Beberapa minggu lalu dan sehingga kini masih belum selesai isu larangan memakai tudung oleh pihak hotel terhadap pekerja wanita Islam yang bekerja di bahagian hadapan (frontline) sebagai penyambut tetamu, kaunter atau pegawai khidmat pelanggan.

Kononnya alasan yang diberikan ialah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan polisi amalan antarabangsa. Maka pelbagai reaksi bergema. Antaranya, ia bertentangan dengan Perkara 3 (1) dan Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan dan hak kebebasan beragama.

Malah ia juga dianggap sebagai kurang ajar kerana jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu. Alhamdulillah, sensitiviti terhadap kewajipan berhijab telah meningkat berasaskan kepada roh perlembagaan itu.

Penulis yang bukannya pakar perundangan tidak berminat untuk mengulas lanjut mengenai selok-belok perlembagaan itu. Cuma terdapat sesuatu yang terbuku dalam hati dan telah dipendamkan sejak sekian lama.

Langsung tidak salah untuk kita bangkit apabila ada cubaan menggugat Perlembagaan Persekutuan tetapi bagaimana pula ketaatan kita kepada Perlembagaan Allah, pemilik mutlak alam semesta ini?

Perintah Allah untuk berhijab bukannya terhad semasa berada di kaunter depan hotel sahaja tetapi pada setiap masa kecuali waktu-waktu khusus yang dibenarkan syarak. Semua umat Islam tahu bahawa ia adalah perkara wajib dalam ajaran agama.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir yang langsung tidak berasa ralat apabila melanggar Perlembagaan Allah itu. Rileks sahaja, macam Allah itu kawan-kawan dibuatnya!

Agak pelik apabila terdapat juga yang berhijab secara berpilih-pilih. Dipakainya semasa mengunjungi masjid, tunai umrah dan haji di Mekah serta hadiri majlis-majlis agama sahaja. Keluar sahaja daripada kawasan itu, rambut kembali dibiarkan menggerbang.

Jangan anggap malaikat pencatat amalan hanya berada di kaunter depan hotel dan kawasan tertentu sahaja. Makhluk Allah itu tidak pernah berehat daripada melakukan audit.

Sebenarnya amalan berpilih-pilih ini amat bahaya kerana secara tidak langsung menyemarakkan budaya ketirisan integriti. Misalnya, ambil rasuah bila tiada pihak berkuasa melihat, memecut laju melebihi had laju di le­buh raya apabila jauh daripada kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), pelajar meniru dalam peperiksaan apabila pengawas sedikit leka, pekerja ‘mengular’ semasa ketiadaan majikan dan seterusnya.

Bagi penulis, tindakan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang melakukan diskriminasi kepada pekerja wanita Islam itu memang kurang ajar dan tidak bertanggungjawab, namun pada masa sama ia juga mempunyai sisi positif ­iaitu boleh dianggap sebagai satu wake-up call kepada umat Islam.

Selain perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan, Melayu Islam juga wajib mentaati Perlembagaan Allah pada setiap masa tanpa sebarang takwil, ia amat penting bagi mengelak daripada diberikan ‘surat tunjuk sebab’ dan seterusnya dikenakan tindakan jika tidak bertaubat.

Berhijab atau menutup aurat juga mempunyai kaedahnya. Bukan sekadar balut sahaja. Contohnya, seperti mi sup, memang menjadi budaya Melayu menggunakan tangan untuk menikmati hidangan. Soalnya, adakah mi sup yang panas boleh dimakan menggunakan tangan kosong? Begitu juga dengan aurat wanita. Batasannya adalah sama seperti semasa solat iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan yang wajib ditutup serta tidak ketat hingga menampak susuk tubuh.

Namun terdapat segelintir wanita yang seperti terlupa untuk menutup sepenuhnya aurat khususnya kaki. Bermula dari atas, kepala ditutup elok dengan tudung. Bajunya juga tidak ketat tetapi malangnya kaki dibiarkan ‘bogel’. Kaki pada setiap masa adalah aurat dan ia tiada pengecualian. Bukan mahal pun jika stoking atau sarung kaki hendak dibeli. Jika tidak mampu, manfaatkan harga diskaun pada musim jualan akhir tahun ini.

Itulah rasional daripada permintaan penulis pada permulaan dimensi ini. Tepuk dada tanyalah iman.