Jika bernasib baik di batang pokok (biasanya pokok getah) itu akan tumbuh cendawan kukur atau kulat sisir yang boleh dimasak lemak cili api. Sedap juga. Begitulah cerita pokok yang tumbang. Maknanya, sekali pun beruk kehilangan tempat berga­yut, pokok itu masih ada gunanya. Terserah bagaimana mahu me­nguruskannya. Berbalik kepada Selak minggu ini, tahniah diucapkan kepada barisan kepemimpinan baharu UMNO. Apa pun pandangan dan pendapat berkaitan keputusan itu, hormatilah pemilihan yang dibuat. Walaupun ada yang berkata, keputusan itu gagal melihat pembaharuan sepenuh­nya tetapi sekurang-kurangnya ada keinsafan untuk berubah.

Tidak dinafikan, ada yang menganggap anggota UMNO khususnya perwakilan gagal melihat isyarat yang ditunjukkan oleh para pengundi semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu untuk melihat perubahan secara total. Itu pandangan orang. Bukan mudah untuk mengubah ‘budaya’ memilih dalam kalangan UMNO ini. Anggota parti lebih memahami kerana mereka telah lama berada di dalam parti itu. Mudahkah untuk melihat perubahan setelah ‘budaya parti’ sudah berakar umbi begitu lama? Ibarat ubi kayu yang hampir menjadi ‘batu’ kerana terlalu lama tertanam. Berikan sedikit masa dan ruang kepada barisan kepemimpinan baharu untuk merangka strategi. Perubahan tidak mampu dilakukan dalam sekelip mata. Takkan 9 Mei jatuh tersungkur, 9 Julai akan bangun tegak seperti biasa. Apa yang penting adalah memberi soko­ngan kepada pemimpin yang di­pilih. Pemimpin bertindak sebagai imam dan pengikutnya menjadi makmum. Di dalam solat, imam boleh ‘ditegur’ jika melakukan kesilapan. Malahan imam boleh ditukar ganti oleh makmum yang berkelayakan jika sesuatu berlaku. Isu ini pernah dibincangkan di bawah tajuk Ikut ‘imam’ rapatkan saf, jadi makmum terbaik.

Begitu juga dalam politik, mereka yang menjadi pemimpin harus dihormati, tetapi pada masa sama boleh ditegur atau diganti sekiranya ada sebab tertentu yang boleh membenarkan pertukaran itu. Teguran juga perlu dibuat secara berhemah. Ramai pemimpin yang sudah menyatakan rasa kesal selepas PRU lalu kerana tidak bertindak sewajarnya semasa mereka di tampuk kuasa. Adakah kepemimpinan baharu mahu mengulangi kesilapan yang sudah diakui? Jangan diabaikan mandat yang diberi oleh pengundi yang memilih BN terutama atas nama UMNO. Jangan khianati amanah mereka semata-mata kerana alasan yang sering kita dengar “untuk kepentingan pengundi” atau “mahu fokus kawasan diwakili”.

Semasa PRU lalu, UMNO mendahului parti-parti lain dengan memenangi 54 kerusi tetapi kini tinggal 51 selepas tiga wakil rak­yat Parlimen mengisytiharkan diri mereka yang menang atas tiket [email protected] sebagai wakil rakyat Bebas. Seperti yang ditulis minggu lalu di bawah tajuk Biarkan mereka pergi membawa diri, proses ini dijangka berterusan. Wakil rakyat UMNO yang meninggalkan parti ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dari Bukit Gantang, Dr. Noor Azmi Ghazali dari Bagan Serai dan Mas Ermieyati Samsudin dari Masjid Tanah. Siapa lagi selepas mereka? Ramai juga yang sudah lama di dalam UMNO me­ninggalkan parti itu.

Mereka mungkin tidak sanggup untuk sama-sama melakukan perubahan. Mereka mahu melihat perubahan dilakukan serta merta tanpa menyedari merekalah ‘arkitek’ atau mewariskan segala macam budaya yang kini dianggap memualkan. Benarlah Melayu mudah lupa! Tsunami kecil dalam kalangan wakil rakyat UMNO akan berlaku jika mereka ini ‘tidak kuat’, dilihat tidak mempunyai jati diri atau mungkin mempunyai kepentingan diri. Mereka tidak segan silu meninggalkan simbol yang memberi kemenangan. Adakah tindakan mereka ini mampu membawa perubahan yang dilaung-laungkan? Amat pelik apabila ada yang melaungkan ingin berubah tetapi membawa diri keluar dari arus yang sedang cuba untuk berubah.

Golongan ini sebenarnya tidak menyumbang untuk memulihkan atau membawa perubahan sebaliknya umpama mempercepatkan pinggan yang retak untuk pecah berderai. Mereka lebih senang untuk ‘cuci tangan’, bersorak dan mengkritik di luar. Mahu pulih apa jika mereka awal-awal lagi turut menyerah kalah? Mereka cepat-cepat mahu menyelamatkan diri, bukannya untuk sama-sama ‘memperbaiki’ mengikut keupayaan masing-masing supaya perjalanan bahtera tidak terkandas atau terus tenggelam di te­ngah lautan. Sudah berkali-kali ingatan dibuat bahawa individu tidak penting tetapi parti yang perlu diutamakan. Individu boleh dijatuhkan, dipecat atau berundur tetapi parti itu tetap dipertahankan kecuali jika ia mahu dikuburkan. Konsep mengutamakan parti harus diberi penekanan bukan sekadar mahu mempertahankan diri akhirnya parti ditinggalkan. Jangan hanya pandai bercakap supaya mengutamakan parti tetapi pada masa yang sama kepentingan peribadi didahulukan dengan pelbagai alasan. Benarlah dalam sesetengah tindakan yang dilakukan oleh anggota UMNO (tidak semua) memperlihatkan ‘sikap sebenar’ anggota parti itu.

UMNO baharu sahaja menjalani proses pertama untuk perubahan melalui pemilihan. Lihat sahaja kebebasan yang diberi serta jumlah yang menawarkan diri untuk bertanding. Mereka yang berjaya kini memikul tanggungjawab yang berat. Bagi yang kalah, jadilah penyokong setia atau makmum yang baik, yang bersedia untuk menegur secara jujur dan ikhlas. Pada masa yang sama usah terpedaya dengan pelbagai muslihat musuh yang ingin melihat parti itu dihancurkan. Banyak kaedah yang boleh digunakan untuk melemahkan parti.

Pasca pemilihan akan menyaksikan pelbagai pandangan atau andaian. Paling popular sudah tentu orang akan berkata UMNO tidak tidak mahu berubah. Boleh dengar pandangan itu tetapi lebih penting, sekarang adalah masa untuk anggota parti merapatkan saf. Berbahas dan berbalahlah di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi atau di peringkat jawatankuasa bahagian. Semuanya harus bersikap terbuka untuk mencari pembaharuan dan melakukan pemulihan. Selak pernah mengingatkan anggota parti supaya ja­ngan terlalu jauh meninggalkan saf. Si­kap demikian mungkin menyebabkan pemimpin terleka atau terbiar keseorangan.

Bertindaklah sama seperti mengisi setiap ruang kosong di dalam saf solat. Kekosongan itu tidak boleh dibiarkan diisi oleh ‘iblis’ dan ‘syaitan’. Semoga anggota parti akan menjadi ‘makmum’ yang terbaik kepada ‘imam’ masing-masing.