Memang sepatutnya rakyat Malaysia turut berasa bangga kerana Broadcom yang bernilai lebih dari AS$420 bilion itu turut menggaji lebih dari 15,000 pekerja dengan separuh daripadanya berada di California, AS. Malah September lalu, Broadcom telah menubuhkan pusat logistik glo­bal di Pulau Pinang dengan jangkaan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion.

Perpindahan Broadcom yang hanya melibatkan alamat ibu pejabat syarikat tersebut dan ia dianggap sebagai keputusan perniagaan yang strategik kerana Hock Eng mempunyai perancangan untuk mengambil alih syarikat telekomunikasi Brocade Communications Systems yang berpusat di AS. Ini adalah kerana jika Broadcom berpangkalan di AS, maka ia akan memudahkan proses pengambilalihan kerana tidak akan dikawal selia oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing, Kongres AS.

Paling menarik adalah pengumuman perpindahan ini dilakukan di White House bersama-sama dengan Presiden AS, Donald J. Trump kerana Broadcom yang beralamat ibu pejabat di AS akan memberi pulangan kewangan sebanyak RM80 bilion kepada ekonomi Amerika. Trump pula boleh mendabik dada kerana ini adalah usaha kejayaan beliau mengembalikan pekerjaan kepada rakyat Amerika.

Sebab itu tidak memeranjatkan semasa pengumuman tersebut, Hock Eng menegaskan, perpindahan Broadcom adalah cara beliau untuk membalas kembali budi AS yang telah memberi peluang dengan membiayai pendidikan beliau di Massachusetts Institute of Technology (MIT) pada 1971.

“Ibu bapa saya tidak mampu untuk menanggung pembiayaan pengajian saya ke kolej, apatah lagi MIT. Sehingga hari ini, saya berasa ia sesuatu yang menakjubkan... institusi pendidikan AS sanggup memberi saya peluang dengan menawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dan mengejar impian di AS,” tegas Hock Eng lagi dengan Trump tersenyum lebar di belakang beliau.

Mengapa Hock Eng menyelit dalil perpindahan Broadcom itu ada kena mengena sejarah pendidikan beliau di MIT adalah tidak lebih untuk melahirkan perasaan terhutang budi dan strategi ini sebenarnya amat berketepatan bagaimana Trump mentadbir AS. Rakyat Malaysia tidak mempunyai sikap sinis atau prejudis terhadap Hock Eng kerana apa yang diungkapkan adalah dianggap sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan apabila berhadapan dengan pemimpin seperti Trump.

Tetapi ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Trump tiga minggu lalu dan menyatakan beliau membawa pelaburan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional untuk dilaburkan di AS dan juga menegaskan Penerbangan Malaysia Berhad (MAB) akan membuat perolehan beberapa pesawat dari Boeing, ada sekumpulan rakyat Malaysia memandang serong kenyataan dan tindakan Perdana Menteri.

Sinis kerana dipersoalkan mengapa perlu KWSP dan Khazanah melabur di AS kerana sepatutnya pelaburan tersebut dilakukan di dalam negara pada pendapat kumpulan ini. Maka, manfaatnya akan dinikmati oleh rakyat Malaysia. Begitu juga kumpulan yang sama ini juga membuat andaian pembelian pesawat Boeing adalah sengaja dilakukan untuk memenuhi kehendak pertemuan kedua-dua pemimpin.

Walaupun kumpulan yang membuat tuduhan semberono ini akur bahawa KWSP dan Khazanah sering membuat pelaburan di luar negara dan ini adalah salah satu strategi perniagaan kedua-dua agensi tersebut, tetapi kumpulan ini tetap berpegang dengan kritikan mereka. Begitu jua dengan setiap keputusan perolehan pesawat oleh setiap syarikat penerbangan termasuk MAB memerlukan perancangan dan penelitian jangka panjang, sengaja tidak diambil kira oleh kumpulan tersebut kerana MAB sememangnya sudah membuat perancangan perolehan pesawat tersebut dari awal lagi.

Jika hendak dibandingkan di antara dua senario iaitu kenyataan Hock Eng mengenai perpindahan Broadcom dan juga kenya­taan Najib berkaitan pelaburan dari Malaysia untuk AS, kedua-dua peristiwa tersebut mendapat reaksi yang bertentangan. Tetapi oleh kerana dipengaruhi oleh ideologi politik, maka satu perkara yang dianggap mempu­nyai strategi yang agak pintar telah dengan sengaja diputarbelitkan.

Jika rakyat Malaysia berasa bangga dengan Hock Eng yang menerajui Broadcom bukan sahaja sebagai antara syarikat semikonduktor terbesar di dunia, tetapi juga bijak menilai strategi perniagaan untuk memudahkan beliau mengambil alih syarikat lain di AS di samping ‘mengum­pan’ Trump dengan puji-pujian, maka sudut yang sama juga perlu dinilai apabila Najib mengutarakan usul pelaburan di hadapan Trump.

Jika konsep kritikan terhadap Najib diguna pakai terhadap Hock Eng, maka secara logiknya rakyat Malaysia sepatutnya mempersoalkan mengapa Hock Eng yang hanya menubuhkan pusat logistik di Pulau Pinang itu tidak pula membuat keputusan memindahkan ibu pejabat di Singapura ke Malaysia?

Jawapannya adalah agak mudah kerana kumpulan yang mengkritik Najib menilai langkah ini akan memberi manfaat politik kepada mereka dan jika kumpulan yang sama ini mengkritik Hock Eng, ia sebenarnya tidak akan memberi apa-apa nilai manfaat politik.