Justeru, nikmat cuti sekolah ini sesuatu yang cukup tinggi nilainya kepada anak-anak kita. Namun persoalan yang sering timbul sejauh mana ibu bapa dapat manfaatkan cuti sekolah ini? Apa perancangan untuk anak-anak sepanjang cuti persekolahan yang panjang ini?

Sewajarnya cuti sekolah seperti ini perlu dimanfaatkan ibu bapa terutama untuk menggunakan setiap masa yang ada bagi merapatkan hubungan kasih sayang dan kekeluargaan. Hal ini penting kerana rutin kehidupan harian masing-masing terlalu sibuk dengan urusan sendiri. ­

Misalnya, ibu bapa sibuk dengan urusan kerja dari awal pagi hingga ke lewat malam sehingga kadang-kadang tidak sempat untuk bertegur sapa dengan anak.

Dalam keadaan ini, mana ada ruang untuk bersama dengan anak-anak. Anak-anak juga kelihatan terlalu sibuk dengan urusan persekolahan dari pagi hingga ke petang dan kemudiannya disambung pula dengan kelas tambahan pada waktu malam serta urusan kerja sekolah.

Maka musim cuti sekolah seperti inilah kita patut ambil peluang dan ruang sebaik mungkin agar dapat me­luangkan masa bersama supaya hubungan kekeluargaan itu bertambah erat. Ini tidak bermakna kita perlu mengeluarkan wang ringgit yang banyak untuk keluar bercuti dan sebagainya.

Bagi yang mampu, bolehlah meneruskan aktiviti percutian dengan perancangan baik namun bagi yang kurang berkemampuan itu bukanlah penghalang untuk merapatkan hubungan kekeluargaan.

Banyak lagi cara yang boleh digunakan untuk mengeratkan hubungan, sekali gus menggembirakan anak-anak. Bagi penulis apa yang paling penting adalah kesanggupan untuk meluangkan masa berkualiti bersama mereka.

Untuk itu eloklah ibu bapa menggunakan cuti tahunan yang ada untuk bercuti dan melayan kerenah anak-anak buat seketika sebelum kembali sibuk Januari nanti. ­Percayalah! kerja di pejabat tidak akan dan tidak pernah selesai, justeru ambil masa untuk rehatkan diri dan kurangkan tekanan seterusnya menggembirakan hati anak-anak dan keluarga.

Di samping itu, kita juga boleh merancang aktiviti-aktiviti menarik sepanjang cuti ini. Misalnya oleh kerana cutinya agak panjang, boleh juga difikirkan untuk menghantar anak-anak ke program ataupun kem cuti sekolah yang dianjurkan oleh pelbagai pihak supaya di samping mengisi masa lapang, mereka juga dapat memantapkan pelbagai ilmu dan kemahiran tambahan.

Antara kem bermanfaat adalah kem motivasi, kem ibadat, klinik sukan, kursus bahasa atau ICT serta belajar berenang. Ini adalah antara aktiviti pengisian waktu cuti yang cukup baik daripada membiarkan anak-anak menghadap televisyen mahupun tablet 24 jam sehari ataupun terbabit dengan aktiviti luar yang tidak berfaedah dek pengaruh rakan-rakan.

Pada masa sama, kita juga boleh ambil peluang ini untuk membawa anak-anak pulang ke kampung menziarahi ibu bapa mahupun ahli keluarga lain bagi merapatkan lagi hubungan silaturahim.

Apapun bagi sesetengah golongan pelajar tahun baharu kelak pula bakal menjanjikan cabaran yang cukup genting misalnya perlu menghadapi peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mahupun Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Bagi yang baru sahaja dapat keputusan UPSR pula pastinya menunggu dengan penuh debaran untuk memasuki alam baru iaitu sekolah menengah yang bakal menyediakan pelbagai lagi cabaran dan pengalaman untuk sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

Sementara itu, bagi mereka yang tamat sepenuhnya sesi persekolahan seperti pelajar SPM mahupun STPM pula pastinya sudah mula memikirkan dua perkara utama iaitu pertama, apa aktiviti mahupun kerja yang hendak dibuat sementara menunggu keputusan peperiksaan. Apa pula hendak dibuat selepas keputusan peperiksaan sama ada akan ada peluang untuk terus sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi ataupun bakal berakhirnya waktu belajar dan perlu mencari kerja untuk meneruskan kehidupan jika keputusan tidak memberangsangkan.

Dalam pada itu penulis juga ingin menarik perhatian ibu bapa agar jangan sesekali mengabaikan keselamatan anak-anak sepanjang musim cuti ini. Seperti yang sedia maklum sekarang adalah musim tengkujuh dengan masalah hujan lebat dan banjir di beberapa buah negeri di seluruh negara.

Justeru, pastikan anak-anak sentiasa dikawal. Sudah terlalu banyak kejadian mati lemas membabitkan anak-anak terutamanya ketika musim cuti sekolah dilaporkan sebelum. Jadi diharapkan kita dapat elak tragedi seperti ini berulang.

Secara umumnya cuti sekolah adalah masa terbaik untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Gunakanlah ruang ini untuk membina keluarga yang harmoni dan bahagia. Luangkan sebanyak mungkin masa bersama anak-anak agar mereka dapat merasakan nilai kasih sayang kita kepada mereka. Jangan biarkan cuti sekolah ini berlalu pergi sama seperti hari-hari biasa lain.

PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).