Mungkin akan ada yang pantas mencelah, apakah yang gergasi, kerana kedua-dua kelab kini berebut kedudukan kedua dalam carta liga. Manchester City sudah jauh meninggalkan yang lain untuk meraih juara liga musim 2017/2018 ini.

Bagi pengikut bola, gergasi yang dimaksudkan ialah bukan sahaja daripada aset kelab tetapi juga bilangan penyokong yang berjuta-juta di seluruh dunia, malah mereka yang bukan penyokong MUFC dan LFC pun, akan terdorong untuk menonton.

Manchester City memang sebuah kelab kaya dengan 11 pemain di bangku simpanan bersamaan nilai 11 pemain di atas padang. Kelab ini sangat kuat kerana kemampuan menarik pemain berkaliber menyertainya dengan duit minyak pemilik Arab.

Namun, definisi gergasi tidak mungkin dapat diperoleh Manchester City setakat ini. Contoh paling mudah ialah walaupun menewaskan Arsenal dua kali berturut-turut selang beberapa hari, kemenangannya tidak menjadi topik perbualan.

Yang ramai orang memperkatakan ialah nasib Arsene Wenger. Ironi bukan? Yang kalah pula jadi tumpuan. Dunia seakan-akan buat tidak tahu apa Manchester City buat.

Jadi kembali kepada tajuk Merrepak hari ini. Kenapa Manchester United dan Liverpool saling membenci?

Terdapat banyak artikel sudah ditulis oleh penulis sukan Inggeris, buku dan artikel di internet yang mendokumentasikan sejarah perseteruan kedua-duanya. Kita akan menyentuh serba sedikit aspek ini sebentar lagi.

Soalan paling relevan di sini ialah bagaimanakah sentimen perseteruan MUFC dengan LFC boleh merebak, berjangkit, menular pula kepada kita di Malaysia?

Secara jujurnya tanpa male fide, saya secara peribadi tidak secara mendadak mengisytihar diri sebagai penyokong LFC, lalu secara automatik membenci MUFC. Tidak.

Mana boleh. Ketika awal-awal mengikuti secara khusyuk liga Inggeris selepas melanggan tv satelit pada pertengahan 1990-an dulu, saya geram terhadap Leicester kerana suka main kasar.

Manchester United ketika itu, memang handal tetapi belum mendatangkan kegeraman sangat. Hanya bila kedua-dua pasukan bertembung, baharu dapat disaksikan suasana sangat tegang di dalam stadium dan antara pemain.

1. Alex Ferguson

Lazimnya, yang mendatangkan kemarahan dan rasa meluat ialah kenyataan-kenyataan provokasi daripada pengurus pasukan masing-masing. Sir Alex Ferguson adalah pakar dalam provokasi dan permainan psikologi.

Ini ada masanya menjadi senjata sulit kepada kekentalan MUFC, selain keupayaan pasukannya memenangi perlawanan waima dengan margin satu gol sahaja.

Ferguson dari 1986 hingga 2013 memegang rekod sebagai pengurus paling berjaya MUFC, dan merupakan legenda kelab dengan rekod 38 kejuaraan, merangkumi 13 juara Liga Perdana, lima Piala FA dan dua Piala Juara-Juara Eropah.

2. Liverpool sebelum Klopp

Kelab ini memenangi Piala Juara-Juara Eropah yang kelima pada 2005 di bawah kendalian Rafa Benitez, satu rekod yang belum dapat disaingi oleh kelab Inggeris yang lain, dengan MUFC sekadar tiga kali.

Liverpool mencuba ramai pengurus seperti Gerrard Houllier dan Rafa Benitez, termasuk legenda Kenny Dalglish tetapi tidak kekal sebelum mendapat khidmat Brendan Rodgers yang hanya kekurangan 2 mata untuk menjuarai liga 2013-14.

Pemecatannya menyaksikan kemunculan Jurgen Klopp yang mengubah landskap Liverpool yang kini memiliki barisan penyerang yang telah menyumbat 103 gol setakat minggu lalu, musim ini.

3. Pemain

Rasa meluat itu melimpah kepada kalangan pemain. Ketika Wayne Rooney berhijrah dari Everton ke Old Trafford, tahap geram itu naik lagi kerana secara teknikalnya, Rooney adalah anak jati Liverpool, seorang Scouser Biru.

Sebagai rekod, walaupun di peringkat kelab Rooney mendapat 'layanan keras’ daripada pertahanan Liverpool, di peringkat negara mereka adalah satu unit yang kuat.

Semua tahu Steven Gerrard dengan Rooney adalah kawan baik. Malah, adik Rooney merupakan 'geng’ seperminuman Gerrard.

4. Ditunggu-tunggu

Sebelum melawan Chelsea minggu lepas, Mourinho selamba mengetepikan kepentingan perlawanan itu. Ini kerana kata beliau, perhatian kelab dan penyokong adalah kepada perlawanan MUFC dengan LFC.

Bunyi seakan-akan berlagak dan memperlekehkan Chelsea (yang kemudiannya berjaya ditewaskan!). Hakikatnya, Mourinho bercakap benar. Bekas pemain MUFC, Gary Neville yang kini menjadi pengulas, menjelaskan perasaannya. “Ia berlainan daripada Chelsea. Malah berbeza daripada City. Ia hampir kepada suatu pengalaman di luar sedar. Ketegangan sangat mendalam.

“Ini adalah perlawanan yang telah berada dalam minda anda sejak dua minggu lalu. Di hadapan minda anda minggu lepas, dan menumbuk tepat ke hidung antara sejak tiga hari lalu. Jika anda menewaskan Liverpool, ia akan menjadi hari paling indah dalam musim ini. Jika kalah, ia adalah paling teruk!,’’ kata Neville.

Bagi kebanyakan penyokong Liverpool, mungkin Manchester United boleh menewaskan mereka, jika pasukan bimbingan Mourinho itu tidak mengamalkan taktik meletak bas di hadapan gawang gol seperti di Anfield, 14 Oktober 2017.

Kali ini di Old Trafford, dan dengan baki perlawanan tidak sampai 10 untuk mengesahkan kedudukan tangga kedua, Mourinho dijangka akan menyerang dan menyerang untuk meraih tiga mata.

Atas faktor ini jugalah, pertembungan kedua-dua pasukan ini amat dinanti-nantikan oleh semua peminat bola di seluruh dunia. Kami di Utusan Melayu, amat bertuah kerana menerima kepercayaan sekali lagi penaja global Liverpool, Standard Chartered Bank untuk menganjurkan acara menonton perlawanan bertempat di Dewan Utusan, ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad pada 10 Mac ini.

Kejayaan penganjuran acara serupa pada 14 Oktober 2017, telah memberi keyakinan kepada Standard Chartered Bank untuk kembali. Walaupun terus-terang saya pada awalnya ketika ditanya oleh Ketua Hal Ehwal Awam & Keberkekalan bank Mastura Adnan, agak keberatan melakukannya.

Berat bukannya apa. Berat sebab sebagai peminat, saya mahu menikmati perlawanan sepuas-puasnya. Bila ada acara ini, bermakna saya kena 'bertugas'. Tetapi tidak mengapalah. Jumpa anda di sana nanti. Syarat-syarat penyertaan ada pada poster.