Antara keistimewaan Ramadan ialah turunnya al-Quran yang merupakan petunjuk dan panduan kepada umat manusia sejajar dengan Firman Allah SWT yang bermaksud, “Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan kete­rangan yang membezakan (antara yang hak dan yang batil).” (Surah Al-Baqarah: 185)

Kita perlu mengetahui bahawa kemahiran membaca atau menghafaz al-Quran semata-mata bukanlah menjadi matlamat utama. Sebaliknya, al-Quran yang merupakan mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW diturunkan oleh Allah SWT secara berperingkat melalui malaikat Jibril bertujuan untuk dihayati dan diamalkan oleh semua manusia terutamanya kepada umat Islam kerana beriman dengan kitab Allah SWT merupakan salah satu daripada Rukun Iman.

Begitupun kita hendaklah mempunyai azam dan semangat untuk berusaha mempelajari, membaca dan menghafalnya kerana dengan membaca al-Quran, dapat membersihkan jiwa dan meningkatkan keimanan serta ketakwaan kita kepada Allah SWT. Apatah lagi jika seseorang itu dapat membaca al-Quran dan juga khatam sepanjang Ramadan ini kerana ganjaran amal ibadah yang dilakukan dalam bulan yang mulia ini sangat istimewa di sisi Allah SWT.

Dalam bulan yang mulia ini juga, kita seharusnya berusaha untuk memperbanyakkan membaca ayat-ayat suci Allah SWT itu dan mempelajari sekiranya kita tidak mengetahuinya. Ada tiga golongan manusia yang dapat dilihat dan dikaitkan dengan al-Quran di dalam bulan Ramadan ini. Golongan pertama ialah mereka memanfaatkan setiap masa yang terluang dengan membaca al-Quran dan memahami makna bacaannya. Golongan kedua ialah mereka yang membaca al-Quran mengikut waktu-waktu yang tertentu sahaja. Bagi golongan ketiga pula, mereka langsung tiada masa dengan al-Quran kerana kesibukan hal dunia. Oleh itu, sebagai seorang yang beriman seharusnya kita mengetahui golongan mana yang mesti dipilih bagi memastikan Ramadan kita tidak disia-siakan pada tahun ini.

Agama Islam bukan hanya menggalakkan umatnya membaca al-Quran, malah lebih daripada itu sehingga segala larangan dan suruhan yang dinyatakan di dalam­nya dapat dituruti dan dipatuhi oleh semua manusia. Dari zaman Rasulullah SAW sehingga kini, al-Quran menjadi rujukan dan sumber utama umat Islam. Segala intipati di dalamnya adalah muktamad dan jika tidak dituruti, bukan sahaja berdosa malah dikhuatiri akan tergelincir akidah seseorang itu.

Peristiwa nuzul al-Quran yang berlaku pada malam 17 Ramadan sewajarnya diingati peristiwa ini oleh umat Islam. Peristiwa ini juga membuktikan bahawa Ramadan merupakan bulan al-Quran yang perlu dimanfaatkan oleh seluruh umat Islam. Benarlah dan yakinlah bahawa al-Quran ini adalah sumber hidayah manusia bagi kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat tambahan lagi ia diturunkan di dalam bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan Allah SWT.

Bacalah al-Quran itu tanpa mengira usia muda atau tua, siang atau malam, pagi atau petang dan waktu lapang atau sempit kerana al-Quran itu akan memberi syafaat kepada kita sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, ”Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” (Riwa­yat Muslim). Justeru, amat rugi bagi mereka yang langsung tidak membuka apatah lagi membaca al-Quran di dalam bulan ini kerana Ramadan merupakan bulan amal ibadah dan bulan rahmat kepada seluruh umat Islam. Tambahan lagi pada Ramadan ini, setiap kalimah suci ayat-ayat al-Quran yang keluar dari bibir orang yang beriman pastinya diberikan ganjaran pahala berganda. Dengan sebab itu, Allah SWT menurunkan al-Quran khusus sebagai panduan kehidupan bagi manusia agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan tergolong dalam golongan orang-orang yang sesat.

Sebagai hamba Allah yang beragama Islam, kita wajib bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan di dunia ini dalam meniti perjalanan ke akhirat kelak. Kita perlu berusaha menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup dan teman kita setiap masa bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhi­rat. Jangan biarkan kehidupan kita terutamanya di dalam bulan Ramadan ini kosong tanpa al-Quran kerana ia akan memberikan kesan negatif kepada diri kita secara keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu, seharusnya kita berusaha memanfaatkan dan mengamalkan segala isi kandungan di dalam al-Quran kerana ia adalah manfaat dan faedah pa­ling utama dan besar yang akan dinikmati serta diperoleh daripada setiap ayat al-Quran tersebut setelah kita memahami isi kandungannya. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Maka apakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran.” (Surah Muhammad: 24)

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), UiTM Cawangan Johor.