Persijilan halal juga kini pen­ting untuk mengeksport sesuatu produk ke luar negara terutama­nya pada masa ini ketika negara-negara bukan Islam juga berminat dengannya. Hal ini kerana persijilan halal turut meyakinkan orang bukan Islam untuk menggunakan sesuatu produk terma­suklah dalam hal kebersihannya.

Persijilan juga penting jika melibatkan sesuatu sistem pengurusan misalnya bagi mengukur kualiti sama ada benar-benar teratur dan sistematik agar pihak berkepen­tingan, pelanggan dan pemegang taruh berpuas hati atas perkhidmatan yang ditawarkan oleh sesuatu organisasi. Perkhidmatan yang tidak menerima sebarang persijilan pengurusan kualiti menggambarkan bahawa perkhidmatan yang diberikan belum mendapat pengiktirafan atau tidak dapat disahkan berkualiti dan mampu memuaskan hati pelanggan.

Ini sudah tentu boleh memberi kesan kurang baik sehingga menjejaskan imej dan reputasi organisasi tersebut. Akhirnya, akan berlakulah pengurangan pelanggan secara mendadak sehingga akhirnya organisasi tersebut terpaksa gulung tikar terutamanya bagi yang beroperasi berasaskan keuntungan. Apabila ini berlaku, para pekerja akan kehilangan pekerjaan.

Bayangkan jika begitu banyak organisasi mengalami kegagalan gara-gara kualiti perkhidmatan yang dipersoalkan, maka, rantaian kesannya bermula daripada para pekerja terpaksa diberhentikan, akhirnya, ekonomi negara juga akan turut terjejas. Pihak asing tidak berani melabur.

Satu lagi aspek persijilan yang jarang diperkatakan meskipun amat penting adalah persijilan pengurusan hutan. Persijilan pengurusan hutan kini semakin penting bagi menggambarkan kewibawaan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar. Hutan-hutan yang diberikan persijilan menunjukkan bahawa amalan pengurusan lestari telah disahkan oleh juruaudit luar. Dengan ini, hutan-hutan yang diberikan sijil oleh badan persijilan yang diiktiraf memiliki kelebihan ekonomi oleh kerana telah mematuhi piawaian alam sekitar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa terlibat.

Masyarakat dunia kini ter­utamanya negara-negara maju semakin berminat dan prihatin terhadap kepentingan pengurusan hutan yang baik, yang mendapat pengiktirafan melalui persijilan. Ini juga bermaksud perlindungan terhadap kepelbagaian bio telah diurus dengan lebih baik lagi. Sayugia diingatkan, ini adalah cara yang lebih jelas menggambarkan negara-negara pengeluar produk hutan telah menjalankan tanggungjawab sosialnya untuk ge­nerasi masa hadapan. Tambahan lagi, sesetengah negara pengguna kini cukup mementingkan persijilan pengurusan hutan dalam sebarang keputusan pembelian.

Di Malaysia, Petunjuk dan Kriteria Malaysia bagi Persijilan Pengurusan Hutan (MC & I) 2002 yang berasaskan prinsip dan kriteria bagi Forest Stewardship Council (FSC) telah diperbaharui bersesuaian dengan pelaksanaannya sebelum ini. Kini, FSC digantikan dengan MC & I (Hutan Semula Jadi) di bawah Program untuk Pengesahan bagi Skim Persijilan Hutan (PEFC) melalui Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) yang terpakai sejak 2013.

Amalan pengurusan hutan yang baik melalui persijilan pengurusan hutan memberi kesan besar terhadap kelestarian pengurusan hutan di Malaysia. Amalan persijilan secara kese­luruhannya adalah satu ka­edah untuk memantau, mengawas dan mengekalkan prestasi amalan pengurusan hutan yang terbaik. Selain itu, sebarang penambahbaikan terhadap kelemahan dalam pengurusan hutan juga memberi manfaat kepada kelestarian hutan-hutan di Malaysia. Tidak kurang juga, produk-produk hutan di Malaysia terutamanya yang berasaskan balak boleh menembusi pasaran Eropah yang cukup mementingkan aspek “kehijauan” produk-produk berkenaan.

Justeru, sama ada sijil pengurusan hutan yang disahkan oleh FSC atau MTCS, ia wajar dikuatkuasakan kepada seluruh hutan di Malaysia untuk memastikannya dilestarikan demi manfaat kini dan masa hadapan. Malah, wajar dijadikan sebagai amalan mandatori di Malaysia dan bukan setakat secara sukarela yang akan menjejaskan jumlah hutan di negara kita. Lebih-lebih lagi Malaysia kini mengorak langkah menggubal Transformasi Nasio­nal 2050 (TN50) maka, tidak wajar Malaysia bergelar negara maju dalam banyak perkara tetapi pada masa sama, hutan-hutannya habis digondolkan.

Apa yang penting di sini, Malaysia perlu komited untuk mengekalkan sekurang-kurang­nya 50 peratus kawasan hutan dan pokok sebagaimana yang diikrarkan di bawah Persidangan Bumi Rio 1992. Selamatkan hutan kita demi masa hadapan!

DR. ROHAMI SHAFIE adalah Pensyarah Kanan TISSA, Universiti Utara Malaysia dan memiliki pengalaman luas dalam bidang persijilan pengurusan hutan dan kelestarian alam sekitar, piawaian kualiti, bioteknologi, kepelbagaian bio dan teknologi hijau.