Mana Sikana atau nama sebenarnya Dr. Abdul Rahman Napiah,71, beralih kepada aliran baru yang lebih bersifat avant-garde seperti dipelopori Jean Paul Sartre, Samuel Beckett dan Albert Camus semasa beliau melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1977.

Pensyarahnya ketika itu, Profesor Dr. Muhamad Haji Salleh merupakan tokoh yang bertangggungjawab memperkenalkan aliran unrealisme, simbolisme dan yang berbentuk falsafah.

“Profesor Muhamad Haji Salleh meminta saya supaya jangan menulis karya realisme atau berlandaskan dunia realiti. Beliau minta saya tulis karya yang lebih sofistikated," katanya.

Muhamad Haji Salleh turut meminta beliau menterjemah karya-karya avant-garde dari Barat seperti James Joyce, Frank Kafka, Albert Camus dan Allian Robbe-Grillet.

Selain itu, beliau juga berkesempatan menelaah novel penulis Indonesia seperti Iwan Simatupang, Putu Wijaya dan Ariffin C.Noer yang tergolong dalam karya absurd.

 

Setelah mempelajari pelbagai teori sastera bentuk baru di bawah bimbingan Prof. Muhamad Haji Salleh, maka lahirlah cerpen yang bersifat absurd antaranya Hipokondriakal (1975), Fakurdabakia (1976), Aqula (1980) dan Maaj (1982).

Cerpen Fakurdabakia diilhamkan selepas beliau mengambil kursus Bahasa Parsi selama dua tahun di UKM. Cerpen tersebut mengisahkan watak ‘aku’ yang berdiskusi sendirian tentang kehidupannya sebagai seorang manusia.

Hipokondriakal pula selepas disiarkan Dewan Sastera (1975) telah mendapat pelbagai reaksi sehingga menimbulkan polemik di akhbar-akhbar tempatan dan kalangan penulis veteran.

“Shahnon Ahmad antara pengarang yang menyambut baik percubaan saya ini. Meskipun cerpen Hipokondriakal beraliran absurd, surealisme dan eksistensialisme, tetapi ia diikat dan berisi dengan nilai-nilai keislaman,” katanya.

Cerpen Aqula pula mengenai pencarian seorang lelaki yang bernama Aqula yang tinggal di Pulau Barat, belayar ke Pulau Timur untuk menemukan kebenaran kata-kata: “Hidup ini seperti pulau ini, seperti alam ini, seperti dirimu sendiri.”

Selain cerpen, kekuatan Mana Sikana juga terletak pada drama. Dua buah drama iaitu Bunuh dan Azimat yang ditulis beraliran absurdisme berkaitan dengan konsep kuasa dan kenihilan (kekosongan).

Pada tahun 1978, beliau memenangi dua hadiah penghargaan dalam Pertandingan Menulis Drama Panjang anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui drama Mustaqima dan Santagodna. Pada tahun 1980, Mana Sikana memenangi hadiah ketiga Pertandingan Penulisan Skrip Drama Islam Sempena Sambutan Maal Hijrah ke- 15 melalui drama Hikmah.

Dua buah buku hasil selenggarannya menjadi buku teks drama bagi Kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Antologi Drama Pengadilan (1988-1992) dan Antologi Keris Laksamana Bentan (1992-1998).

Selain terkenal dengan cerpen dan drama, Mana Sikana turut meneroka novel berbentuk absurd, unsurealisme dan realisme magis, yang dihasilkan secara parodi, metafiksyen dan teks intertekstual dalam novel Ronjang (1986), Klimaks (1989) Kesesatan (1993) dan Syajar (1996).

Ronjang mendapat kritikan daripada Shahnon Ahmad sebagai novel terbaik pada tahun 1986. Klimaks merupakan sebuah novel absurd tentang eksistensialisme manusia. Kesesatan pula adalah novel intertekstual daripada cerpen Fakurdabakia dan Syajar ialah sebuah novel surealisme. Karyanya, Merdeka Merdeka turut dijadikan novel Komsas tingkatan tiga.

Kekuatan Mana Sikana juga terserlah dalam bidang kritikan dan pengembangan teori. Bukunya Teori Sastera Kontem­porari menjadi teori pegangan dan rujukan kepada banyak universiti di tanah air, termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia.

Buku ini menjadi buku teori pertama dalam bahasa Melayu yang memuatkan semua teori sastera moden dan pascamoden dan telah diulang cetak dengan penambahan sebanyak dua belas edisi.

Dua teori terpentingnya, Teori Taabudiyyah (1988) dan Teori Teksdealisme (1993) merupakan kemuncak pencapaiannya dalam usaha menyumbang ke arah pembentukan dan pengembangan teori sastera di Malaysia.

Kisah Tuah-Jebat, mengenai wira yang mempertahankan feudalisme dan seorang lagi memperjuangkan sifat-sifat revolusioner itu telah menghasilkan ‘Teori Teksdealisme’ bagi mengkaji keunggulan sesebuah karya sastera.

“Faktor yang menyebabkan Hikayat Hang Tuah itu begitu terkenal, ialah pertarungan Tuah-Jebat. Andainya tanpa pertarungan itu, Hikayat Hang Tuah tidak mempunyai daya tarikan besar," katanya.Sejujurnya, Mana Sikana telah memberikan sumbangan yang sangat berharga dan tinggi nilainya dalam konteks teori sastera, cerpen, novel dan drama absurd. Beliau ibarat sebutir bintang mutiara yang menerangi alam sastera Melayu. Sumbangan Sasterawan Perak (2004) ini wajar diberi pengiktirafan setaraf dengan anugerah Sasterawan Negara.