abu Hassan Al-Asy’ari dan selepasnya berpegang kepada manhaj Asya’irah dalam ilmu akidah. Amat penting juga diketahui Imam Abu Hassan Al-Asy’ari tidak membawa sebarang pandangan baharu yang bertentangan dengan akidah Rasulullah SAW dan para sahabat sebaliknya manhaj yang dibawanya itu selari dengan akidah baginda.
Dalam pada itu, Profesor di Universiti Islam Negri Sultan Syarif Kasim, Riau, Profesor Dr. Sudirman M. Johan dalam pembentangan kertas kerjanya bertajuk: Fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah; Sumbangan Kearifannya Dalam Masyarakat Melayu Nusantara berkata, kedatangan Islam ke kawasan Nusantara telah dibawa oleh pedagang-pedagang Islam berbangsa Arab dari Yemen, India dan China bermula abad ketujuh.
Menurut Sudirman, selain menjalankan perniagaan pedagang tersebut turut menyebarkan Islam di kawasan Nusantara dan kesemua mereka ialah pendukung mazhab Asy’ariah (akidah) dan Syafie (fiqh).
“Terdapat juga pedagang-pedagang Arab yang tiba di Nusantara ini terutama yang tiba dari India dan China bermazhab Maturidyah dalam akidah dan Hanafi dalam fiqh. Tiada apa-apa perbezaan kerana kesemua mazhab ini adalah pendukung Ahli Sunnah Wal Jamaah,” ujar Sudirman.
Beliau berkata, hasil kesungguhan pedagang-pedagang itu menyebarkan Islam akhirnya berjaya menarik minat raja atau pemerintah untuk memeluk agama suci itu dan pada masa sama menyaksikan proses kemasukan beramai-ramai rakyat negeri berkenaan menganut Islam. Bermula saat itu juga katanya, Islam terus berkembang di kawasan Nusantara melalui manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sekali gus meruntuhkan kepercayaan-kepercayaan yang dianuti sebelum ini seperti Hindu, Buddha dan Animisme.
“Islam turut mengubah keseluruhan sistem pemerintahan dengan melakukan beberapa perubahan antaranya raja-raja mula menggunakan nama Islam. Sistem pemerintahan juga telah berubah kepada sistem kesultanan.
“Selain itu unsur-unsur Buddhisme, Hinduisme dan animisme dalam istana diganti dengan unsur-unsur Islamik. Begitu juga dengan upacara dan ritual kerajaan, semuanya diubah kepada acara agama yang berlandaskan kepada syariat Islam,” katanya lagi.
Dekan Institut Dunia Melayu dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Sidek Baba ketika membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk: Sumbangan Ahli Sunnah Wal Jamaah Dalam Pembangunan Institusi Keilmuan pula menyentuh tentang wujudnya golongan anti hadis yang jelas sesat dan terkeluar daripada manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, di Malaysia golongan anti hadis itu bernaung di bawah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Jemaah al-Quran Malaysia (JAM) yang kemudiannya dikenali sebagai Forum Iqra’. Gerakan itu dipimpin oleh Kassim Ahmad.
“Setelah diteliti pemikiran Kassim ini, dia banyak dipengaruhi oleh idea-idea Dr. Rashad Khalifa yang jelas memerangi sunnah. Gerakan yang dipimpin oleh Rashad (di Amerika Syarikat dan Eropah) ini bertujuan memesongkan sarjana-sarjana Barat yang memilih Islam sebagai agama mereka dengan menjauhkan mereka dengan dua sumber Islam yang utama iaitu al-Quran dan al-Hadis.
“Selain Syiah Imamiyyah fahaman liberal pluralis juga tidak selari dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Liberal pluralis mengambil pendekatan liberal terhadap Islam dan mentafsir al-Quran berdasarkan rasional semata-mata,’’ katanya.
Mengambil contoh Sisters in Islam, beliau berkata, gerakan liberal itu telah membuat tafsiran sendiri terhadap al-Quran walaupun jelas pemahaman mereka mengenai Islam amat terbatas dan itu yang menyebabkan berlakunya kekeliruan terutama dalam soal aurat.
Begitu juga, ujar beliau, kumpulan yang menggelarkan diri sebagai G25. Kumpulan itu dianggotai oleh bekas pegawai kanan awam kerajaan. Sebelum ini kumpulan tersebut telah membuat kenyataan kontroversi mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan.
Justeru beliau mahu proses pengilmuan harus kembali kepada pendekatan tradisi yang merujuk pandangan ulama muktabar dalam merintis pemahaman Islam lebih syumul melalui manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Jawi tidak pilih kasih