Sekali-sekala makanan jiwa pun kena isi sementara perut kosong. Barulah kita mampu bersabar daripada menahan kelaparan. Nanti puasa sia-sia, hanya dapat lapar dan dahaga.

Sebab itu Akak Cute sedih bila dapat tahu banyak kes cerai turut berlaku dalam bulan mulia ini. Mana perginya sifat sabar itu? Sepatutnya kalau dah berpuasa tu, tentu tidak tergamak untuk menceraikan isteri demi menghormati bulan Ramadan. Sebulan je pun, takkan tak boleh tunggu masuk bulan lain.

Akak Cute bukan mengalu-alukan korang bercerai. Tapi sekurang-kurangnya ada tempoh masa untuk berfikir sekalipun dah benci sangat dengan pasangan masing-masing. Walaupun penceraian itu adalah halal, namun ia merupakan perkara yang paling dibenci Allah.

Tengok saja kes terbaharu yang viral baru-baru ini. Rasa­nya semua tahu kontroversi rumah tangga antara penyanyi dan pelakon Aliff Aziz dan Bella Astilah. Mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 11 Ramadan lalu. Itu contoh kisah artis.

Satu lagi kes cerai melibatkan ustaz selebriti, PU Abu dan isterinya, Ain ‘Afini Latif yang telah disahkan bercerai talak dua. Ia berlaku pada 10 Ramadan lalu. Lebih menyedihkan kawan Akak Cute sendiri diceraikan pada tiga Ramadan lalu.

Bab bercerai ni dah tak kira siapa. Artis ke, selebriti ke ustaz ke. Mungkin jalan penceraian difikirkan jalan terbaik untuk kedua-dua pihak. Mereka seolah-olah terlupa dengan nasib anak-anak kalau dah ada zuriat. Anak-anak yang akan menjadi mangsa sedangkan amanah Allah tersebut perlu dijaga de­ngan baik. Aliff Aziz dan Bella sudah mempunyai anak ber­usia dua tahun, manakala Ain ‘Afini sedang sarat mengandung.

Dan kawan Akak Cute itu ditinggalkan dengan dua anak yang masih kecil. Ketiga-tiga kes itu semuanya dikatakan berpunca daripada suami yang curang. Di mana perikemanusiaan lelaki semata-mata mahu membina kebahagiaan atas penderi­taan orang lain?

Kalau Bro Tompok (kawan sepejabat Akak Cute) melabelkan perempuan yang menggoda suami orang di saat isteri lelaki itu sedang bertarung nyawa sebagai perempuan iblis, jadi apa kita patut cap lelaki curang ni pula? Akak Cute tak nak sebut perkataan tak elok bulan puasa ni nanti kurang pahala.

Sebenarnya Akak Cute yakin ramai lagi wanita sedang ‘terseksa jiwa’ dengan perbuatan lelaki dan memilih untuk tidak bercerai kerana memikirkan soal anak-anak. Yang ini Akak Cute amat respect. Mereka sanggup mengorbankan pera­saan dan kebahagiaan mereka demi tidak memusnahkan masa depan anak-anak.